Sunday, 15 April 2012

Bila Anak dah mula minta..

Lama tak berblog, bukan apa..sibuk merawat kakiku yang tiba-tiba membengkak. bukan kerana gout tapi kerana digigit serangga. risau juga dalam hati tapi nak pergi klinik takut dicucuk!..maka sapu aje lah dengan minyak Leha. bukan minyak omongan...ini minyak ada jampian ( kata suami). aku iyakan ajelah..

Kisah kali ini adalah kisah anak lelakiku yang dah mulai teruna. semenjak bersekolah di tingkatan 1 ni, aku perhatikan otaknya dah timbul macam-macam. Bukan timbuk keinginan nak belajar, tapi keinginan nak mendalami ilmu berpeleseran...hati ibu dan ayah siapa yang tak bengkak macam ni.

Mula-mula minta naik bas dengan kawan-kawan, aku tepis. kemudian minta ke rumah kawan, aku tepis kerana jika hendak bermain, banyak lagi tempat di bawah apartment dan padang yang boleh dijadikan tempat.  aku memang melarang keras anakku masuk ke rumah jiran sehingga jiranku bertanya sendiri denganku kenapa anakku tak mahu masuk ke rumahnya. aku jawab dengan selamba-yang aku memang tak izinkan dia masuk bermain di rumah orang, bimbang ada kehilangan barang atau kejadian pecah barang. kemudian minta main kompang, aku tepis dengan bersyarat-harus berlatih di dewan bawah flet rumah sahaja baru boleh. dan ternyata benar dia hanya berlatih di dewan serbaguna bawah flet kediaman kami sahaja. dapatlah aku memantau dari atas rumah sahaja. kemudian meminta menyertai rombongan keluarga kawannya di tingkat atas rumah kami-balik kampung. pun aku tepis sekeras-kerasnya. marah juga dia tapi anakku itu cuma seorang, biarlah pengalaman diperolehinya selepas dia tamat tingkatan 5 kerana waktu itu aku akan lepaskannya sedikit demi sedikit.

namun yang paling takjub sekali adalah kemurahan hatinya mempelawa rakan yang baru dikenalinya seramai 2 orang untuk bertandang ke rumah saat kami tiada...dengan tujuan tempat lepak dan merokok! aku percaya dia cuma merasa sedikit rokok tersebut namun paling sedih sekali ialah hatinya sangat pemurah sehingga tidak dapat memproses kejadian itu dibenarkan atau tidak...bahkan perbuatan mereka menjadikan rumahku sebagai port untuk merokok sudah masuk hari yang ke-3!!

Bagaimana harus untuk aku melepaskannya seorang diri di waktu sekarang kerana pemikirannya belum cukup matang untuk menentukan buruk dan baiknya sesuatu perkara itu. jika jiran-jiran beranggapan aku ini sangat garang, ya aku akui. kerana tragedi tak mengenal siapa. sebelum terlambat baik mencegah.

Walau apapun, aku tetap sayangkan dia dan alhamdulillah kini dia semakin terbuka, walau dia tahu aku tak mungkin mengizinkan, dia tetap memberitahu sebelum melakukannya. kejadian minggu sudah banyak menyedarkannya tentang betapa pentingnya restu ibubapa kerana dari situ datangnya Redha Allah SWT. aku hanya mengharapkan dan sentiasa mendoakan yang terbaik buat anakku, semoga dia membesar dalam lindungan Allah SWT dan sentiasa mengingati segala didikan kami. Amin.

Wednesday, 11 April 2012

Kuih Lapis Lola

Semalam jenguk-jenguk blok kak Zu Semanis Gula dan kak Azlita Masam Manis. ternampak kuih lapis. cantik je. hati meronta-ronta nak buat juga memandangkan resepi-resepi yang lain banyak menggunakan ketuhar ( kes ketuhar en. hubby masih belum mahu angkut ke kedai repair..). maka jeling-jeling la resepi yang boleh di kukus, bakar, panggang, goreng dan rebus..huuhuhu

Resepi kuih lapis ni saya namakan Lola sebab mengambil nama sempena nama pena blog. hahahhaa, sebenarnya orang dulu-dulu dah banyak dah buat kuih lapis ni, kira kuih cincai je namun dek saya ni baru nak kenal-kenal dapur, terasa seperti istimewa pulak tahu membuatnya..wah..suamipun kata sedap sebab tak la manis sangat dan lembut pula. apakan tidak, nak melapis sebanyak 14 lapis tu kenalah banyakkan selawat supaya hati jadi relax sambil tengok-tengok tv. orang semua dah terlelap tinggal kita aje yang terhendap-hedap kat dapur tgk dah masak ke belum..hahhahaa. kelakarnya. kalau ikutkan hati panas baran nak cepat siap mau ku tuang aje 1 cawan setiap lapis, biar cepat habis. alhamdulillah, berkat kesabaran, akhirnya membuahkan hasil kerana texturenya gebu, licin dan baris-baris lapispun sekata je.



