Saturday, 30 July 2016

AKU YANG BERKECIL HATI

Kamu mungkin tidak menyedari,  aku selalu berkecil hati. Terluka hatiku dengan tindakan kamu,  terluka aku dengan sikap tak endah mu itu..

Aku lebih gembira jika kau kata tidak mahu diganggu.  Aku akan lebih bahagia jika ketelusan nurani seiring dengan tindakan yang kamu ambil. Bukan sekadar mendiamkan diri dan berharap aku sentiasa memahami.  Tahukah kamu,  aku sudah berasa letih ditempatku...

Perlukah aku hentikan semua kemelut ini... 

Friday, 29 July 2016

DITUJUKAN KEPADA HATI HATI YANG LARA

Maafkan aku sahabat.  Tiada niat membeban,  tiada niat meluka bahkan tiada sekelumit rasa menghutangi kamu dengan kisah kisah dongengku.  Namun kepada siapa lagi aku mahu berkongsi fantasi demi sebidang kebahagiaan yang bersisa.  Aku yang punya sejuta harapan,  aku yang miliki segunung impian,  dan aku juga yang seringkali jatuh dalam lembah kedukaan.  Biarpun berkali kali dirempuh badai,  aku berjanji akan selalu tabah hati juga bermuhasabah diri. 

Aku ini pencinta,  hina sangatkah demikian? 

Aku tak tertahankan bilamana sering terpaksa menjadi perindu dan menunggu sesuatu yang bagai tiada berkesudahan.  Kamu tahu aku mencintaimu,  disebabkan itu kamu sengaja memperlakukan aku sewenang wenangnya. Kamu bagai tiada usaha merapatkan jarak yang semakin ketara.. Paling paling pun sekadar mengungkapkan kata adakah aku rindukan dia.

Aku wanita,  yang perlukan sentuhan serta ucapan,  selain membuktikan.




Sarah: dalam dilema Roslan. 

Sunday, 24 July 2016

HIDUP PENUH RANJAU : Jodoh

Kesakitan ditinggalkan oleh orang yang didamba memang tidak tergambarkan dengan kata-kata. Tidak boleh diceritakan, tidak boleh dikongsi bahkan tidak langsung boleh mengadu kepada sesiapa jua kerana presepsi berbeza pandangan orang luar yang bisa menambahkan lagi duka. Waktu senggang itu biarlah menjadi detik keramat kepada diri sendiri dan belajar menerima penolakan. Sampai suatu masa kelak, pengalaman tersebut akan menjadi momen terindah walau pernah menderitakan.

Namun apa yang terlebih kecewa sebenarnya bila cinta tersebut rupanya kembali semula, betul betul berdiri di ambang pintu hatimu saat kau bersedia hidup bahagia dengan pasangan kedua!

Lebih parah bilamana kau masih ada keinginan untuk 'meneroka' cinta lama dan membiarkan diri 'terbang' bersama-samanya. Mungkin dengan sedikit harapan bersisa di sudut hati, kau pasti menemukan bahagia yang selama ini dicari..agaknya.

Hidup bersama pasangan kedua, masih mempunyai bahagia namun intipati yang diharapkan kadangkala lari dari hasrat hati dan keinginan yang disemai pada pasangan pilihan. Tidak juga mengharapkan bulan dan bintang, sekadar meneruskan kehidupan seperti biasa, tidak seperti kemenangan pada pengertian dan rasa cinta lebih mendalam jika bersama kekasih pujaan hati...agaknya lah kan....

Jika pasangan itu adalah insan yang dicinta sepenuh jiwa, penzahiran mungkin sedikit berbeza dan keikhlasan yang diberikan adalah mungkin lebih berganda lagi...rasa-rasa begitulah agaknya.

Pernahkan kamu menganalisa..seseorang yang tidak begitu dicintai, menjadi teman hidupmu, menjadi rakan, sahabat dan berkongsi setiap adamu. Dia rela tinggalkan seluruh keluarganya demi mengahwini kamu, berikan apa sahaja yang kamu mahu..selain HATI dimana sedikit hati tersebut telah diperuntukkan untuk sidia kekasih lama yang masih belum mahu diturunkan takhta, bukan sidia yang tak mahu turun tetapi si pemilik hati yang sengaja memerangkapnya disana. lama.

