Monday, 27 June 2011

HIDUP PENUH RANJAU: Bahagian 4

Yusri mengkhabarkan berita kepulangan Sarah kepada Mak Siti. Bukan main gembira lagi orang tua itu. Dia sayangkan anak saudaranya sementelah amanat aruah adik kesayangannya iaitu ibu Sarah agar menjaga anak gadis ini dengan baik. Tak putus-putus Mak Siti mengucapkan syukur ke hadrat Illahi setelah mengetahui berita tersebut.
Menjelang hari minggu. Yusri bingkas bangun seawal pagi. Sesudah menunaikan solat subuh, dia duduk di beranda rumahnya dan memakai pakaian ke kebun. Parang panjang dan raga buluh diletakkan di tepi tangga. Mak Bedah menjengah kehairanan.
“Kau nak pergi mana pagi-pagi buta ni Yusri ?”

“Pergi kebun mak, cari durian, langsat,rambutan dan manggis. Esok Sarah balik. Tentu dia nak makan buah-buah kampung ni. Dia suka makan semua tu mak…”

“Pergilah siang sikit. Sarapanpun belum. Mak tahulah Sarah nak balik esok, tapi tak kan tak menyempat-nyempat nak ke kebun. Bukan ke Sarah cuti seminggu?..’ leter Mak Bedah. Dalam hatinya, dia juga turut berkira-kira mahu menyediakan menu yang enak-enak untuk Sarah. Tapi tak berani pula dia bertanya kepada anak bujang bongsunya itu soal jodoh. Belum masanya…pujuk hati Mak Bedah.

“Mak…mak nak Yus carikan rebung ke? Boleh mak masak lemak cili api esok. Yus pun dah lama tak makan sayur rebung.”

“Ikut suka Yus lah. Jangan kau bawa balik bukit dengan gunung kat kebun nanti sudahlah nak oii…” ujar Mak Bedah memperli Yusri lantas beredar ke dalam. Yusri mengusap mukanya yang sedikit panas. Emak perli aku la tu.

 Sementara itu di Kuala Lumpur, Sarah sibuk mengemaskan kain baju ke dalam beg pakaian. Membuat perkiraan untuk kegunaan selama seminggu di kampung. Dia tidak mempunyai banyak pakaian. Di rumah Mak Siti cuma dua pasang kain batik, tiga helai t-shirt dan sepasang baju kurung lusuh. Dia tak mampu bermewah-mewah membeli pakaian baru seperti orang lain. Aruah ayah dan ibunya tidak meninggalkan sebarang harta. Mereka bukan dilahirkan di atas dulang emas dan oleh sebab itu, Sarah amat berhati-hati ketika berbelanja. Duit sebanyak dua ribu setengah hasil pendapatannya selama 3 bulan diketepikan separuh ke dalam akaun ASB. Perbelanjaan selama dua bulan disimpan ke dalam Bank Simpanan Nasional dan selebihnya itulah dia bawa pulang ke kampung. Sarah berangan-angan mahu membelikan sepasang persalinan baju untuk Mak Siti dan Mak Bedah. Sarah merenung kotak kecil berisi pin baju Melayu untuk dihadiahkan kepada Yusri nanti. Apa nak buat, dia tak mampu untuk membelikan hadiah yang mahal-mahal untuk insan-insan yang dikasihi di sana. Sarah juga bercadang ingin mengajak Yusri ke pekan bagi melepaskan kempunan Laksa Abang Janggut yang disukainya itu. Ahh…terlalu banyak aku memasang angan-angan. Cuti seminggu di kampung bagaikan sehari layaknya. Oh…aku terlalu merindui kampung halaman dan sungai yang jernih…dan Yusri sahabatku!

