Tuesday 5 March 2013

HIDUP PENUH RANJAU: BAHAGIAN 15


BERDUSTAKAH ENGKAU KEPADAKU SAYANG….

Sudah sebulan peristiwa pahit itu berlalu. Sarah sudah hampir melupakan apa yang terjadi dikampungnya pada hari pertunangan dia dan Roslan. Namun entah bagaimana, Mak Bedah menemuinya di pejabat dengan wajah tenang. Sarah menjemputnya keluar ke kantin, tak manis pula jika bersembang di pejabat dan dicuri dengar oleh teman-teman. Puan Hamizah memberi izin kepada Sarah untuk keluar sebentar.

                “Macamana Mak cik boleh sampai ke mari? Datang dengan siapa?..”
            “Aku datang dengan abang Sarip. Dia ada di luar, sengaja aku tinggalkan dia sebab nak jumpa kau sorang Sarah.”
            “Kenapa tak telefon dulu, boleh Sarah bawa Mak cik tidur kat rumah.”
            “Beginilah Sarah…mak cik nak minta maaf pada kau sebab tuduh kau yang bukan-bukan. Yusri dah berterus-terang pada mak cik perihal kamu berdua. Mak cik mengaku mak cik silap pisahkan kamu dulu.”
            “Apa ni mak cik….Sarah tak faham…”
         “Kalau kau masih sudi menerima Yusri, baliklah ke kampung nak…kau yang sepatutnya menjadi menantu mak cik. Yusri beritahu mak cik, dia tak buat perkara-perkara tak baik kepada kau. Mak cik saja yang berburuk sangka…”
         “Ya Allah…..” Sarah terkedu. Jauh dilubuk hatinya, satu perasaan tenang menyelubungi jiwa. Terima kasih Allah kerana tidak membiarkan aku terus-terusan ditaburi fitnah.
           
            Sarah memandang wajah Mak Bedah, sayu benar orang tua itu dalam mengharapkan pengertian, kemaafan dan harapan masa depan untuk anak dan cucunya.
“Tapi saya tak layak untuk anak mak cik…biarkan saya sendiri di sini. Mak cik pulanglah…saya tak mahu menyimpan apa-apa kenangan antara kita. Anggap saja semua itu tak pernah berlaku.”
            “Hanya kau yang boleh kembalikan anak aku Sarah…Yusri menderita sekarang, mak cik tak tahu nak buat apa lagi. Dia selalu berdiam diri dan kadang-kadang mak cik dengar dia menangis dalam biliknya. Buat masa sekarang, anaknya diserahkan kepada keluarga Intan, kalau kau tak tolong aku, siapa lagi Sarah?.”
Penuh mengharap Mak Bedah petang itu. Namun rayuan tersebut bagai tidak langsung dapat mencairkan hati Sarah.
            “Saya dah bertunang mak cik, saya tak akan meninggalkan tunang saya semata-mata kerana kasihan terhadap Yusri dan mak cik. Saya dah redha apa yang berlaku jadi janganlah merayu saya kembali kepada Yusri seperti dulu.”
            “Mungkin kau perlukan masa…sebelum kau mendirikan rumahtangga dengan Roslan, fikirlah masak-masak Sarah..mak cik tunggu keputusan kau. Mak cik akan jadikan kau menantu mak cik..”
            “Semudah itu mak cik? Mak cik tak ingat betapa hinanya saya dari pandangan mak cik sekeluarga hingga menyebabkan saya terbuang dari kaum keluarga?Mak Siti dah meninggal, minta ampunlah banyak-banyak dari Allah SWT, buat masa sekarang saya tak mampu untuk memaafkan mak cik…”

