Tuesday, 5 March 2013

HIDUP PENUH RANJAU: BAHAGIAN 15


BERDUSTAKAH ENGKAU KEPADAKU SAYANG….

Sudah sebulan peristiwa pahit itu berlalu. Sarah sudah hampir melupakan apa yang terjadi dikampungnya pada hari pertunangan dia dan Roslan. Namun entah bagaimana, Mak Bedah menemuinya di pejabat dengan wajah tenang. Sarah menjemputnya keluar ke kantin, tak manis pula jika bersembang di pejabat dan dicuri dengar oleh teman-teman. Puan Hamizah memberi izin kepada Sarah untuk keluar sebentar.

                “Macamana Mak cik boleh sampai ke mari? Datang dengan siapa?..”
            “Aku datang dengan abang Sarip. Dia ada di luar, sengaja aku tinggalkan dia sebab nak jumpa kau sorang Sarah.”
            “Kenapa tak telefon dulu, boleh Sarah bawa Mak cik tidur kat rumah.”
            “Beginilah Sarah…mak cik nak minta maaf pada kau sebab tuduh kau yang bukan-bukan. Yusri dah berterus-terang pada mak cik perihal kamu berdua. Mak cik mengaku mak cik silap pisahkan kamu dulu.”
            “Apa ni mak cik….Sarah tak faham…”
         “Kalau kau masih sudi menerima Yusri, baliklah ke kampung nak…kau yang sepatutnya menjadi menantu mak cik. Yusri beritahu mak cik, dia tak buat perkara-perkara tak baik kepada kau. Mak cik saja yang berburuk sangka…”
         “Ya Allah…..” Sarah terkedu. Jauh dilubuk hatinya, satu perasaan tenang menyelubungi jiwa. Terima kasih Allah kerana tidak membiarkan aku terus-terusan ditaburi fitnah.
           
            Sarah memandang wajah Mak Bedah, sayu benar orang tua itu dalam mengharapkan pengertian, kemaafan dan harapan masa depan untuk anak dan cucunya.
“Tapi saya tak layak untuk anak mak cik…biarkan saya sendiri di sini. Mak cik pulanglah…saya tak mahu menyimpan apa-apa kenangan antara kita. Anggap saja semua itu tak pernah berlaku.”
            “Hanya kau yang boleh kembalikan anak aku Sarah…Yusri menderita sekarang, mak cik tak tahu nak buat apa lagi. Dia selalu berdiam diri dan kadang-kadang mak cik dengar dia menangis dalam biliknya. Buat masa sekarang, anaknya diserahkan kepada keluarga Intan, kalau kau tak tolong aku, siapa lagi Sarah?.”
Penuh mengharap Mak Bedah petang itu. Namun rayuan tersebut bagai tidak langsung dapat mencairkan hati Sarah.
            “Saya dah bertunang mak cik, saya tak akan meninggalkan tunang saya semata-mata kerana kasihan terhadap Yusri dan mak cik. Saya dah redha apa yang berlaku jadi janganlah merayu saya kembali kepada Yusri seperti dulu.”
            “Mungkin kau perlukan masa…sebelum kau mendirikan rumahtangga dengan Roslan, fikirlah masak-masak Sarah..mak cik tunggu keputusan kau. Mak cik akan jadikan kau menantu mak cik..”
            “Semudah itu mak cik? Mak cik tak ingat betapa hinanya saya dari pandangan mak cik sekeluarga hingga menyebabkan saya terbuang dari kaum keluarga?Mak Siti dah meninggal, minta ampunlah banyak-banyak dari Allah SWT, buat masa sekarang saya tak mampu untuk memaafkan mak cik…”