Sarah membawa bersama beg pakaian yang sarat dengan muatan ke tempat kerja. Sehabis kerjanya jam 4.30 petang nanti, dia akan menumpang teman sepejabatnya yang lalu ke Pudu Raya. Sekurang-kurangnya tidaklah dia kepenatan mengusung beg pakaian yang berat itu ke hulu hilir berebut-rebut menaiki bas yang tidak tentu waktu. Bas yang menuju kampungnya akan berlepas tepat jam 6.00 petang.

Seharusnya dia berada seawal jam 5.45 petang di terminal 12. Perut yang kosong tidak dihiraukannya kerana hatinya terlalu gembira ingin pulang segera. Tentu Yusri akan menantinya di pekan dengan motosikal hijau itu. Yusri tak pernah menghampakannya sejak dulu.

Entah jam berapa sewaktu Sarah membuka matanya, bas sudah berhenti makan di pertengahan Highway. Oh…lagi satu jam hendak sampai ke pekan. Dia tidak berasa lapar lalu disambung saja tidurnya yang terganggu. Sarah amat keletihan.

“Parit Sulong! Siapa yang nak turun Parit Sulong?!” jerit pemandu bas. Sarah terpisat-pisat bangun dan segera mengusung beg besar ke hadapan. Setelah mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas, Sarah turun berhati-hati.

Dia nampak Yusri berdiri di suatu sudut yang agak jauh dari tepi jalan, tersenyum ke arahnya. Hati Sarah berbunga riang. Jika bukan satu larangan, sudah tentu dia berlari ke arah Yusri dan memeluk lelaki kacak itu. Airmata Sarah menitis laju sebaik saja Yusri berdiri dihadapan matanya. Saat itu Sarah sungguh terharu. Saat itu Sarah bagaikan menemui sesuatu yang dirasakannya hilang semusim lalu.

“Jangan menangis Sarah. Nanti orang sangka aku buat kau menangis. Kau balik ni nak menangis atau nak jumpa aku?…” usik Yusri. Sarah mencubit lengan Yusri perlahan. Disekanya airmata dengan hujung lengan baju kurung.

“Nanti sekejap…” kata Sarah. Dia membelek tengkuk Yusri-mencari rambut panjang lelaki itu. Kemudian Sarah menguntum senyum lega .

“Kalau aku beritahu kau, rambut yang kau tengok tadi rambut palsu, kau nak patah balik ke Kuala Lumpur tak?”

“Jangan cabar aku Yus. Kau jangan main-main.” Sarah berhenti melangkah dan memaksa Yusri membuka topi keledar. Yusri ketawa kecil.

“Sarah…kau ni sayang aku atau sayang kat rambut aku aje?” pertanyaan Yusri tak mampu dijawab oleh Sarah. Gadis manis itu sekadar menundukkan wajah dan berhenti tidak jauh dari motor Kriss Yusri.

Siapa tahu, ketika itu Yusri benar-benar merasakan kehangatan rindu kepada Sarah. Bagaikan menyambut kepulangan insan yang didamba. Namun benarkah Sarah juga merinduinya seperti dia sekarang? Yusri cuak memikirkan musibah kemudian hari. Mungkinkah hati Sarah masih seperti dahulu? Mungkinkah Sarah sudah dipikat oleh jejaka kota metropolitan? Yusri sedar Sarah cantik dan manis, kelembutan yang miliki gadis itu bisa menggegar iman seorang lelaki. Tiba-tiba hati Yusri ditumbuhi dedaun cemburu……


~bersambung.

Saturday, 25 June 2011

PUDING ROTI KAK LOLA

Aku sebenarnya masih demam, kepala pusing dan sendi rasa pedih-pedih. tapi tekak ni jahat rupanya. masih teringin nak makan sesuatu yg menyegarkan. aku sibuk menggesa suamiku turun ke kedai membeli sebuku roti. walau roti bodoh-bodoh pun tak apa ( tak ada jenama). dalam kemalasan yang amat sangat, suamiku turun juga ke kedai. diajuga nantinya yang makan banyak sebab memang kegemarannya, so aku pun main suruh saja la...saya sayang abang.sebab tu saya nak buat..hehehhe.