 bahan-bahannya:

2 cawan tepung gandum
2 cawan tepung beras
1 cawan tepung pulut
1 cawan gula pasir
2 sudu besar minyak masak
1kilo santan pekat ( anggaran 4 cawan atau lihat adunan )
secubit garam
sehelai daun pandan-saya tak letak. jika masukkan bahan ini, kena di blender dan tapis dan kemudian masukkan dalam adunan.

cara-caranya:

gula dan 1 cawan santan dikacau hingga gula hampir larut.
tuang semua dalam bahan-bahan yang lain dan kacau. boleh juga gunakan blender atau mixer tapi saya hanya gunakan senduk sahaja.
bahagikan kepada 2 bahagian. satu diwarnakan merah, satu lagi diwarnakan hijau. warna adalah mengikut kesukaan anda. sapu loyang dengan minyak masak.
panaskan pengukus, lapiskan satu warna dahulu dan tunggu dalam 2 minit atau anda lihat permukaannya sudah masak sedikit, barulah dituang lapisan seterusnya. buat sehingga habis dan kukus lebih kurang 15 minit baru tutup api kukusan.
adunan yang saya buat cukup untuk buat 14 lapis 2 seduk setiap lapis bagi loyang bulat 8 x3 inci.
selamat mencuba!








terima kasih kak zu dan kak azlita atas tunjuk ajar melalui blog anda. asas untuk membuat kuih ini saya dah tahu hanya masukkan bahan-bahan yang lain sebagai penambah perisa di lain masa. sekurang-kurangnya jika teringin nak makan, tak perlulah nak beli di kedai yang harganya 40-45 sen sebiji namun rasanya belum tentu sedap. 

Tuesday, 27 March 2012

Puding Kiwi


Hello...kali ini saya paparkan hasil puding kiwi yang dipelajari daripada blog kak Azlita masam manis. jika tak minat nak masak memang sukar memahami resepi-resepi kak Azlita yang agak mudah meski beliau menyertakan sekali proses pembuatan ( kebanyakkannya) kuih muih dan kek beliau. jadi saya kongsikan di sini resepi mudah membuat puding kiwi.

bahan-bahannya:

2 biji buah kiwi masak
1 peket agar-agar
1 1/4 air ( sukat dari plastik agar-agar tadi )
1-2 cawan santan pekat@susu cair ( ikut suka )
1 1/2 cawan gula ( ikut suka manis sbb kiwi tu agak masam )
sedikit pewarna hijau ( lagi hijau lagi cantik-saya gunakan hijau epal )
1/2 cawan air untuk blender kiwi

cara-cara membuatnya:

blender buah kiwi dengan 1/2 cawan air-tapis dan ketepikan
masak agar-agar bersama air dan gula sampai betul-betul hancur dan sebati
bahagi 2 adunan
satu adunan di masak bersama kiwi yang diblend tadi dan masak sebentar-angkat
adunan yang lagi satu, jerang semula atas api dan masukkan santan/susu cair dan bila dah mula mengelegak, matikan api.

ambil acuan kegemaran dan masukkan lapisan kiwi dahulu, tunggu ia mengeras sedikit dan masukkan lapisan santan/susu dan buat proses ini dengan sabar berulangkali. masukkan dalam peti ais.

***nak melapis tu yang kena banyak sabar, jika tidak, adunan akan bercampur aduk dan menjadi tidak cantik.

selamat mencuba.

Sunday, 25 March 2012

HIDUP PENUH RANJAU: Bahagian 8


Oh! Aku tak boleh hilangkan kenangan itu….semuanya menyakitkan, semuanya memedihkan. Bagaimana harus aku belajar hidup tanpa bayangan Yusri. Sarah merintih sendiri. Baginya tiada apa yang lebih memeranjatkan dari menerima berita yang datang secara tiba-tiba tengahari tadi.