Mak Bedah tertunduk. Malu. Sarah mengusap wajahnya yang dibasahi peluh gementar dengan belakang tangan.
“Aku tahu aku bersalah terhadap kau Sarah…tapi aku dah tua, kalau boleh aku nak Yusri gembira seperti dulu.”
“Boleh mak cik bagi semula aruah mak cik saya yang mak cik hina hingga dia sakit dan meninggal tu sekarang? Saya rindukan dia dan sepatutnya mak cik minta maaf dari dia.....”
Mak Bedah menangis. Sayu bunyinya. Dia tahu kedatangannya hanya perbuatan sia-sia. Hati Sarah sudah hancur, tak mungkin dia dapat memaafkan kesilapan Yusri dan hati tuanya sendiri. Sebenarnya dia cuma mengharapkan Sarah dapat memaafkan dia sekeluarga, itu sudah memadai. Jodoh adalah ketentuan Allah S.W.T. tapi nampaknya Sarah seperti tidak ingin memaafkan mereka. Itu juga hak Sarah…Mak Bedah tak dapat berbuat apa-apa..
“Aku balik dulu Sarah…jaga diri kau baik-baik. Jika kau masih sudi, jenguklah aku kat kampung bila kau balik. Aku dah tua, entah esok, entah lusa aku akan pergi selama-lamanya. Maafkan kami..assalamualaikum.”
Sarah memandang orang tua itu berlalu. Hatinya amat sayu hingga dengan tidak disengaja, airmata hangat menitis secara tiba-tiba.
Aku tak sekejam itu mak cik…aku tak sekejam itu. Sarah berlari anak mengejar derap langkah Mak Bedah yang masih berada di simpang kantin. Dia mendapatkannya lalu mencium kedua belah tangan orang yang selama 22 tahun ini dianggap seperti ibu kandungnya sendiri. Mereka berpelukan. Lama.
“Sarah maafkan mak cik sekeluarga. Sarah masih anggap mak cik macam ibu Sarah..percayalah, Sarah tak pernah lupa…”
“Kau memang budak yang baik Sarah…”
“Tapi mak cik….maaf saya ini bukanlah bererti saya mahu menerima Yusri. Saya tetap akan bernikah dengan Roslan. Dengan Roslan..saya minta diri dulu.”

Sarah pantas meninggalkan Mak Bedah termangu sendirian di situ. Sarip – anaknya, datang lalu membawanya  pulang ke kampung.
Sepanjang perjalanan pulang ke kampung, Mak Bedah menghamburkan segala tangisan yang terbuku dalam dada. Tangisan kesalan yang diyakini tak mampu membasuh kehampaan yang bersarang dijiwanya.
…………………………………………….

SEMUANYA TELAH TERSURAT
5 Mac 2003

Roslan mengajak Sarah keluar membeli barang hantaran mereka di mana majlis telah ditetapkan dua bulan dari sekarang di tempat yang biasa mereka kunjungi . Sedang asyik memilih barang, bahu Roslan ditepuk dari belakang. Sarip- abang kepada Yusri. Wajah Sarah berubah tiba-tiba. Berderau darahnya melihat raut wajah Sarip yang terkenal dengan bengisnya.
            “Kau Roslan ya…” soalnya tegas. Roslan mengangguk.
            “Ya..saya Roslan. Abang ni kenal saya?..” nada suara Roslan bergetar dan  kedengaran agak pelik. Sarah membatukan diri di belakang tubuh Roslan.
            “Aku tak kenal kau tapi aku kenal budak yang jadi tunang kau ni..”seraya itu roslan memandang Sarah dan memberi isyarat dengan mengangkat bahunya…terpinga-pinga.
            “Dia abang Sarip, abang kepada kawan Sarah kat kampung.”
            “Ha…kenal lagi pun engkau. Aku ingat bila dah dapat tunang orang Bandar, dah lupa asal usul. Atau kau mahu aku ingatkan kau siapa?..”