Bahan-bahanya:

Sebuku roti
sepeket agar-agar ( peket panjang )
1 1/2 cawan gula pasir ( ikut suka )
1 peket air (sukatan peket agar-agar tadi)
3/4 peket santan pekat ( sama juga ikut sukatan peket agar-agar tadi)
pewarna

corak yang terbentuk dengan sudu



Cara membuatnya:-

1. Masak agar-agar dengan gula dan air sampai agar-agar betul-betul larut. jangan malas mengacaunya kerana jika tidak larut, nanti agar-agar anda nampak selekeh.

2. sementara menunggu agar-agar masak dan larut, rendam sebuku roti ( kirai-kiraikan) dalam air santan kelapa tadi. Kisar hingga lumat.

3. Masukkan  roti kedalam agar-agar yg sudah betul-betul larut bersama gula

4. tapis adunan yang telah masak dan bahagi kepada 2-3 bekas untuk dititiskan pewarna.

5. Untuk membuat lapisan seperti marble, cara paling mudah ialah tuang satu bahagian yang telah diwarnakan, diikuti dengan satu bahagian lagi di tengah-tengahnya ( kena hati-hati jangan gelojoh) dan satu bahagian lagi jika anda membuat 3 warna. ambil sudu dan buat laluan ke atas sekali dan tarik ke bawah sekali. jangan kacau, cuma melalukan sudu sahaja, kelak anda akan dapat corak marble.

6. Sejukkan sebelum dipotong..taraaa.



Setelah dipotong-potong..yummy

so, dapatlah jiran-jiran merasa puding roti ini malam tadi. alhamdulillah, hari ini nak buat lagi sebab suami sangat sukakakannya..yeahh..

Wednesday, 22 June 2011

HIDUP PENUH RANJAU:Bahagian 3

        Bidalan mengatakan, jika cintai seseorang, bukakan ikatan rantai yang kamu pasang kepadanya dan biarkan dia berlari sejauh yang dia mahu kerana dia pasti akan kembali kepadamu jika dia juga mencintaimu. Cinta tak perlu dipaksa, cinta juga tak mungkin seperti meminta-minta. Namun kita insan biasa-mempunyai serasa memiliki. Antara sedar dengan tidak, kita bagai mengunci rasa kemilikkan itu dan menidakkan hak orang lain.

****************************


Orang kampung maklum tentang keakraban Sarah dan Yusri, sementelah kedua orang tua mereka juga bersaudara. Bau-bau bacang kata orang. Siapa yang tak kenal Yusri dan Sarah, sejak kecil mereka sering berdua bermain pondok-pondok dan polis sentri. Malah kedudukan rumah yang hanya berselang tiga buah rumah jiran menyebabkan Yusri sering makan dan tidur di rumah Sarah lebih dari rumahnya sendiri. Jika Yusri tiada di rumah, tahulah Pak Salleh dan Mak Bedah mencari di rumah Sarah. Sejak kecil hinggalah dewasa, Yusri tak pernah berpisah lama dengan Sarah.  Pernah Pak Mahat- aruah ayah Sarah membawa keluarga bercuti ke kampung sebelah emaknya di Manjong selama seminggu, maka seminggu itulah Yusri jatuh sakit kerana merindui sahabatnya. Akhirnya, jika kedua belah keluarga mahu pulang menziarahi orang tua masing-masing, Yusri dan Sarah pasti dibawa bersama.



********************

“Baik-baik jaga diri Sarah. Selalulah balik kampung tengok kami. Aku nak kumpul duit nak beli kereta, nanti bolehlah bawa engkau jalan-jalan ke pekan”

“Baiklah. Dapat gaji pertama nanti, aku balik jumpa kau. Nanti aku tulis surat sebelum balik.”

“Kau janji tak akan berubah Sarah?”