Selama ini Sarah sangka rimbunan rindunya yang tertanam sejak kecil akan tumbuh menjadi sepohon pokok rendang seperti cerita dongeng Bawang Putih Bawang Merah. Sarah lupa ini semua kuasa Tuhan, semua ini merupakan ujian baginya. Dia Cuma mampu merindui sahabatnya, namun bukan berpeluang untuk terus menyintainya. Sarah tak tahu mengapa Yusri berubah. Dia juga tak mengerti samada perjalanan hidupnya sekian ini telah menemui matlamatnya. 

Sarah menundukkan wajahnya yang cengkung, beberapa titis airmata hangat menitik ke ribanya. Apalah daya gadis itu, untuk mengesat airmatanya sahaja dia tak berupaya…

15hb. Julai 2002 – 2.34 pagi

            Yus, sekalung kasih aku rantaikan ke lehermu. Aku sudah tak mempunyai impian lagi. Kau juga sudah kuburkan semua impian zaman kanak-kanak kita jauh dari daerah kita. Aku tak memahami, malah untuk cuba mengerti juga aku sudah tak berdaya. Yus, doa-doaku akan sentiasa mengiringi perjalanan hidupmu. Setulus kasihmu terhadap Zulaikha Intan- bakal isterimu tidak lama lagi. Bukankah sudah kujelaskan tidak lama dahulu, kau pasti akan menemui insan istimewa yang akan mengasihimu sepanjang hayat? Maka Zulaikha itu aku doakan menyintaimu, mengasihimu dan menjagamu serta ibu dengan amat baik.

Kegembiraanmu adalah kegembiraan yang aku tumpang sejak dari kecil.  Seharusnya aku tak layak untuk mencederakan sedikitpun perasaanmu. Terima kasih kerana menjadi sahabatku. Aku gembira kau telah menemui pilihan hati yang bakal mengongsi suka dan duka bersama.

            Di tempat kerja, Sarah asyik ditegur ketua kerana seringkali lalai dan bermenung tidak tentu arah. Tugas Sarah mencari fail. Kadang-kala fail yang diminta unit ini diberi kepada unit lain. Teman sepejabat yang perihatin, menggeleng kehairanan.

            Hamizah menghampiri Sarah sewaktu gadis itu bersandar di sebalik kabinet fail. Mizah memegang bahu Sarah yang sudah dianggap seperti adik sendiri. Tak pernah dia melihat Sarah berkeadaan begini semenjak bertugas. Di hadapan matanya selama lebih dua tahun dia mengenali Sarah, Mizah tak pernah melihat airmata Sarah mengalir seperti itu. Hatinya nekad ingin membantu meringankan beban yang sedang ditanggung oleh Sarah.

            “Sarah ada masalah di kampung ke?”
            “Tak ada apa-apalah puan. Sarah Cuma tak sihat sikit. Puan janganlah risau…” dalih Sarah, malu.
            “Saya nak bantu Sarah. Kalau-kalau Sarah perlukan pertolongan saya. Sarah perlukan duit ke?…”
         “Tidak…terima kasih puan kerana prihatin. Sarah menyusahkan puan saja. Sebenarnya …Sarah rindukan aruah emak, itu saja.”
            “Betul ke ni…tapi saya tak percaya. Saya lebih tua dari Sarah. Saya tahu kesedihan dan kerinduan kamu ni lebih dari itu.”

            Sarah memandang wajah Hamizah. Sinar matanya yang redup itu menyatakan keikhlasan ingin membantu. Tapi Sarah tak mahu membebankan sesiapa. Rahsia hati itu biarlah terus menjadi rahsia hatinya.

Hamizah beredar meninggalkan Sarah di celahan kabinet fail, sendirian. Dia tahu, jika di asak soalan bertubi-tubi pun, tak mungkin gadis itu akan bercerita kepadanya. Hati perempuannya meronta ingin mengajak berbicara dan mengetahui lebih lanjut..jika kamu mahu.

            Sewaktu Sarah melangkah keluar pintu pejabat untuk ke kantin, dia terlanggar bahu seseorang. Memang sungguh Sarah tidak perasan, lelaki yang dilanggarnya itu memalingkan wajah ke arahnya. Kacak juga…getus hati Sarah. Namun hatinya yang sedang berkecamuk menyebabkan dia tidak mahu berfikir banyak tentang lelaki muda itu.

            “ Cik..boleh saya jumpa Pn. Hamizah?”
         Sarah memandangnya seketika, dengan pandangan kosong. Lalu menyuruhnya masuk ke pejabat mencari sendiri Pn. Hamizah seperti yang didakwa. Sarah terasa tekaknya begitu perit untuk berkata-kata. Bukan kehausan…tapi bagaikan ada selumbar yang menyucuk-nyucuk dengan kejam. Lelaki itu mengucapkan terima kasih lantas menghilang ke pejabat. Ahh…kasihan dia tidak kusambut sebagai tetamu.

