Monday 20 June 2011

HIDUP PENUH RANJAU: Bahagian 2


Bulan September baru sahaja bermula. Hujan agak kerap berlaku dan selalunya lebat dan diiringi dengan petir dan kilat. Sarah lekas-lekas menutup daun pintu sebaik sahaja kembali dari rumah Odah di simpang jalan. Dia basah kuyup kerana terlupa membawa payung ataupun baju hujan. Beg tangan kulitnya turut lecun menimbulkan tompok-tompok birat di satu dua tempat. Sarah tadinya singgah sebentar sahaja selepas turun dari bas yang membawanya pulang dari tempat kerja. Taman Permata tidaklah jauh dari ibukota kerana jarak perjalanannya sekadar mengambil masa 20 minit dengan kereta.
 Selepas menunaikan solat Asar, Sarah membancuh susu tepung dengan air suam. Dia mencapai bekas berisi biskut kering dan menuju ke ruang tamu. Hendak membuka tv hujan petir pula..bisiknya. majalah Ujang dicapai lalu dibaca, dia tidak ketawa seperti selalu. Sudah jemu dengan isi kandungan kerana majalah itu edisi bulan sudah.Menerawang di sekeliling rumah. Memerhatikan percikan hujan yang berjejeran melalui hujung atap. Tanpa disedari, airmatanya turut meluncur laju membasahi pipinya yang gebu. Sarah mencapai sekeping kad undangan berwarna hijau epal yang berbau wangi di atas meja kopi. Sarah membeleknya.. Kunjungannya ke rumah Odah tadi juga bertujuan untuk menghilangkan resah dan sepi tinggal keseorangan di rumah sewa yang besar itu. Tapi sepi terus bernama sepi. Gelagat Odah-sahabatnya yang mencuit hati tidak dapat menenangkannya.. Sarah makin tertekan.
 Hari ini baru 23hb. Esok lusa baru gaji. Perlu kirim ke kampung untuk Midah anak sepupunya membayar yuran periksa SPM. Bil api dan air juga duit sewa bulanan sebanyak dua ratus ringgit wajib diketepikan. Akhirnya Sarah tersandar di dinding kerana baki yang tertinggal hanyak sebanyak tiga ratus ringgit. Dia harus lebih berjimat bulan depan. Tambang bas sebulan juga mencecah angka seratus. Pening memikirkan wang menyebabkan Sarah banyak berdiam diri. Gajinya sebagai kerani cabuk di pejabat peguam itu tidaklah sebesar mana, Sarah nekad mahu bekerja lebih masa walaupun dia tahu tiada siapa yang mahu menumpangkannya ke Taman Permata itu jika balik lebih dari jam 5 petang. Overtime biasanya tamat jam 8 malam dan Sarah harus menunggu bas selama setengah jam di pondok menunggu itu. Keadaan itulah yang menyebabkan dia resah dan bimbang akan keselamatan diri.
 Sudah lebih 6 bulan Sarah tidak menjenguk kampung. Bukannya apa, jika pulang ke kampung nanti akan menyusutkan perbelanjaan dia di kota. Sarah tiada saudara mara di sini. Penghijrahannya juga demi masa depan walau tidak berapa direstu oleh Yusri-sahabat lamanya yang paling rapat di kampung.
 “Aku nak cuba cari duit sendiri Yus. Kat sini apalah yang aku nak buat, setakat kerja kilang yang boleh dibuang tak tentu masa. Kat KL nanti aku dapat kerja kerani kerajaan. Masa depan aku lebih terjamin walau gaji permulaannya kecil sedikit..”
 “Aku takut kau berubah bila balik nanti. Yalah…kata orang, KL tu mencabar. Serba moden. Aku takut kau lupa pakai baju kebaya dan kurung lagi. Dapat gaji saja, mulanya nak beli kasut tinggi 4 inci dan mekap mahal-mahal.”
 Sarah ketawa besar. Yusri menjuihkan bibir tanda meluat. Dia sayangkan Sarah sejak dulu, Cuma dia masih tak yakin untuk menyatakan kepada Sarah. Yusri sedar dia anak orang susah seperti Sarah, kerjanya hanya sebagai juruteknik di kilang elektronik. Sebumbung dengan Sarah. Sijil juruteknik itu diperolehinya di salah sebuah institut kerajaan pada 5 tahun sudah. Setakat gaji seribu dua ratus dan tinggal di kampung kecil ini, dia yakin mampu menyunting seorang gadis, cuma dia belum ada keyakinan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami.
 Yusri mahu mengumpul wang bagi membeli sebuah kereta idamannya dan mendirikan sebuah rumah sendiri. Diam-diam Yusri memasang angan-angan mahu mendirikan sebuah rumah besar untuk dia dan Sarah di atas tanah pusaka yang telah diwasiatkan kepadanya oleh aruah ayahnya tidak lama dahulu.
 “Oh..kau takut aku lupakan kau ye? Entah-entah kau yang lupakan aku tak? Manalah tahu, kat kilang tu ramai lagi gadis-gadis yang lebih jelita dari aku Yus. Ramai lagi anak-anak orang kaya yang kau boleh tumpang senang seumur hidup kau..”
Yusri ketawa berdekah-dekah. Kuat juga cemburu gadis ini. Namun seramai manapun gadis kilang atau anak dara kampung yang lebih cantik rupawan dari Sarah, hatinya sudah lama terpaku kepadanya. Ahh..tak mungkin aku melepaskan kamu Sarah...tak mungkin. Senyum kamu itulah yang selalu kubawa dalam mimpi, lirik matamu itulah penawar kesepianku. Mahukah kamu menerimaku sebagai teman hidupmu Sarah? Tidakkah terlalu keterlaluan rasanya menukar ikatan persahabatan ini kepada ikatan kasih sayang suami isteri?..kadang-kala aku curiga kamu menolaknya dan kadang-kala aku keliru andai penyataan ku ini bisa membuatmu bahagia...benarkah?
Kau tunggulah aku sayang, lamaranku pasti datang.


~bersambung.






No comments:

HIDUP PENUH RANJAU : TANPA TEPIAN

Maafkan aku untuk kesekian kalinya, terpaksa menitiskan airmata semahunya kerana terkesan dengan impian serta harapan yang tak kesudahan....