“Iye..aku janji. Kau juga mesti janji jangan potong rambut kau yang panjang ke bahu tu. Kalau kau potong masa aku balik esok, aku tak nak berkawan lagi.”

Yusri tersenyum. Tahu benar dia bahawa Sarah sayangkan rambutnya yang panjang mencecah bahu itu. Dialah yang akan menolong mendandan dan kadang-kadang sengaja ditocangkan dua. Pernah juga Yusri mengugut mahu memotong dengan membawa gunting kecil dalam poketnya tapi sekejapan itu juga Sarah akan berlari pulang sambil menangis. Kemanjaan Sarah terhadapnya buatkan hati Yusri kerap berdebar. Dia senang jika sarah merajuk minta dipujuk. Sarah gadis yang baik, Sarah sahabatnya yang paling ayu.Yusri cukup kenal isi hati Sarah. Dia tak pernah meminta yang bukan-bukan. Sarah cuma mahu Yusri menjadi diri Yusri yang sebenar. Cuma kenakalannya sahaja kadangkala menjengkelkan. Sarah pernah mencucuk punggungnya dengan kayu ketika leka terbongkok-bongkok mengutip kayu api yang dibelah ibu sehingga seingatnya dia meraung kesakitan, terus merajuk tak mahu berkawan tetapi rajuknya cuma bertahan dua hari..bila Sarah melawatnya dengan membawa mainan kapal perang, senyumnya melebar sampai ke telinga. Hilang amarah yang bersarang. Itulah kenangan paling indah yang terpahat dalam jiwa membawa ke alam dewasa.

Dari kecil, mereka berkawan, bertengkar, berbaik semula tanpa jemu namun kini masing-masing sudah menginjak dewasa, pergaulan itu haruslah ada batasnya agar pandangan orang tidak tertikam serong hingga timbul fitnah yang bukan-bukan. Kalau dulu dengan selamba sahaja tangannya memaut lengan Sarah tapi kini tiba-tiba dia jadi pemalu, ada getar dalam hati tatkala tersentuh tubuh gadis itu..

Sarah..aku merindui kamu..pulanglah dengan segera. Lemah dirasakan dunianya, tanpa kedengaran suara gadis itu memanggilnya dari anjung rumah, menyuruhnya segera ke tempat kerja atau membantunya berbelanja pasar..atau kadangkala sengaja gadis nakal itu mengacahnya supaya dia kelam kabut mencari. ahh..kau sudah berubah menjadi gadis paling ayu pernah kujumpa, moga kau menjadi milikku suatu hari nanti.

Hari sabtu kali ini adalah hari sabtu yang membahagiakan kerana didatangi sepucuk surat pada tengaharinya. Kebetulan Yusri tidak bekerja hari itu kerana menemani ibunya ke bandar membeli kain pasang. Cop Kuala Lumpur buatkan Yusri tak sabar-sabar untuk membukanya. Dia terus berlari ke tepi sungai yang tidak jauh di belakang rumahnya. Mengambil tempat di sepohon pokok yang rendang, menyedut nafas dalam-dalam. Bibir Yusri menguntum senyum . Debar dalam hatinya hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui.

“…aku akan pulang ke kampung pada 06hb. September. Sengaja ambil cuti panjang untuk mengacau engkau dan buatkan engkau merajuk.”

Yusri mengira-ngira dengan jari. Hari ini 4 haribulan September. Maknanya lusa Sarah akan pulang menemuinya. Hati Yusri menjerit-jerit kegirangan. Terasa lama sungguh tempoh 2 hari itu. Cepatlah masa berlalu..aku tak sabar menunggu pulangnya puteri pujaan aku.


~bersambung.