~siapakah lelaki kacak tersebut?..apakah kehadirannya mengundang kegembiraan buat Sarah?

~bersambung lagi...sabar.

Wednesday, 21 March 2012

Peperiksaan dan Keputusan

Keputusan SPM dah keluar semalam. Tahniah kepada yang cemerlang dan kepada yang kurang bernasib baik, jangan putus asa. Hidup mesti diteruskan dan tak boleh nak diundur masa tersebut. Apa yang pasti, kecemerlangan dalam peperiksaan kebiasaannya bertitik tolak dari usaha pada awal-awal lagi. ditambah dengan usaha berganda dari segi kerohanian dan hubungan baik sesama insan. aku tak tipu tapi ini kajian dari segelintir pelajar yang mendapat keputusan cemerlang meski dia berbangsa apa juga.

Apa rahsianya ye?

1-Tekun belajar, buat home work, buat latihan tubi
2-Solat 5 waktu, diiringi solat hajat dan sunat serta puasa Isnin Khamis
3-Berbuat baik kepada kedua ibubapa dan keluarga serta guru-guru
4-Bergaul baik dengan jiran tetangga dan sahabat handai
5.Pastikan makan dan minum adalah dari makanan yang hala dan sumbernya juga mestilah halal


Sekurang-kurang 5 perkara ini adalah rutin harian dalam kehidupan seorang pelajar barulah hasilnya Insyallah cemerlang luar dan dalam. Aku sangat yakin spiritual kena bersih untuk menerima ilmu. Bukan mudah Allah SWT hendak memberikan apa yang kita hajati jika kita tak berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Begitu juga dengan ibubapa, sentiasalah mendoakan kesejahteraan anak-anak dan restumu mendapat keredhaan dari Allah SWT. 

Jika mengamalkan semua 5 diatas namun masih gagal, jangan putus asa. Ada hikmah dari Allah SWT yang kita tak nampak buat masa sekarang. Allah memberikan kesedihan untuk digantikan dengan kegembiraan. Apa-apapun, Istigfar banyak-banyak semoga segala macam rasa yang bersarang dalam hati terungkai tak lama lagi.

Tuesday, 20 March 2012

Puding Kacang Merah

Suami memang suka makan puding. anak pun terikut-ikut sama namun maknya saja yang kadang-kadang rajin, kadang-kadang tak berapa selera nak buat. hehhe..hari-hari mesti jenguk dapur kak Azlita, intai resepi-resepi mudah yang boleh dibuat di dapur kecilku. kalau rezekiku murah, hasil kejadian alhamdulillah sedap dan menyelerakan. jika sebaliknya faham-faham aje lah ye..hahahahhaha...sebelum bagitau baik gelak dulu.

Kali ini aku nak kongsikan satu resepi mudah nak buat puding kacang merah. itu terpulang kepada korang nak letak apa dalam puding tu, tapi disebabkan struktur, kaler dan bentuk kacang merah yang mengiurkan dalam blog kak Azlita tu, membuatkan hatiku begitu teruja nak mencuba. kebetulan pula rombongan mak dan ayah dari Johor Bahru nak datang, lagilah semangat nak tunjukkan kepandaian memasak..( hahahahahahha ). dari petang bawa ke lepas Maghrib aku merebus si kacang merah namun hasilnya masih kurang empuk ( biarlah ). dia ni liat sikit, nak kena rendam lama, barulah boleh direbus, jika terus merebus, perlukan masa yang lama dan kesabaran tahap Delta. di mataku, aku memotovasikan diri dengan gambaran hasil yang sangat menarik seperti puding kak Azlita tu..fuhh..kena buat juga ni, kaki dah kebas dek berdiri ke hulu kehilir menambah air dan mengacau supaya tak cedera dimakan api si kacang-kacang merahku..huhu.