Bila berbicara tentang HATI..rasanya tiada manusiapun yang mampu menghuraikan kepelbagaian rasa yang dikandung oleh secebis daging bernama hati..


Sarah-Roslan-Yusri.
-Ada apa dengan cinta...








Thursday, 21 July 2016

HIDUP PENUH RANJAU : Aku lepaskan kau kembali

31 Mac 2009 : jam 10.55 malam ( Selasa yang bersejarah )

Setelah hampir 4 hari berada di bumi London, Sarah nekad mahu pulang ke tanahair. Yusri menghantarnya ke lapangan terbang dengan sejuta perasaan terbuku dalam jiwa. Najmissa sekejap mahu didukung dan sekejap mahu berlari ke sana kemari.

Yusri mengambil tempat disisi Sarah apabila Sarah selesai mendaftar masuk bagasinya. Penerbangannya jam 11.55 malam dan dijangka tiba di Kuala Lumpur jam 7.45 pagi keesokan hari. Satu perjalanan yang sangat panjang dan membosankan.

Dia merangkul bahu Sarah dan menepuk mesra. Wanita itu nampaknya sedikit resah atau mungkin sedang dalam dilema untuk mengagihkan diri serta perasaannya selepas ini. 

"Aku gembira kau datang menemuiku di sini..membawa rinduku bersama walau kau ambilnya semula hari ini.."

Sarah merebahkan kepala ke bahu Yusri sambil tersenyum.."Hidup ini umpama roda, kau mungkin akan bertemu aku semula suatu hari kelak dan hari tersebut janganlah kau palingkan muka bila melihatku."

"Aku disini menunggumu sayang..tanpa jemu.."


*******************

Nun jauh di awan biru, Sarah memanjatkan doa ke hadrat Illahi, semoga tindakannya ini direstui dan kesilapannya diampuni..sebelum menarik kain selimut yang semerbak harum itu, dia memandang keluar tingkap sebentar. Apa yang kelihatan hanyalah kepulan awan dan kegelapan malam. Masih terasa-rasa hangatnya kucupan sang kekasih hati di kedua belah pipi yang sangat mencalarkan segenap kota hati saat ini...

Selamat tinggal sayang, panjang umur pasti kita bersua lagi. Kerana mahligaimu disini, dihati ini....


Sarah
-01.23 pagi



**bersambung lagi....





















Tuesday, 19 July 2016

HIDUP PENUH RANJAU : Dibutakan oleh cinta

Sarah mengemaskan beg pakaiannya dengan cermat. sepanjang percutian ke London ini, tiada satupun cenderahati ingin dibelinya sebagai kenang-kenangan. Hatinya tiada untuk membawa sebarang kenangan kecuali di sini..di Batley ini..dia melekatkan wajahnya di cermin solek..merasakan kedinginan pagi yang bakal dia rindui tidak lama lagi.

Yusri mengetuk pintu bilik meminta izin untuk masuk. Sarah mengangguk lalu duduk di birai katil dan memerhatikan lelaki itu melabuhkan punggung di kerusi malas bersebelahan meja solek.

"Cepat kau kemaskan baju..apakah kau nak balik sekarang?" soal Yusri kehairanan. Sarah menunduk kelu. Cemas hatinya tatkala menatap raut wajah kekasih lamanya itu. Dia hanya terdiam lama. hatinya bertambah cemas bila lelaki itu merapatinya dan berbaring pula di sebelah. Kau mahu apa..

Yusri menguis-nguis hujung anak baju Sarah dan menjalar pula ke pergelangan tangannya yang mulus. Sarah seakan mahu merentap namun bagaikan terpukau oleh perilaku Yusri..saat itu Sarah terbayangkan seraut wajah insan polos yang selalu merenggut jiwanya, lalu cepat-cepat Sarah bangkit!

"I'm married...yes, i'm married"...

"But I am supposed to be your husband not him..I am." ujar Yusri perlahan menahan sendu. Sarah terjelepok ke lantai kebingungan..bagaimana harus dia hadapi ujian ini dan segalanya berpunca dari kedegilan hati yang menuruti perasaan.