 

Monday, 20 June 2011

HIDUP PENUH RANJAU: Bahagian 2


Bulan September baru sahaja bermula. Hujan agak kerap berlaku dan selalunya lebat dan diiringi dengan petir dan kilat. Sarah lekas-lekas menutup daun pintu sebaik sahaja kembali dari rumah Odah di simpang jalan. Dia basah kuyup kerana terlupa membawa payung ataupun baju hujan. Beg tangan kulitnya turut lecun menimbulkan tompok-tompok birat di satu dua tempat. Sarah tadinya singgah sebentar sahaja selepas turun dari bas yang membawanya pulang dari tempat kerja. Taman Permata tidaklah jauh dari ibukota kerana jarak perjalanannya sekadar mengambil masa 20 minit dengan kereta.
 Selepas menunaikan solat Asar, Sarah membancuh susu tepung dengan air suam. Dia mencapai bekas berisi biskut kering dan menuju ke ruang tamu. Hendak membuka tv hujan petir pula..bisiknya. majalah Ujang dicapai lalu dibaca, dia tidak ketawa seperti selalu. Sudah jemu dengan isi kandungan kerana majalah itu edisi bulan sudah.Menerawang di sekeliling rumah. Memerhatikan percikan hujan yang berjejeran melalui hujung atap. Tanpa disedari, airmatanya turut meluncur laju membasahi pipinya yang gebu. Sarah mencapai sekeping kad undangan berwarna hijau epal yang berbau wangi di atas meja kopi. Sarah membeleknya.. Kunjungannya ke rumah Odah tadi juga bertujuan untuk menghilangkan resah dan sepi tinggal keseorangan di rumah sewa yang besar itu. Tapi sepi terus bernama sepi. Gelagat Odah-sahabatnya yang mencuit hati tidak dapat menenangkannya.. Sarah makin tertekan.
 Hari ini baru 23hb. Esok lusa baru gaji. Perlu kirim ke kampung untuk Midah anak sepupunya membayar yuran periksa SPM. Bil api dan air juga duit sewa bulanan sebanyak dua ratus ringgit wajib diketepikan. Akhirnya Sarah tersandar di dinding kerana baki yang tertinggal hanyak sebanyak tiga ratus ringgit. Dia harus lebih berjimat bulan depan. Tambang bas sebulan juga mencecah angka seratus. Pening memikirkan wang menyebabkan Sarah banyak berdiam diri. Gajinya sebagai kerani cabuk di pejabat peguam itu tidaklah sebesar mana, Sarah nekad mahu bekerja lebih masa walaupun dia tahu tiada siapa yang mahu menumpangkannya ke Taman Permata itu jika balik lebih dari jam 5 petang. Overtime biasanya tamat jam 8 malam dan Sarah harus menunggu bas selama setengah jam di pondok menunggu itu. Keadaan itulah yang menyebabkan dia resah dan bimbang akan keselamatan diri.
 Sudah lebih 6 bulan Sarah tidak menjenguk kampung. Bukannya apa, jika pulang ke kampung nanti akan menyusutkan perbelanjaan dia di kota. Sarah tiada saudara mara di sini. Penghijrahannya juga demi masa depan walau tidak berapa direstu oleh Yusri-sahabat lamanya yang paling rapat di kampung.
 “Aku nak cuba cari duit sendiri Yus. Kat sini apalah yang aku nak buat, setakat kerja kilang yang boleh dibuang tak tentu masa. Kat KL nanti aku dapat kerja kerani kerajaan. Masa depan aku lebih terjamin walau gaji permulaannya kecil sedikit..”
 “Aku takut kau berubah bila balik nanti. Yalah…kata orang, KL tu mencabar. Serba moden. Aku takut kau lupa pakai baju kebaya dan kurung lagi. Dapat gaji saja, mulanya nak beli kasut tinggi 4 inci dan mekap mahal-mahal.”
 Sarah ketawa besar. Yusri menjuihkan bibir tanda meluat. Dia sayangkan Sarah sejak dulu, Cuma dia masih tak yakin untuk menyatakan kepada Sarah. Yusri sedar dia anak orang susah seperti Sarah, kerjanya hanya sebagai juruteknik di kilang elektronik. Sebumbung dengan Sarah. Sijil juruteknik itu diperolehinya di salah sebuah institut kerajaan pada 5 tahun sudah. Setakat gaji seribu dua ratus dan tinggal di kampung kecil ini, dia yakin mampu menyunting seorang gadis, cuma dia belum ada keyakinan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami.
 Yusri mahu mengumpul wang bagi membeli sebuah kereta idamannya dan mendirikan sebuah rumah sendiri. Diam-diam Yusri memasang angan-angan mahu mendirikan sebuah rumah besar untuk dia dan Sarah di atas tanah pusaka yang telah diwasiatkan kepadanya oleh aruah ayahnya tidak lama dahulu.
 “Oh..kau takut aku lupakan kau ye? Entah-entah kau yang lupakan aku tak? Manalah tahu, kat kilang tu ramai lagi gadis-gadis yang lebih jelita dari aku Yus. Ramai lagi anak-anak orang kaya yang kau boleh tumpang senang seumur hidup kau..”
Yusri ketawa berdekah-dekah. Kuat juga cemburu gadis ini. Namun seramai manapun gadis kilang atau anak dara kampung yang lebih cantik rupawan dari Sarah, hatinya sudah lama terpaku kepadanya. Ahh..tak mungkin aku melepaskan kamu Sarah...tak mungkin. Senyum kamu itulah yang selalu kubawa dalam mimpi, lirik matamu itulah penawar kesepianku. Mahukah kamu menerimaku sebagai teman hidupmu Sarah? Tidakkah terlalu keterlaluan rasanya menukar ikatan persahabatan ini kepada ikatan kasih sayang suami isteri?..kadang-kala aku curiga kamu menolaknya dan kadang-kala aku keliru andai penyataan ku ini bisa membuatmu bahagia...benarkah?
Kau tunggulah aku sayang, lamaranku pasti datang.