Mak Bedah tertunduk. Malu. Sarah mengusap wajahnya yang dibasahi peluh gementar dengan belakang tangan.
“Aku tahu aku bersalah terhadap kau Sarah…tapi aku dah tua, kalau boleh aku nak Yusri gembira seperti dulu.”
“Boleh mak cik bagi semula aruah mak cik saya yang mak cik hina hingga dia sakit dan meninggal tu sekarang? Saya rindukan dia dan sepatutnya mak cik minta maaf dari dia.....”
Mak Bedah menangis. Sayu bunyinya. Dia tahu kedatangannya hanya perbuatan sia-sia. Hati Sarah sudah hancur, tak mungkin dia dapat memaafkan kesilapan Yusri dan hati tuanya sendiri. Sebenarnya dia cuma mengharapkan Sarah dapat memaafkan dia sekeluarga, itu sudah memadai. Jodoh adalah ketentuan Allah S.W.T. tapi nampaknya Sarah seperti tidak ingin memaafkan mereka. Itu juga hak Sarah…Mak Bedah tak dapat berbuat apa-apa..
“Aku balik dulu Sarah…jaga diri kau baik-baik. Jika kau masih sudi, jenguklah aku kat kampung bila kau balik. Aku dah tua, entah esok, entah lusa aku akan pergi selama-lamanya. Maafkan kami..assalamualaikum.”
Sarah memandang orang tua itu berlalu. Hatinya amat sayu hingga dengan tidak disengaja, airmata hangat menitis secara tiba-tiba.
Aku tak sekejam itu mak cik…aku tak sekejam itu. Sarah berlari anak mengejar derap langkah Mak Bedah yang masih berada di simpang kantin. Dia mendapatkannya lalu mencium kedua belah tangan orang yang selama 22 tahun ini dianggap seperti ibu kandungnya sendiri. Mereka berpelukan. Lama.
“Sarah maafkan mak cik sekeluarga. Sarah masih anggap mak cik macam ibu Sarah..percayalah, Sarah tak pernah lupa…”
“Kau memang budak yang baik Sarah…”
“Tapi mak cik….maaf saya ini bukanlah bererti saya mahu menerima Yusri. Saya tetap akan bernikah dengan Roslan. Dengan Roslan..saya minta diri dulu.”

Sarah pantas meninggalkan Mak Bedah termangu sendirian di situ. Sarip – anaknya, datang lalu membawanya  pulang ke kampung.
Sepanjang perjalanan pulang ke kampung, Mak Bedah menghamburkan segala tangisan yang terbuku dalam dada. Tangisan kesalan yang diyakini tak mampu membasuh kehampaan yang bersarang dijiwanya.
…………………………………………….

SEMUANYA TELAH TERSURAT
5 Mac 2003

Roslan mengajak Sarah keluar membeli barang hantaran mereka di mana majlis telah ditetapkan dua bulan dari sekarang di tempat yang biasa mereka kunjungi . Sedang asyik memilih barang, bahu Roslan ditepuk dari belakang. Sarip- abang kepada Yusri. Wajah Sarah berubah tiba-tiba. Berderau darahnya melihat raut wajah Sarip yang terkenal dengan bengisnya.
            “Kau Roslan ya…” soalnya tegas. Roslan mengangguk.
            “Ya..saya Roslan. Abang ni kenal saya?..” nada suara Roslan bergetar dan  kedengaran agak pelik. Sarah membatukan diri di belakang tubuh Roslan.
            “Aku tak kenal kau tapi aku kenal budak yang jadi tunang kau ni..”seraya itu roslan memandang Sarah dan memberi isyarat dengan mengangkat bahunya…terpinga-pinga.
            “Dia abang Sarip, abang kepada kawan Sarah kat kampung.”
            “Ha…kenal lagi pun engkau. Aku ingat bila dah dapat tunang orang Bandar, dah lupa asal usul. Atau kau mahu aku ingatkan kau siapa?..”

            “Abang Sarip kenapa?…apa salah Sarah? Sampai abang marah-marah macam ni? Malulah Sarah..”
            “Ya…aku Sarip. Aku Cuma nak mengingatkan kau saja. Kau dah tersalah pilih perempuan. Perempuan ini tak layak jadi isteri kau kalau kau nak tahu…hei Sarah..berapa banyak lelaki yang kau nak kecewakan, kau tinggalkan? Adik aku separuh sasau sekarang, mak aku pulak dah jatuh sakit sebab kau…kalau kau tak balik jumpa dan terima adik aku macam dulu, jangan panggil aku Sarip!”
Lelaki itu berlalu dengan amat angkuhnya. Meninggalkan Sarah dan Roslan bagai termangu-mangu tidak tahu apa hendak dilakukan.