            “Abang Sarip kenapa?…apa salah Sarah? Sampai abang marah-marah macam ni? Malulah Sarah..”
            “Ya…aku Sarip. Aku Cuma nak mengingatkan kau saja. Kau dah tersalah pilih perempuan. Perempuan ini tak layak jadi isteri kau kalau kau nak tahu…hei Sarah..berapa banyak lelaki yang kau nak kecewakan, kau tinggalkan? Adik aku separuh sasau sekarang, mak aku pulak dah jatuh sakit sebab kau…kalau kau tak balik jumpa dan terima adik aku macam dulu, jangan panggil aku Sarip!”
Lelaki itu berlalu dengan amat angkuhnya. Meninggalkan Sarah dan Roslan bagai termangu-mangu tidak tahu apa hendak dilakukan.

Sayang…berceritalah kepadaku….
Roslan sudah tidak keruan. Sejak kembali dari membeli-belah bersama Sarah, hatinya jadi gusar, jadi bingung, jadi tak keruan dan sejuta rasa lain yang bukan sengaja dikarang-karang, sengaja diada-adakan. Hatinya mula merasakan bahawa Sarah meyembunyikan sesuatu. Sesuatu yang ditakuti, digeruni dan membayangi kehidupannya sejak sekian lama. Tapi apa…dia tak dapat memberikan sebarang gambaran.

Berkali-kali telefon bimbit itu direnungnya, mengharap agar Sarah sendiri memberitahu namun seharian telefon  masih lagi begitu, tidak berbunyi menjerit-jerit seperti selalu.
“…sayang, beritahulah abang apa yang berlaku dalam hidupmu. Aku pasti mampu menerimanya jika benar kau ikhlas terhadap cintaku..”
Akhirnya, Roslan memberanikan diri menelefon Sarah. Biar di mana dia berada, jawapan itu pasti kutemui. Sungguh!

“Hello….Sarah, ni abang ni..Sarah kat mana sayang ?..”
“…Sarah masih di sini, masih wujud dalam hidup abang. Cuma jiwa Sarah sudah terbang, melayang-layang…”
“Sarah..beritahulah abang…apa yang telah terjadi di dalam hidup Sarah.. Abang Cuma ingin tahu dan abang akan menerimanya sepenuh hati…biar bagaimanapun kesudahannya…abang sayang Sarah, Sarah tahu itu kan?..”
“….janganlah abang berharap yang tidak-tidak. Sarah tidak akan menjanjikan apa-apa kebahagiaan untuk abang. Sarah tak punya apa-apa untuk diberikan kepada abang…maafkan Sarah andai abang terseksa kerana Sarah…hidup Sarah sudah seperti bangkai bernyawa, nampak saja Sarah bahagia tapi sebenarnya kosong tiada apa-apa…Tuhan masih sayangkan Sarah, diberiNya kuderat untuk menghitung hari yang tak pasti…”
“Sayang…..kenapa harus berkata begitu…abang ada di sisi Sarah, kenapa berputus asa sayang….”

Hujung talian sesak dengan suara tangisan Sarah. Dia sudah tidak berdaya untuk menerangkan kepada tunangnya sendiri. Kepedihan dalam jiwa dan hidupnya buatkan dia sengsara dan kecewa. Bagai sudah tiada harapan untuk masa depan.
            “Abang datang ambil Sarah ye sayang…kejap lagi abang sampai. Sarah tunggu..”

Tidak sampai setengah jam, kereta Roslan sudah berlabuh di hadapan pintu pagar rumah sewa Sarah. Sarah yang hanya berbaju kurung biasa dan bertudung panjang masuk ke perut kereta dan mereka hilang dalam kesesakan jalan raya.

