Monday 19 March 2012

HIDUP PENUH RANJAU: Bahagian 7


Kenangan manis memang indah untuk diimbas. Sarah sudah tidak punya apa-apa selain sejuring kenangan yang tersemadi dalam hidup wanitanya. Hidup dirasakan sudah kurang nilai dan apa erti kerinduan ini juga dia tidak mengerti.

Kerinduan dan segala kesetiaan terhadap lelaki itu terjawab pada kad merah jambu yang ada di genggamannya sekarang. Sarah hilang punca. Sarah kecewa. Sarah menangis lagi “kenapa kau tinggalkan aku Yus? Kenapa kau tinggalkan aku..kenapa tak mencariku dan menunggu aku seketika..”

Sarah mengingat-ingat nombor telefon kampung, nombor telefon rumah Yusri. Tak kuat hatinya untuk bertanya khabar walaupun hatinya meronta-ronta. Namun kerana seorang lelaki, Sarah menebalkan ego dari kembali ke kampung. Hati Sarah sakit, jiwa Sarah hancur. Sarah rasakan hidupnya kosong sekejapan itu juga. Perlahan-lahan dia cuba memejamkan mata.

………………………………………………………….

“Hajat aku dah tercapai. Bulan depan kalau kau balik kampung, aku jemput kau di pekan dengan kereta ni.” Yusri tersenyum girang melihat kereta Kancil warna Merah dihadapannya. Beberapa minggu lagi urusan selesai dan dia boleh membawa pulang kereta idamannya. Sarah hanya ketawa kecil.

“Baguslah…lepas ni kau kena berjimat sebab belanja menguruskan kereta bukan sikit. Kenalah kau kurangkan merokok ya?”
“Aku tak janji. Boleh kau gantikan syarat tu dengan yang lain?”
“Nanti kau jatuh sakit kalau masih kuat merokok. Kau tahu aku tak suka orang yang kuat merokok kan?”
“Insya’Allah, aku akan cuba kurangkan sikit. Err..bila kau cuti lagi?”
“Yus…aku tak boleh ambil cuti sesuka hati tiap-tiap bulan. Paling kurang pun, tiga hari dalam masa dua bulan. Aku pun kena simpan cuti untuk perkara-perkara mustahak dan untuk hari raya hujung tahun nanti, kau sabarlah…”

“Aku tak biasa berjauhan dengan kau sejak kecil. Kau yang tak ingatkan aku. kalau boleh aku nak mintak kerja di KL, biar dekat sikit .”
“Siapa pula yang nak jaga emak kau dan tolong tengok-tengokkan mak cik aku tu?”
“Tahun depan kau minta tukar ke bandar sini tak boleh?”
“Masih baru lagi…aku tak pernah terfikir tentang itu. Insya’Allah, aku akan cuba ikhtiarkan nanti. Marilah kita balik, hari dah lewat, nanti marah pulak emak kau dan mak cik aku.”

“Marilah..”

~bersambung.

No comments:

HIDUP PENUH RANJAU : TANPA TEPIAN

Maafkan aku untuk kesekian kalinya, terpaksa menitiskan airmata semahunya kerana terkesan dengan impian serta harapan yang tak kesudahan....