AKU SEBENARNYA MERINDUI KAMU….
4 Januari 2003 – 2.46 pagi
Yusri duduk termangu dibirai katil.
Mengerling kesisi – seorang isteri sedang lena beradu. Dibiarkan sahaja dan dia
meneruskan lamunan. Jam di dinding berdetik angka 3 pagi. Mengapa payah benar
dia mahu melelapkan mata saat ini. Kotak fikirannya menerawang dan
bercabang-cabang tidak tentu hala. Yusri merasakan hatinya kosong. Dia rasa
sepi dan kehilangan. Puas dia cuba untuk menepis segala bisikan yang datang
tapi akhirnya dia akur...dia rindu kepada Sarah..
Sarah
sahabatku, kekasih dijiwaku..selamat menyambut ulangtahun kelahiranmu yang ke
25 sayang. Maaf aku tiada disisimu kali ini. Mahukah kau memaafkan aku sekali
lagi…
5 Januari 2003 – 7.00 pagi
Roslan menghubungi Sarah seawal pagi. Sarah
sedang bersiap-siap dihadapan cermin soleknya untuk berangkat ke pejabat.
“Ha..abang.
awal telefon hari ini..”
“Tak
suka ke abang call? Abang nak ucap selamat ulangtahun ke 25…apa wish malam
tadi? Boleh abang tahu?”
“Tak
ada apa. Tiap-tiap waktu Sarah buat wish. Moga dipanjangkan umur, murah rezeki,
diampunkan segala dosa-dosa, diberikan jodoh seorang lelaki yang baik di dunia
dan juga di akhirat.”
“Aminn….”
“Apa
hadiah dari abang untuk Sarah? Kalau adalah..”
“Rahsia.
Abang dah ada depan rumah Sarah ni kita keluar sarapan dulu ok ?”
“Emm…tunggu
sekejap ye. Dah hampir siap ni.”
Pagi ini merupakan pagi yang membahagiakan
buat Sarah. Biar hatinya sepi teramat namun sekurang-kurangnya dia gembira di
samping Roslan yang pandai menambat hatinya sejak dulu. Roslan menghulurkan
kotak bersalut kertas kilat warna biru tua kepada Sarah dan apaila Sarah
membukanya, dia melihat seutas rantai tangan yang cantik…sudah tentu mahal.
Roslan meletakkan rantai itu di pergelangan
tangan kanan Sarah. Kulit Sarah yang mulus memang sesuai dengan kuning emas.
Dia senyum, begitu juga Roslan.
“Terima
kasih bang…beli hadiah yang murah sudahlah. Nanti habis duit abang.”
“Untuk
buah hati abang apa salahnya. Sarah tak nak jadi isteri abang.”
“Seribu
kali abang tanya, sekali je Sarah jawab sudi..”
“Heh..terbalik
pulak.”
Mereka tertawa gembira. Bunga-bunga cinta
sudah cukup mekar dan berseri dalam hati.
Di pejabat, Sarah
dikejutkan dengan khabar dari kampung. Yusri mencarinya! Bagai tidak percaya
dan sekejapan itu juga dadanya bergetar dengan kuat. Untuk apa lagi dia
mencariku di sini…ah! Barangkali untuk menyampaikan ucapan Selamat Ulangtahun.
“Pulanglah
ke kampung menemuiku sekali lagi, sekali cuma. Aku terlalu ingin melihat raut
wajahmu…pulanglah..”
Ungkapan
itu terlalu berbisa buat Sarah. Hatinya bagai mahu meronta untuk keluar dari
dalam dada. Dia sungguh sedih, dia sungguh kecewa tapi apakan daya, kudratnya
tiada…
“Aku
tahu aku bersalah, aku berdosa terhadapmu Sarah kekasihku. Jika masih ada ruang
dalam hatimu untuk memaafkan aku, berilah peluang itu sebelum aku menutup
mata..maafkan aku Sarah.”