~bersambung.






Friday, 17 June 2011

Mee Goreng kak Lola

I am a big fan of any kind of noodles expecially fried noodles-mamak style. Love the texture, taste  and rich of carbohydrate. I do also love to eat pasta. 

tapi yang hampanya, penat-penat memasaknya di subuh hari untuk sarapan pagi, aiman tak mahu makan pula. hanya aku dan hamdan saja lah yang makan. aiman pergi sekolah tambahan tanpa menjamah apa-apa. 

Resepinya:


1 peket mee kuning-celur dan toskan.
3 ulas bawang merah ( ikut suka )
2 ulas bawang putih
2 sudu makan sos cili
1 sudu makan kicap manis
5 sudu makan cili kisar
sedikit ikan bilis atau satu kiub stok ikan bilis
10 ekor udang dibuang kepala dan ekor-cuci bersih
2 biji telur
daun sup untuk hiasan
garam secukup rasa


Cara memasaknya:

Tumis bawang merah, dan bawang putih hingga naik bau, masukkan cili kisar dan udang, kecilkan api dapur. masukkan kicap, sos, kiub ikan bilis dan garam. masukkan mee yang telah dicelur tadi , masukkan sekali daun sup , pecahkan telur ke atas mee dan gaul sebati hingga mee sedikit kering.

angkat dan hidangkan. boleh juga ditambah bawang goreng dan limau nipis.

selamat mencuba.
~Lola.