Sayang…berceritalah kepadaku….
Roslan sudah tidak keruan. Sejak kembali dari membeli-belah bersama Sarah, hatinya jadi gusar, jadi bingung, jadi tak keruan dan sejuta rasa lain yang bukan sengaja dikarang-karang, sengaja diada-adakan. Hatinya mula merasakan bahawa Sarah meyembunyikan sesuatu. Sesuatu yang ditakuti, digeruni dan membayangi kehidupannya sejak sekian lama. Tapi apa…dia tak dapat memberikan sebarang gambaran.

Berkali-kali telefon bimbit itu direnungnya, mengharap agar Sarah sendiri memberitahu namun seharian telefon  masih lagi begitu, tidak berbunyi menjerit-jerit seperti selalu.
“…sayang, beritahulah abang apa yang berlaku dalam hidupmu. Aku pasti mampu menerimanya jika benar kau ikhlas terhadap cintaku..”
Akhirnya, Roslan memberanikan diri menelefon Sarah. Biar di mana dia berada, jawapan itu pasti kutemui. Sungguh!

“Hello….Sarah, ni abang ni..Sarah kat mana sayang ?..”
“…Sarah masih di sini, masih wujud dalam hidup abang. Cuma jiwa Sarah sudah terbang, melayang-layang…”
“Sarah..beritahulah abang…apa yang telah terjadi di dalam hidup Sarah.. Abang Cuma ingin tahu dan abang akan menerimanya sepenuh hati…biar bagaimanapun kesudahannya…abang sayang Sarah, Sarah tahu itu kan?..”
“….janganlah abang berharap yang tidak-tidak. Sarah tidak akan menjanjikan apa-apa kebahagiaan untuk abang. Sarah tak punya apa-apa untuk diberikan kepada abang…maafkan Sarah andai abang terseksa kerana Sarah…hidup Sarah sudah seperti bangkai bernyawa, nampak saja Sarah bahagia tapi sebenarnya kosong tiada apa-apa…Tuhan masih sayangkan Sarah, diberiNya kuderat untuk menghitung hari yang tak pasti…”
“Sayang…..kenapa harus berkata begitu…abang ada di sisi Sarah, kenapa berputus asa sayang….”

Hujung talian sesak dengan suara tangisan Sarah. Dia sudah tidak berdaya untuk menerangkan kepada tunangnya sendiri. Kepedihan dalam jiwa dan hidupnya buatkan dia sengsara dan kecewa. Bagai sudah tiada harapan untuk masa depan.
            “Abang datang ambil Sarah ye sayang…kejap lagi abang sampai. Sarah tunggu..”

Tidak sampai setengah jam, kereta Roslan sudah berlabuh di hadapan pintu pagar rumah sewa Sarah. Sarah yang hanya berbaju kurung biasa dan bertudung panjang masuk ke perut kereta dan mereka hilang dalam kesesakan jalan raya.