Sarah
kuatkan hati. Untuk apa dia menangis lagi. Ditelinganya sekarang ini adalah
seorang lelaki yang takut untuk menghadapi kenyataan hidup. Segalanya sudah
berakhir, liku-liku jalan antara mereka berdua telah tamat dan masing- masing
perlu ada keyakinan untuk meneruskan perjuangan.
Dinihari 6 Januari 2003 – 3.25 pagi
Sarah bermimpikan Yusri, datang menemuinya
di sini. Yusri memandangnya dengan penuh perasaan sedih, terharu dan lelaki itu
menangis bila merenung Sarah. Sarah cuba melangkah pergi namun kerlingan dari
Yusri buatkan langkah Sarah terhenti. Puas dia cuba mencari jalan menghala ke
rumahnya tetapi gagal. Sarah sesat ! Yusri masih memandangnya dengan rasa
terharu. Jelas di pandangan Sarah bahawa lelaki itu cuba menarik perhatiannya,
dirasakan ada air hangat menitis dari pelupuk mata…
Yus, jangan cari aku lagi Yus…aku
benarkan kau hidup bahagia di samping orang lain, mengulit batang tubuh wanita
lain, mencintainya sepenuh jiwa. Izinkanlah aku pula membina hidup bahagiaku
sendiri. Jangan ganggu aku lagi..
3.30 pagi
Aku terlalu bersalah dan berdosa
terhadapmu. Kesilapan ini tak mungkin bisa kau maafkan lagi. Apa yang terdaya
adalah memohon keampunan daripada Allah S.W.T., moga aku dipertemukan semula
denganmu biar hanya untuk mendengar kalimah maaf itu. Aku terlalu menderita
dengan kesilapan aku sendiri. Melepaskan kau pergi adalah kesilapan kedua yang
aku lakukan. Maaf bagaimana lagi yang mampu aku sampaikan…Sarah, dengarkanlah rintihan
hati abang…andainya dapat kau merasai. Abang izinkan kau merubah jalan hidupmu,
moga kau berbahagia dengan sesiapa jua yang sudi menyunting kau menjadi isteri.
Kau terlalu bernilai kepadaku sayang…maafkan abang atas segalanya. Pergilah kau
mencari kebahagiaan kau sendiri. Abang tetap doakan kau hidup gembira. Abang
izinkan….abang restu kehilanganmu sayang…
3.42 pagi
Yus! Yusri!!...................
Sarah tersentak dari lena. Dadanya berombak
kencang. Mengigau rupanya dia. Segera dia berlari ke bilik air dan membasuh
muka. Rambut Sarah lencun oleh peluh yang berjejeran. Memandang ke dalam
cermin, apa yang terlihat adalah bayangan mimpi tadi yang amat menyentuh hati. Sarah
terjelepok ke lantai. Menangis semahu-mahunya melepaskan beban dalam jiwa yang
sekian lama di tahan-tahan.
Kenapa abang buat Sarah macam ni….abang
tidak adil pada Sarah….abang zalim…
ANTARA HATI YANG TERLUKA
Roslan memberanikan diri berdepan dengan
Hamizah bagi menyatakan hasrat untuk melamar Sarah. Hamizah gembira dan
bersetuju untuk menjadi wakil bagi pihak Roslan, bila persetujuan sudah
dicapai, Hamizah mencadangkan agar majlis beradat itu dibuat pada hujung minggu
depan.
Keluarga Roslan juga sudah diberitahu. Emak
dan ayah Roslan turut merasa gembira dengan keputusan anaknya yang sudah
bersedia untuk berumahtangga. Sekian lama ditunggu saat ini, akhirnya Roslan
bersetuju untuk mengakhiri zaman bujang. Sekurang-kurangnya hati seorang ibu
itu lega, kebimbangannya terubat sudah. Anak bongsu kesayangannya sudah
mempunyai calon isteri yang bakal menemaninya di waktu senang dan susah.