Thursday, 16 June 2011

HIDUP PENUH RANJAU: Bahagian 1


Aku terkenangkan si dia. terkenangkan kisah-kisah silam yang masih menghantui jiwa, bertahun aku cuba berlari jauh-jauh dari semua kenangan tersebut namun apa yang ku temui hanyalah debar kerinduan yang semakin mendalam. parah sudah aku ini, karam tak bertempat dan berhaluan. ibarat buih di tasik yang berpusing-pusing diusik angin sepoi padahal dasar tasik itu sudah cemas dengan gelora. bagaimana harus ku tenteramkan perasaan ini? aku sudah tidak tertahankan lagi, aku sudah tidak tertanggungkan lagi..


sebagai wanita, aku hanya tahu menangis dan berdoa kepada Allah. dalam kesengsaraan menerima ujian, hati masih tidak putus mengetuk harapan.betapa sedihnya seorang aku ini jika kamu gambarkan ia sekarang Yus. aku sudah terlalu asing dari Sarah yang pernah kamu kenali suatu waktu dahulu..satu soalan yang ingin kutanya kepadamu..kenapa kau tinggalkan aku? tahukah kau bahawa kau telah mengambil kesemua hati dan jiwaku hingga tidak sedikitpun bersisa. bagaimana aku harus kemudikan bahteraku jika kau telah membawa lari panji-panji. 
 
aku tak akan berhenti dari mencarimu, menunggu kau pulang kembalikan harapan. kita sudah membesar bersama, berkasih berdua, berjanji akan sehidup semati, namun kau kalah dengan sedikit ujian duniawi lantas berlari menghilangkan diri..meninggalkan aku  keseorangan. apa salahku Yus?..hukuman apakah yang kau berikan ini..

~bersambung.

Wednesday, 15 June 2011

HIDUP PENUH RANJAU: Pengenalan


LIFE FULL OFF SORROW
(…and you make me a griever .)

13 th. July 2002 - 9.00 pm.

I am still loyal write a great line in this book. Still the same line since 2 years ago, that i’m missing you my friend. I am really mean it, and I’m floating in tears. Hard to say, why I never give-up in writing ,why must always declare my truly soul to you..even I know you would not be mine forever, may be I have lost my mind, but you may not knowing that I am truly loving you since child. Hardly I tried to embrace my tears , but when the time appear, I can’t bear to pretend how upset it is. Let me cry lonely because if you here, I would not grieving like this..


15th July 2002 – 2.34 am
Yusry, a huge  love I present to you. I have no more dream. You have buried all our memories. I do not understand, perhaps mine have lost all courage. Yusry, my prays will follow your shadow. Hope  you find your way with intan zulaikha-your lovely  fiancĂ©. Am I right about this…I have told you before that you will find your soul mate and will love her in your lifetime..so I pray this lady will love you, take care of you and your mother. 

 ***************
Inilah nukilanku yang masih tergantung semenjak 27.02.2009. aku cuba menyiapkannya dengan sebaik mungkin. versi bahasa Inggeris ini sengaja kubuat begini kerana rakan-rakan dari London dan Jerman yang kukenali dari alam siber meminta aku menterjemahkannya hatta sedikitpun. Aku tak mampu untuk translate all the story but they seem like to read more. nothing much happier than our art ada follower tersendiri. mungkin pada orang nampak stupid but i like it  ..

Aku selalu cuba untuk menghabiskan novel ini tetapi kekangan masa dek kerja yang memerlukan date line setiap hari di IKBN Dusun Tua menyebabkan aku kelunturan mood.Acapkali aku kecundang bila mahu meneruskannya. dan pada tarikh 27.09.2009 itulah, aku bagai dipukul badai, dimana aku menangis akibat penangan novelku sendiri...selama menulis novel, aku akan dibayangi oleh 'roh' watak utama, merasai getaran cintanya jika dia sedang dilamun cinta dan merasai kesepian jika dia patah hati. duniaku aneh..hanya Tuhan yang mengerti. 

Jika anda meminati novel ini, teruskan bersama saya di blog ini kerana mungkin anda juga akan mengalami perasaan yang sama dan dapat menyelami dunia saya di belakang tabir.

~bersambung.

HIDUP PENUH RANJAU : TANPA TEPIAN

Maafkan aku untuk kesekian kalinya, terpaksa menitiskan airmata semahunya kerana terkesan dengan impian serta harapan yang tak kesudahan....