Monday 27 June 2011

HIDUP PENUH RANJAU: Bahagian 4

Yusri mengkhabarkan berita kepulangan Sarah kepada Mak Siti. Bukan main gembira lagi orang tua itu. Dia sayangkan anak saudaranya sementelah amanat aruah adik kesayangannya iaitu ibu Sarah agar menjaga anak gadis ini dengan baik. Tak putus-putus Mak Siti mengucapkan syukur ke hadrat Illahi setelah mengetahui berita tersebut.
Menjelang hari minggu. Yusri bingkas bangun seawal pagi. Sesudah menunaikan solat subuh, dia duduk di beranda rumahnya dan memakai pakaian ke kebun. Parang panjang dan raga buluh diletakkan di tepi tangga. Mak Bedah menjengah kehairanan.
“Kau nak pergi mana pagi-pagi buta ni Yusri ?”

“Pergi kebun mak, cari durian, langsat,rambutan dan manggis. Esok Sarah balik. Tentu dia nak makan buah-buah kampung ni. Dia suka makan semua tu mak…”

“Pergilah siang sikit. Sarapanpun belum. Mak tahulah Sarah nak balik esok, tapi tak kan tak menyempat-nyempat nak ke kebun. Bukan ke Sarah cuti seminggu?..’ leter Mak Bedah. Dalam hatinya, dia juga turut berkira-kira mahu menyediakan menu yang enak-enak untuk Sarah. Tapi tak berani pula dia bertanya kepada anak bujang bongsunya itu soal jodoh. Belum masanya…pujuk hati Mak Bedah.

“Mak…mak nak Yus carikan rebung ke? Boleh mak masak lemak cili api esok. Yus pun dah lama tak makan sayur rebung.”

“Ikut suka Yus lah. Jangan kau bawa balik bukit dengan gunung kat kebun nanti sudahlah nak oii…” ujar Mak Bedah memperli Yusri lantas beredar ke dalam. Yusri mengusap mukanya yang sedikit panas. Emak perli aku la tu.

 Sementara itu di Kuala Lumpur, Sarah sibuk mengemaskan kain baju ke dalam beg pakaian. Membuat perkiraan untuk kegunaan selama seminggu di kampung. Dia tidak mempunyai banyak pakaian. Di rumah Mak Siti cuma dua pasang kain batik, tiga helai t-shirt dan sepasang baju kurung lusuh. Dia tak mampu bermewah-mewah membeli pakaian baru seperti orang lain. Aruah ayah dan ibunya tidak meninggalkan sebarang harta. Mereka bukan dilahirkan di atas dulang emas dan oleh sebab itu, Sarah amat berhati-hati ketika berbelanja. Duit sebanyak dua ribu setengah hasil pendapatannya selama 3 bulan diketepikan separuh ke dalam akaun ASB. Perbelanjaan selama dua bulan disimpan ke dalam Bank Simpanan Nasional dan selebihnya itulah dia bawa pulang ke kampung. Sarah berangan-angan mahu membelikan sepasang persalinan baju untuk Mak Siti dan Mak Bedah. Sarah merenung kotak kecil berisi pin baju Melayu untuk dihadiahkan kepada Yusri nanti. Apa nak buat, dia tak mampu untuk membelikan hadiah yang mahal-mahal untuk insan-insan yang dikasihi di sana. Sarah juga bercadang ingin mengajak Yusri ke pekan bagi melepaskan kempunan Laksa Abang Janggut yang disukainya itu. Ahh…terlalu banyak aku memasang angan-angan. Cuti seminggu di kampung bagaikan sehari layaknya. Oh…aku terlalu merindui kampung halaman dan sungai yang jernih…dan Yusri sahabatku!

Sarah membawa bersama beg pakaian yang sarat dengan muatan ke tempat kerja. Sehabis kerjanya jam 4.30 petang nanti, dia akan menumpang teman sepejabatnya yang lalu ke Pudu Raya. Sekurang-kurangnya tidaklah dia kepenatan mengusung beg pakaian yang berat itu ke hulu hilir berebut-rebut menaiki bas yang tidak tentu waktu. Bas yang menuju kampungnya akan berlepas tepat jam 6.00 petang.

Seharusnya dia berada seawal jam 5.45 petang di terminal 12. Perut yang kosong tidak dihiraukannya kerana hatinya terlalu gembira ingin pulang segera. Tentu Yusri akan menantinya di pekan dengan motosikal hijau itu. Yusri tak pernah menghampakannya sejak dulu.

Entah jam berapa sewaktu Sarah membuka matanya, bas sudah berhenti makan di pertengahan Highway. Oh…lagi satu jam hendak sampai ke pekan. Dia tidak berasa lapar lalu disambung saja tidurnya yang terganggu. Sarah amat keletihan.

“Parit Sulong! Siapa yang nak turun Parit Sulong?!” jerit pemandu bas. Sarah terpisat-pisat bangun dan segera mengusung beg besar ke hadapan. Setelah mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas, Sarah turun berhati-hati.

Dia nampak Yusri berdiri di suatu sudut yang agak jauh dari tepi jalan, tersenyum ke arahnya. Hati Sarah berbunga riang. Jika bukan satu larangan, sudah tentu dia berlari ke arah Yusri dan memeluk lelaki kacak itu. Airmata Sarah menitis laju sebaik saja Yusri berdiri dihadapan matanya. Saat itu Sarah sungguh terharu. Saat itu Sarah bagaikan menemui sesuatu yang dirasakannya hilang semusim lalu.

“Jangan menangis Sarah. Nanti orang sangka aku buat kau menangis. Kau balik ni nak menangis atau nak jumpa aku?…” usik Yusri. Sarah mencubit lengan Yusri perlahan. Disekanya airmata dengan hujung lengan baju kurung.

“Nanti sekejap…” kata Sarah. Dia membelek tengkuk Yusri-mencari rambut panjang lelaki itu. Kemudian Sarah menguntum senyum lega .

“Kalau aku beritahu kau, rambut yang kau tengok tadi rambut palsu, kau nak patah balik ke Kuala Lumpur tak?”

“Jangan cabar aku Yus. Kau jangan main-main.” Sarah berhenti melangkah dan memaksa Yusri membuka topi keledar. Yusri ketawa kecil.

“Sarah…kau ni sayang aku atau sayang kat rambut aku aje?” pertanyaan Yusri tak mampu dijawab oleh Sarah. Gadis manis itu sekadar menundukkan wajah dan berhenti tidak jauh dari motor Kriss Yusri.

Siapa tahu, ketika itu Yusri benar-benar merasakan kehangatan rindu kepada Sarah. Bagaikan menyambut kepulangan insan yang didamba. Namun benarkah Sarah juga merinduinya seperti dia sekarang? Yusri cuak memikirkan musibah kemudian hari. Mungkinkah hati Sarah masih seperti dahulu? Mungkinkah Sarah sudah dipikat oleh jejaka kota metropolitan? Yusri sedar Sarah cantik dan manis, kelembutan yang miliki gadis itu bisa menggegar iman seorang lelaki. Tiba-tiba hati Yusri ditumbuhi dedaun cemburu……


~bersambung.

No comments:

HIDUP PENUH RANJAU : TANPA TEPIAN

Maafkan aku untuk kesekian kalinya, terpaksa menitiskan airmata semahunya kerana terkesan dengan impian serta harapan yang tak kesudahan....