Harap-harap Sarah berupaya menjadi menantu yang disenangi dan seorang isteri
yang setia terhadap Roslan. Dia tak minta apa-apa lagi…
Sewaktu memberitahu Sarah akan rancangan
untuk meminangnya, Sarah hanya bersikap dingin. Meski berita tersebut sudahpun
dia maklum pada minggu sudah, hatinya masih berbelah bahagi. Itu yang
membuatkan hati Roslan sedikit tersinggung. Dia memang bersungguh ingin
memperisterikan Sarah. Tidak terniat sedikitpun dalam hatinya untuk
mempersiakan gadis itu. Hari ini hatinya benar bingung akan pendirian Sarah
yang seolah dalam dilemma untuk menerima dirinya.
“Sarah mesti beritahu
abang, kenapa Sarah macam tak bersedia nak menerima abang dalam hidup Sarah…kalau
Sarah terus menerus macam ni, abang tak yakin kita akan bahagia.”
“Abang
datanglah ke kampung Sarah, jumpa dengan kakak saudara Sarah. Tapi kalau Sarah
tak balik boleh tak?”
“Macamana
pulak…..apa abang nak cerita kat mereka nanti?”
“Laa..ceritalah
apa saja. Sarah terima dan redha asal abang dapat terima Sarah seadanya,
janjilah dengan Sarah yang abang tak akan mempersiakan Sarah belakang hari. Sarah
bimbang abang akan tinggalkan Sarah jika nanti berlaku apa-apa sedang Sarah dah
tak ada tempat nak mengadu kat dunia ni, abang faham kan..”
“Abang
faham…dan abang janji pada Sarah yang abang tak akan berlaku tak adil pada Sarah,
jangan bimbang..”
13 Januari 2003
Mak Bedah gelisah tidak tentu arah.
Dirasakan punggungnya panas yang amat bila mendengar berita tadi. Satu berita
yang paling menyakitkan hatinya. Berita yang dibawa oleh Tijah jiran dua belah
rumahnya yang suka mengumpat itu benar-benar mengguris tangkai jantung. Dia
rasa tidak percaya. Dia tiba-tiba rasa terhina dan tercabar.
“Betul
Bedah..aku tak tipu kau. Aku nampak sendiri dua buah kereta besar berhenti
depan rumah si Saripah tu. Katanya rombongan merisik dan meminang untuk si Sarah…untunglah
dia ye? Dapat juga kahwin dengan orang kaya. Setakat anak engkau tu apalah yang
ada…”
Telinga
Mak Bedah bagai terbakar mendengar keceluparan mulut Tijah. Dia hanya mampu
bungkam dan tak berani menjawab lebih. Bimbang petir yang menyambar dari mulut
tajam Tijah akan menghanguskan lagi jantungnya yang mula berasap.
“Dahlah
Bedah. Aku nak balik. Karang kalau aku dengar lagi apa-apa berita, aku datang
ke mari. Kau jaga aje lah anak kau tu baik-baik. Bukannya apa, takut rantai
yang kau bagi tu tak cukup besar. Menjanda la pulak si Intan buah hati kau
tu…tak lama lagi kau nak timang cucu, jangan sampai cucu kau tak kenal yang
mana satu emaknya..”
Bagai mahu terbang semangat Mak Bedah
disindir sedemikian rupa. Bila buku bertemu ruasnya, Mak Bedah terasa amat menyesal
memisahkan Yusri dan Sarah. Sedikit demi sedikit dia rasa malu terhadap Yusri
dan Sarah. Intan Zulaikha menantu kesayangannya seakan kelam dari pandangan.
Tapi wanita itu tidak bersalah dalam soal ini. Kedinginan Yusri terhadapnya
buatkan dia selalu bermurung dan tubuhnya makin hari makin susut. Hanya
perutnya sahaja yang membusung keluar. Jelas di wajah jelita Intan Zulaikha itu
terpamer rasa duka dan sepi teramat. Pun Mak Bedah mengerti…
Yusri juga sudah lama
tidak mendekatinya. Dia amat jauh hati dengan sikap anaknya yang seorang itu.