Bahan-bahannya :

1 cwn Kacang Merah
1 packet / 13g Serbuk Agar-Agar-saya guna agar-agar kering 
1 liter Air-saya sukat ikut plastik panjang agar-agar kering tadi =1 1/4
240g Gula-saya letak 1 cawan @ 2 cawan jika suka manis
1 tin Susu Cair 
1 sb Tpg Jagung-saya tak letak
1 heai Daun Pandan-saya tak letak sbb lupa nak beli
Sediki Pewarna Merah Jambu-saya guna sirap rose
secubit garam -untuk merebus kacang supaya tak tawar sgt

Rebus kacang sehingga empuk.
Ambil 1/2 cwn & ratakan ke dlm acuan.
Blend baki kacang sehingga hancur
Letakkan serbuk agar-agar, air, gula & daun pandan ke dlm periuk & masak sehingga hancur.
Sendukkan +/- 1/2 cwn & tuangkan ke atas kcg merah dlm acuan tadi.
Masukkan campuran kcg merah yg di mesin tadi ke dlm agar2 & masak sehingga mendidih.
Biarkan lapisan kcg merah tadi mengeras sedikit sebelum di tuangkan masakan agar2.
Biar agar2 sejuk di suhu bilik sebelum di masukkan ke dlm peti sejuk.
Hidangkan sejuk.


**saya masak agar-agar dengan gula dan sirap, bila benar-benar sebati dan hancur semua agar-agar, baru masukkan susu cair dan kacang merah yang di kisar halus.

inilah hasilnya yang tak seberapa 
terima kasih kak Azlita kerana berkongsi resepi, saya akan cuba yang terbaik di masa mendatang dan mempelbagaikan idea untuk dikongsi bersama, yang penting saya telah berjaya mencuba dan rasanya wah..tak keras, tak lembik..sedang elok untuk dipotong dan dihidang kepada tetamu. penat berdiri lama di dapur berbaloi kerana hasilnya membanggakan. cubalah...

Monday, 19 March 2012

HIDUP PENUH RANJAU: Bahagian 7


Kenangan manis memang indah untuk diimbas. Sarah sudah tidak punya apa-apa selain sejuring kenangan yang tersemadi dalam hidup wanitanya. Hidup dirasakan sudah kurang nilai dan apa erti kerinduan ini juga dia tidak mengerti.

Kerinduan dan segala kesetiaan terhadap lelaki itu terjawab pada kad merah jambu yang ada di genggamannya sekarang. Sarah hilang punca. Sarah kecewa. Sarah menangis lagi “kenapa kau tinggalkan aku Yus? Kenapa kau tinggalkan aku..kenapa tak mencariku dan menunggu aku seketika..”

Sarah mengingat-ingat nombor telefon kampung, nombor telefon rumah Yusri. Tak kuat hatinya untuk bertanya khabar walaupun hatinya meronta-ronta. Namun kerana seorang lelaki, Sarah menebalkan ego dari kembali ke kampung. Hati Sarah sakit, jiwa Sarah hancur. Sarah rasakan hidupnya kosong sekejapan itu juga. Perlahan-lahan dia cuba memejamkan mata.

………………………………………………………….

“Hajat aku dah tercapai. Bulan depan kalau kau balik kampung, aku jemput kau di pekan dengan kereta ni.” Yusri tersenyum girang melihat kereta Kancil warna Merah dihadapannya. Beberapa minggu lagi urusan selesai dan dia boleh membawa pulang kereta idamannya. Sarah hanya ketawa kecil.

“Baguslah…lepas ni kau kena berjimat sebab belanja menguruskan kereta bukan sikit. Kenalah kau kurangkan merokok ya?”
“Aku tak janji. Boleh kau gantikan syarat tu dengan yang lain?”
“Nanti kau jatuh sakit kalau masih kuat merokok. Kau tahu aku tak suka orang yang kuat merokok kan?”
“Insya’Allah, aku akan cuba kurangkan sikit. Err..bila kau cuti lagi?”
“Yus…aku tak boleh ambil cuti sesuka hati tiap-tiap bulan. Paling kurang pun, tiga hari dalam masa dua bulan. Aku pun kena simpan cuti untuk perkara-perkara mustahak dan untuk hari raya hujung tahun nanti, kau sabarlah…”

“Aku tak biasa berjauhan dengan kau sejak kecil. Kau yang tak ingatkan aku. kalau boleh aku nak mintak kerja di KL, biar dekat sikit .”
“Siapa pula yang nak jaga emak kau dan tolong tengok-tengokkan mak cik aku tu?”
“Tahun depan kau minta tukar ke bandar sini tak boleh?”
“Masih baru lagi…aku tak pernah terfikir tentang itu. Insya’Allah, aku akan cuba ikhtiarkan nanti. Marilah kita balik, hari dah lewat, nanti marah pulak emak kau dan mak cik aku.”

“Marilah..”

~bersambung.

HIDUP PENUH RANJAU : TANPA TEPIAN

Maafkan aku untuk kesekian kalinya, terpaksa menitiskan airmata semahunya kerana terkesan dengan impian serta harapan yang tak kesudahan....