Di tepi tasik, dalam kedinginan suasana petang selepas hujan, Roslan masih terus membiarkan Sarah mengelamun. Sekali-sekala kedengaran esak tangisnya tanda dia masih lagi belum pulih dari kejadian semalam.
“Sayang…abang tak marah sayang la pasal semalam. Janganlah buat abang risau…kan abang dah kata, walau apa sekalipun yang sudah terjadi terhadap Sarah..abang akan teima. Cuma sekarang abang mahu Sarah bercerita tanpa berselindung apa-apa lagi pada abang…bolehkan?..sayang?..”
Sarah membuka jemarinya, memperlihatkan sepasang tangan yang putih mulus dan di jari manis itu ada sebentuk cincin permata satu. Dia membuka cincin itu dan diunjukkan kepada Roslan. Terkejut lelaki itu.
“Sarah sedar apa yang Sarah buat ini?..”
“Inilah jawapan kepada semua persoalan abang. Sarah dah tak ada jawapan….harap abang mengerti. Dan jangan soal Sarah lagi..”
“Sarah!!!” Roslan menggoncang tubuh Sarah berkali-kali. Hampir lemas gadis itu. Namun tiada tangisan yang keluar. Sarah seperti sudah ‘mati’.
“Sarah minta maaf…Sarah minta maaf..hanya inilah jalan penyelesaian untuk kita abang..”
“Abang tahu Sarah sengaja mahu menghukum abang. Jangan menyeksa abang Sarah…abang mahu jawapan dari Sarah..abang mahu jawapan kenapa Sarah buat abang macam ni…cakaplah Sarah..cakaplah”
Sarah tersedan lagi. Roslan bagai hilang arah dan tiba-tiba dia menjerit sekuat hati. Marah sungguh dia dengan situasi yang makin membungkam begini.
“Marilah hantar Sarah balik…Sarah nak balik abang. Nanti di kereta Sarah ceritakan kepada abang. Sarah letih sangat..”
“Marilah…Sarah demam ni, kita ke ruman kak Mizah ye?.”
“Tak Mahu. Sarah tak mahu menyusahkan dia. Sarah nak berehat di rumah sahaja..”
“Baiklah..”Mereka beredar ke kereta dan Sarah menyandarkan badan ke kusyen.
“Abang..cinta pertama sarah ialah Yusri dan Sarah tak dapat melupakan dia sampai bila-bila. Sarah tak mahu memberikan abang harapan palsu, Sarah tak mahu abang terkilan nanti. Maafkan Sarah sebab tak mampu mencintai abang sepenuhnya”
Roslan mengeluh. Berat dan panjang. Hatinya berdebar-debar namun mindanya memberikan kata-kata semangat memujuk hati bahawa dia dapat menggantikan kasih Yusri secara perlahan-lahan. Roslan amat yakin hati Sarah akan melupakan Yusri dengan kehebatan cintanya. Sungguh!
“Seandainya itulah jawapan yang abang cari, Sarah tak perlu risau lagi. Abang dah tahu lama dah. Abangpun dah maafkan Sarah . Abang tak mahu tahu kisah selanjutnya. Kasih abang terlalu dalam untuk Sarah dan tak ada nilai lain yang setanding dengan itu Sarah.. percayalah”ujar Roslan perlahan. Walau dia sendiri seakan kecil hati Sarah memberitahunya akan hal itu disaat-saat Akhir menjelang pernikahan mereka, dia cuba untuk tidak berlaku bodoh dengan bersikap keanak-anakkan terhadap Sarah.
“Terima kasih abang…terima kasih”Sarah memeluk Roslan dan tangisannya berhambur lagi di bahu lelaki itu. Roslan menepuk-nepuk bahu Sarah. Hatinya masih tetap tak berganjak dari situ. Aku bukan lelaki ego sayang…. Kasihku kepadamu sangat berlebihan berbanding kasih seumur hidupmu bersama Yusri-cinta hatimu.



****BERSAMBUNG...mampu ke Roslan hadapi hidup berumahtangga dengan insan yang mencintai orang lain??...

Tuesday, 12 February 2013

Teka-Teki yang terjawab

Sudah lama tidak update blog, sekadar buka dan baca blog orang lain. selama mendiamkan diri setelah kejadian buruk berlaku menimpa diri, rasanya panggilan yang diterima tadi telah mengubat luka dihati. aku merasakan doa-doaku telah dijawab oleh Allah SWT. namun aku tak boleh mengongsi apa-apa dengan semua orang kerana ianya sekadar mencurahkan asid pada luka yang baru hendak sembuh.

aku terima diriku seadanya. menerima kekurangan dan kelebihan dan sentiasa belajar menjadi wanita yang sempurna. dan beberapa minggu ini, aku belajar menerima penolakkan. bukan daripada sesiapa tetapi dari hatiku sendiri. mungkin ini yang terbaik. memang payah untuk dimengertikan, hanya orang yang pernah menghadapinya tahu betapa kosongnya perasaan saat kaki yang selama ini terapung telah tersedar memijak tanah kembali. betapa sakitnya bila selama ini tak mampu untuk menangis dan sekarang boleh menitiskan airmata semahu-mahunya. jika Kaabah itu hampir, sudah lama aku berlari memeluknya.

Thursday, 17 January 2013

Hati yang berkata-kata

Memang kuakui, blog ni dah lama tak masuk entri. sebabnya? tuan jiwa dilanda gelora. maka akal fikiran tak mampu menzahirkan apa yang ada dalam kepala. banyak, terlalu banyak. seperti kata Ben Ashari: Hati kita sentiasa berkata-kata untuk dijadikan entri blog sendiri.

mingu-mingu kebelakangan ini, jiwaku parah oleh perasaan sendiri. dan yang boleh membantu menyelesaikannya hanyalah Allah SWT, maka tak perlu rasanya dikongsi oleh alam semesta, nanti lain pulak jadinya. bila aku ada masalah, aku lebih suka mendiamkan diri dan buat-buat lupa meski ianya pasti hadir dalam mimpi, terigau-igau waktu malam..kadang-kadang siang hari time rehat di pejabat pon sempat lelap dan meracau..

bila buka blog, aku lebih galit tengok blog kawan-kawan, dan lepas tu tutup PC. pening. pernah tak korang merasakan jasad korang bagaikan terapung tak tahu nak pergi kemana? susah nak cakap kan? itulah..lebih baik aku diam.