Bila anak-anaknya yang lain pulang bercuti, Yusri menyisihkan diri dan
kadang-kala sengaja tidur bermalam di rumah mentuanya berhari-hari. Semenjak
Yusri berumahtangga, belum pernah dia melihat Yusri ketawa atau senyum. Mak
bedah rindu untuk mendengar gurauan Yusri, dia sedar dia bersalah.
Intan Zulaikha mengesot
ke sisi Mak Bedah. Dari tadi dia memerhatikan ibu mertuanya itu termenung.
Sekejap-sekejap mengeluh. Tentu emak ada masalah ni..
“Mak..kenapa
mak susah hati aje ni.ceritalah kat Intan sikit, mana tahu Intan boleh tolong
mak.”
“Tak
ada apa-apa Intan. Kau dah makan?” Mak Bedah
sengaja menukar tajuk perbualan. Sebolehnya dia tak mahu Intan kecil hati
dengan berita itu tadi. Dia tak mahu menghampakan ibu kepada bakal cucunya.
Intan hanya mengangguk sekali. Dia tahu emak
mertuanya tak mahu berkongsi apa-apa dengannya. Jika ada rahsiapun, tak pernah
mahu dikongsi bersama. Sebak dada Intan bila kenangkan betapa hatinya teramat
sepi dan sengsara dibiarkan oleh suami dan orang tua itu. Sambil mengusap perut
yang memboyot, dia sandarkan badan ke dinding.
BAHAGIAKAH AKU SAYANG…
02 Februari 2003 – 3.00 petang
Sarah sudah sah menjadi tunang Roslan.
Cincin yang tersarung pada jari manis dipandang berkali-kali tanpa jemu.
Akhirnya dia berjaya memiliki kasih yang tidak bebelah bahagi. Satu kucupan
hangat singgah di dahi Sarah. Kak Hamizah tersenyum bahagia. Roslan menelefon
dari Kuala Lumpur. Nadanya ceria sahaja. Tak sabar dia mahu menantikan Sarah
kembali ke sana. Rindunya semakin menggebu…
Sehabis sahaja majlis pertunangan, Sarah
menukar baju, hanya berkemeja T dan seluar panjang, dia turun ke dapur membantu
apa yang patut. Ramai juga jiran-jiran datang meraikan dan menolong memasak.
Hatinya cukup gembira. Entah kenapa, tiba-tiba jantungnya bagai direngut
sesuatu. Sarah menoleh ke arah pintu dapur. Dia terlihatkan Yusri sedang asyik
memandangnya.
Mulanya dia rasa serba salah, tapi dikuatkan
hati untuk bertanya khabar sahabat lama. Sarah mendekati Yusri, Yusri juga
bagai teragak-agak untuk menghampiri. Sarah melabuhkan punggung di kerusi makan
dan menghidang air kopi panas untuk Yusri. Mereka duduk bersententang. Tiada
bicara mahupun kerlingan.
“Selamat
bertunang Sarah….moga kau bahagia..”
“Terima
kasih Yus. Isteri kau macamana?”
“Ada di hospital
dengan mak aku. Tengah tunggu masa nak bersalin. Aku datang sebab nak jumpa
kau.”
“Selamat
menjadi ayah. Moga kau lebih berbahagia dari aku. Kalau kau dapat anak
perempuan, namakanlah seperti nama yang pernah kita pilih dahulu..”
“Khairunnissa…aku
ingat itu. Dan kalau lelaki pulak, aku akan namakan dia Najmi.”
Mereka diam lagi.
Tiba-tiba telefon bimbit Yusri berdering. Dia menyambutnya dengan tenang.
Sehabis berkata-kata, dia memandang wajah Sarah dalam-dalam.