"Marilah kita pulang ke Malaysia, aku perlu berhadapan dengannya"

"Kau hanya akan kecewakan diri kau saja Yus.."

"Aku rela jika itulah Takdir untuk aku saat itu. Yang pasti aku tak dapat menahan diri dari semua ini.."

"Kau juga hanya akan melukakan hati aku ..jika kau benar sayangkan aku, aku rayu jangan lakukan demikian..please" tegas Sarah dalam sendunya.

"Jika kau bahagia hidup dengannya, aku pasti kau tak akan datang ke mari, walau siapapun aku pada pandangan matamu..walau aku bukanlah Mr. Aduka..bukankah begitu Sarah? Bukankah?"

"Sebab aku perempuan murah yang tak layak untuk sesiapa pun..aku hanya bagai menjual maruahku untuk datang kesini mencari kata hati...maafkan aku Yus."

"Please..don't say that honey..kaulah permata hatiku sejak dulu. Aku saja yang tak tahu menjaganya, please..you're just hurt me by saying that..no honey..no.."

Yusri mengangkat tubuh Sarah dari lantai dan dibawa ke atas katil perlahan-lahan. Dia menyeka airmata Sarah dengan ibu jari tangannya, dengan sepenuh kasih sayang.

"Sarah..jika aku mahukan kau begini, sejak sekian lama aku telah mendapatnya. tapi kau sesuci embun pagi, aku hormati itu sayang..jangan bimbang."

Yusri berlalu keluar dari bilik Sarah dan menutup pintu perlahan. Sarah merasakan matanya pijar dan ada titis-titis cecair pekat dan hangat merembes keluar dari hidungnya...

Aku yang selalu buta menilai cinta atau cintanya buat mata hatiku gerhana..













Thursday, 14 July 2016

HIDUP PENUH RANJAU : Terlafaz bicara..

Sarah mencapai telefon di sisi katil. Sudah lama dia tidak menghantar khabar berita kepada seorang lelaki yang jauh dimatanya. Hari ini hatinya bagai dicarik carik pisau belati dan meruntun kalbu. mungkinkah namaku diseru saban waktu..maafkan aku wahai suami. Bukan niat untuk derhaka namun aku juga manusia biasa..berilah aku sedikit ruang jernihkan perasaan yang sedang berpusar hitam.

Dalam pada itu, fikirannya juga sedikit terganggu dengan lafaz janji Yusri semalam..bukan Sarah hendak mempercayai janji janji manis lelaki tapi bait bait ayat yang dilafazkan benar membuatnya kelu...

Perlukah berkorban dan terkorban?


~Sarah
London.

Tuesday, 12 July 2016

DETIK ITU

Masa berlalu begitu pantas, sedang baru bertatih untuk berjalan ianya tiba tiba menghilang. Lenguh menantimu dan aku masih berdiri di ambang pintu ini dalam kesamaran dinihari..

Berkali-kali ku ingin kau tahu, berkali kali aku ingin kau memahami, bahawa di pinggir jalanan ini, ada aku yang sangat luhur ingin menemanimu menyelusuri denai dan ranjau kehidupan. aku juga sangat mengerti kehadiranku ini bagai kumpulan awan mendung yang melindungi kamu dari sinaran terik sang suria. Aku merasakan bahawa hanya akulah yang bisa membuatmu bahagia selagi hayat ada..

Tapi aku lupa keagungan Illahi..Dia yang menciptakan Qada dan Qadar sejak azali lagi..yang menentukan jalan berbeza bagi kita berdua. Dan aku terima dengan hati penuh tawaduk, cuma kadang kala sifat manusia seorang aku yang begitu dhaif, membuatkan aku selalu karam dalam lautan khayalan.

Aku-sebenarnya belum mahu meleraikan cintaku kepadamu.

HIDUP PENUH RANJAU : TANPA TEPIAN

Maafkan aku untuk kesekian kalinya, terpaksa menitiskan airmata semahunya kerana terkesan dengan impian serta harapan yang tak kesudahan....