Thursday, 10 January 2013

Kursus Pengurusan Stor di Penang


Unit Pengurusan Aset dan Stor, Khidmat Pengurusan KBS telah mengadakan kursus pengurusan stor pada 19-21 Disember lalu dan menginap di Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas, hahaha..lambat masuk entri sebab jurufoto lama bercuti lorr..kesempatan ini digunakan untuk aku membawa mr hubby dan anak bujangku bercuti sekaligus, yang tak syoknya Aiman dilanda gastrik yang kronik so tak dapatlah menjiwai nikmat bercuti dengan makan-makan yg havoc kat sana kunun..sob sob sob..

selepas habis taklimat pada hari pertama, aku mengheret kengkawan untuk bersiar-siar menghabiskan minyak kereta Syed dengan melawat tapak pesta Pulau Pinang. biasa-biasa je, macam fun-fair pon ado. banyak sekali gerai jualan sampai letih mak berjalan. singgah di kedai menjual makanan  dan oder kue tiow goreng yang kononnya trade mark sana kan, tapi rasanya pon biasa-biasa aje. saja lah nak merasa.

so, layan je la gambar-gambar ni, a pitcure say thousand words.



dah nama perempuan, pantang jumpa kedai mesti nak pegang

kenangan manis menawan.

urusetia paling setia. beliau kena penderaan emosi, baru masuk unit kami tapi terus kena handle kursus sorang-sorang

yang pakai kopiah tu paling dinanti-nantikan kemunculannya tiap kali kursus stor kerana kebecokan mulutnya adalah penyeri kursus

inilah Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan saya yang masih mancho gitew

Geng Unit Aset

Pak Penghulu kami. beliaulah penghulu tetap sampai pencen bila kami ada kan kursus berkaitan stor

si manis pemegang dulang

Tuesday, 1 January 2013

2013...dan perawan ini telah bertukar..

Selamat Datang 2013!

meninggalkan 2012 yang penuh dramatik dan berakhirnya angka 3 di depan usiaku. alamak...akukah ini yang telahpun berusia 40 tahun?? huhuhuhu..rasa nak brek je kalau boleh, nak tahan umur dari terus bergerak kedepan..boleh ke....biul. habislah zaman keperawanan..ahaks..

Hurmmm...ingat tau tarikh 5 Januari ..dari semalam dah pesan kat hubby, nak minta hadiah besor...kena tempelak lagi adalah, tak malu. hubby kata, time birthday dia, dia yang belanja, time anak, dia juga yg kena belanja, ni time birthday aku..dia jugaaaaa...parah dah. lalalalalala

Azam tahun baru? heleh..tak payah berangan nak berazam lah, mesti tak jadi nyer..angan-angan je setinggi langit namun pelaksanaan macam kereta buruk kat tepi jalan. tak cakap orang la, ni aku ni sendiri...sengal tak sudah-sudah. apa yang pasti, aku berangan-angan nak kumpul emas fizikal dan tengok apa akan jadi lagi 10 tahun mari....kalau tak mari kedai pajak la..hahahahaha. yang pasti, dah mula kumpul dah berkat rezeki murah baru-baru ni-bonus la apa lagi! besar cacing kerawit pun dah cecah RM1050.00..hangin je.

arrrghhh...duit kat pay-slip memang banyak, tapi nak beli macam-macam pun macam tak lepas dek nilai barang yang semakin melambung naik. buat sedap mata je la memandang. sedih kan keje macam ni. kalau tak dek berhempas-pulas ( iye ke?...tido je memanjang..) cari side income, tak de maknanyer ko Lola...tak de la merasa nak makan pizza ke, McD ke, Manhattan ke...cewahh. dan yang paling pasti, side income aku ialah wallet mr. hubby. tiap-tiap pagi sebelum keluar pintu kereta, aku hulur tangan..bak RM10.00. heheheheheheheehehe..tengkiu cayang..