“Khairunnissa
dah lahir….anak kita Sarah…anak kita. Maafkan abang atas semua kesalahan. Kalau
abang mati hari inipun, abang puas hati sebab dah jumpa Sarah. Abang akan
sentiasa doakan Sarah hidup gembira bersama Roslan. Abang terpaksa pergi dahulu
Sarah, sekurang-kurangnya sejarah kita menjadikan abang lebih dewasa. Abang
pergi sayang..”
Sarah tidak memandang
wajah Yusri mahupun berkata apa-apa. Dirasakannya saat itu jantungnya telah
terhenti berdenyut. Seluruh isi daging dan tulang-temulangnya bagai sudah
terbakar hangus. Apa yang tinggal hanyalah sebuah perasaan yang terawang-awang
mencari satu hakikat. Dia tidak mampu untuk menangis…pandangannya sekabur
impiannya.
Agak lama juga Sarah
terpaku di meja itu. Kakak sepupunya datang menyapa. Dia juga tahu dan amat
memahami betapa Sarah terlalu menderita selama ini.
Namun kini dia sudah sah
menjadi tunangan orang, apa yang sudah berlaku di belakang hari tak mungkin
dapat dikembalikan pada hari ini. Sejarah mereka hanya terdaya dikenang….
AKU YANG MALANG
02 Februari 2003 – 5.00 petang
Mak Bedah dan Yusri berkumpul di dalam wad
bersalin. Meskipun naluri lelaki Yusri bukan berada di dalam jiwa seorang
suami, tapi pada ketika itu dia merasakan satu getaran yang mendalam terhadap
Intan Zulaikha. Tiba-tiba dia rasa amat menyintai isterinya itu, rasa rindu
yang mengasyikkan yang tidak pernah dinikmati selama mengahwini Intan.
Mungkinkah dia benar-benar sudah jatuh cinta kepada Intan….
Bayi perempuan itu cukup
comel. Ciri-ciri kejelitaan Intan terserlah pada raut wajahnya yang kuning
langsat. Selesai qamat ,Yusri mendekati Intan dan mengucup dahinya mesra. Ada titis airmata hangat
tertumpah di pipi Intan. Sesungguhnya selama ini dia amat mengharapkan
kucupan seperti itu…
“Abang, namakanlah
anak kita Najmissa . Intan suka nama tu. Semoga abang dapat didik dia dengan
sempurna, bentukkanlah anak kita seperti Sarah sahabat abang. Moga Sarah dapat
menyayangi Missa seperti anaknya sendiri. Sampaikan ucapan selamat bertunang
dari Intan untuk Sarah…”
Mak Bedah dan Yusri
terpukul serta-merta. Perit tangkai jantung Yusri bila mendengar pengakuan
tersebut. Dari mana dia mengetahui berita ini…
“Intan…kenapa
ni..” soal Yusri seraya duduk memangku kepala Intan di birai katil.
“Intan
tak dapat hidup lama bang. Jantung Intan tak dapat diselamatkan lagi…bila-bila
masa Intan boleh pergi. Sengaja Intan tak beritahu abang sebab Intan tahu abang
tak pernah menyintai Intan seperti hari ini. Intan maafkan abang..maafkan
emak…dan maafkan Intan juga..”
Suasana
hening. Yusri merangkul tubuh Intan dan menghamburkan airmata sesalnya. Mak
Bedah terduduk di kerusi dan menekup wajah. Dia panik, dia cemas dan ada sejuta
resah bertimpa-timpa dengan kesalan.
“Maafkan
abang Intan…”
“Intan minta maaf….. sebab baca
diari abang…Intan dah……. menjalankan tanggungjawab……. Sebagai… seorang
isteri……. terhadap abang…kini Intan tinggal…kan……..tanggungjawab…mendidik anak
kita kepada abang…Ya….Allah…..Allah………………..”
“INTAN!!INTAN!!!!!Jangan
tinggalkan abang Intan!!!……………”
~haii..sambung lagi la nampaknya. rilex....
No comments:
Post a Comment