Di tepi tasik, dalam kedinginan suasana petang selepas hujan, Roslan masih terus membiarkan Sarah mengelamun. Sekali-sekala kedengaran esak tangisnya tanda dia masih lagi belum pulih dari kejadian semalam.
“Sayang…abang tak marah sayang la pasal semalam. Janganlah buat abang risau…kan abang dah kata, walau apa sekalipun yang sudah terjadi terhadap Sarah..abang akan teima. Cuma sekarang abang mahu Sarah bercerita tanpa berselindung apa-apa lagi pada abang…bolehkan?..sayang?..”
Sarah membuka jemarinya, memperlihatkan sepasang tangan yang putih mulus dan di jari manis itu ada sebentuk cincin permata satu. Dia membuka cincin itu dan diunjukkan kepada Roslan. Terkejut lelaki itu.
“Sarah sedar apa yang Sarah buat ini?..”
“Inilah jawapan kepada semua persoalan abang. Sarah dah tak ada jawapan….harap abang mengerti. Dan jangan soal Sarah lagi..”
“Sarah!!!” Roslan menggoncang tubuh Sarah berkali-kali. Hampir lemas gadis itu. Namun tiada tangisan yang keluar. Sarah seperti sudah ‘mati’.
“Sarah minta maaf…Sarah minta maaf..hanya inilah jalan penyelesaian untuk kita abang..”
“Abang tahu Sarah sengaja mahu menghukum abang. Jangan menyeksa abang Sarah…abang mahu jawapan dari Sarah..abang mahu jawapan kenapa Sarah buat abang macam ni…cakaplah Sarah..cakaplah”
Sarah tersedan lagi. Roslan bagai hilang arah dan tiba-tiba dia menjerit sekuat hati. Marah sungguh dia dengan situasi yang makin membungkam begini.
“Marilah hantar Sarah balik…Sarah nak balik abang. Nanti di kereta Sarah ceritakan kepada abang. Sarah letih sangat..”
“Marilah…Sarah demam ni, kita ke ruman kak Mizah ye?.”
“Tak Mahu. Sarah tak mahu menyusahkan dia. Sarah nak berehat di rumah sahaja..”
“Baiklah..”Mereka beredar ke kereta dan Sarah menyandarkan badan ke kusyen.
“Abang..cinta pertama sarah ialah Yusri dan Sarah tak dapat melupakan dia sampai bila-bila. Sarah tak mahu memberikan abang harapan palsu, Sarah tak mahu abang terkilan nanti. Maafkan Sarah sebab tak mampu mencintai abang sepenuhnya”
Roslan mengeluh. Berat dan panjang. Hatinya berdebar-debar namun mindanya memberikan kata-kata semangat memujuk hati bahawa dia dapat menggantikan kasih Yusri secara perlahan-lahan. Roslan amat yakin hati Sarah akan melupakan Yusri dengan kehebatan cintanya. Sungguh!
“Seandainya itulah jawapan yang abang cari, Sarah tak perlu risau lagi. Abang dah tahu lama dah. Abangpun dah maafkan Sarah . Abang tak mahu tahu kisah selanjutnya. Kasih abang terlalu dalam untuk Sarah dan tak ada nilai lain yang setanding dengan itu Sarah.. percayalah”ujar Roslan perlahan. Walau dia sendiri seakan kecil hati Sarah memberitahunya akan hal itu disaat-saat Akhir menjelang pernikahan mereka, dia cuba untuk tidak berlaku bodoh dengan bersikap keanak-anakkan terhadap Sarah.
“Terima kasih abang…terima kasih”Sarah memeluk Roslan dan tangisannya berhambur lagi di bahu lelaki itu. Roslan menepuk-nepuk bahu Sarah. Hatinya masih tetap tak berganjak dari situ. Aku bukan lelaki ego sayang…. Kasihku kepadamu sangat berlebihan berbanding kasih seumur hidupmu bersama Yusri-cinta hatimu.



****BERSAMBUNG...mampu ke Roslan hadapi hidup berumahtangga dengan insan yang mencintai orang lain??...

HIDUP PENUH RANJAU : TANPA TEPIAN

Maafkan aku untuk kesekian kalinya, terpaksa menitiskan airmata semahunya kerana terkesan dengan impian serta harapan yang tak kesudahan....