ini saja je nak menunjuk gambor lama time sekolah.

time ni apa lah yang aku faham. buta donia. anak manja emak..jangan disoal mengapa aku sehitam tampuk manggis..tak konal bedak pun time nih. baju pun pakai rembat mana yang ada. mungkin azam aku time sekolah ialah nak cepat-cepat habis belajar tingkatan 5 dan cepat-cepat cari keje. maklum orang susah, apa dihajat semua tak dapat punya. confirm. nak memberontak pun sampai kemana la kan..kalau gaduh dengan emak , nanti lapor mesti balik rumah juga, so diam-diam je. pasang niat dalam hati supaya belajar pandai dan dapat kerja baik itu sudah cukup. tapi itu duluuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu....

sekarang????

kawan-kawan tingkatan 3A-1st reunion 2012. yg pakai spek tu semua member satu kelas.eh-eh..kebetulan, memang budak cerdik semua tu ek..hehehe
mulalah gelabah dan malu-malu kambing bila jumpa balik dengan kawan-kawan lama yang rata-rata dah berjaya. yang berjaya jadi penagih pon ado. tapi ni positif yang berjaya mencapai kegemilangan dalam hidup masing-masing. al-maklumlah nawaitu sendirian berhad kan, dulu nawaitu aku untuk cepat-cepat habis sekolah dan bekerja, nah dapatlah. manakala kawan-kawan yang lain bernawaitu untuk mencapai pelajaran setinggi yang mampu maka diaorang kini rata-rata bergelar pensyarah, pegawai tinggi kerajaan dan tak kurang bisnes man/women berpengaruh. adusssss..bernanah hati. cuma aku bersyukur aku tak mintak nasik dengan orang, alhamdulillah. setiap yang terjadi itu ada hikmahnya. walau aku mungkin paling tak berjaya antara semua, namun aku mampu menyara aruah emak sampai dia pergi. kalau waktu itu aku belajar lagi, tak ke haru mana nak duit study mana nak ubati aruah..kan? yes Lola, good gegurl.


okey, apa-apapun, jangan cemburui kejayaan orang lain, kita harus berbangga dikurniakan kesejahteraan untuk menempuh hidup di dunia. cara untuk mencapai kebahagiaan itu bukan diukur dengan banyaknya harta , itu donia semata. aku kaya jugak..kaya dengan perasaan..hahahahahahha...lawak.

Sunday, 30 December 2012

LAST DAY 2012-for my friend Amy at KBS

hari ni adalah hari terakhir kawanku-Izami Aziz berada di pejabat ini. selepas ni tak adalah hilai ketawanya yang menceriakan dan guruan kasarnya yang menghangatkan suasana. walau dia tu bergurau kasar, namun tak adalah nak kecik ati kalau kita gurau kasar balik dengan dia. bila dia tak ada di pejabat, pejabat ku ini rasa macam dilanggar garuda-senyap dan sunyi. itupun aku paksa Hamidi bukak radio 24jam. akupun boleh jadi demam tak mengilai seharian. bukan apa..kuota membebel untuk aku tak penuhlah satu hari, karang kat rumah terpaksa menghabiskan kuota pada anak dan suami. karang tak pasal-pasal melayang senduk kuali...hahaha.

hilangnya seorang kawan yang sama-sama biul

geng meroyan


kadang-kadang malas nak sayang sesiapa. sebabnya? aku selalu kena tinggal...bukan terlalu bergantung kepada orang lain tapi jenis aku ni kalau berkawan suka telus dan bila dah rapat mulalah sayang macam keluarga sendiri...huhuhuhu..kan dah kena tinggal....nyampah.

mudah-mudahan hubungan baik ini tak akan putus sampai bila-bila. entah-entah bila berjumpa semula ialah pada hari aku langsungkan perkahwinan anak bujangku kot..hahahahahaha..melalut la tu.

kepada Amy, aku doakan kebahagiaan yang kau cari sampai kau berhajat untuk bertukar tempat kerja. manalah tau, dah dok kat PD nanti, ramai pulak askarnya..hohohohohohohho.

Gambar pertamaku dan Izami pada awal Januari 2011 sempena dengan Majlis Perpisahan En. Wan Ramli-Setiausaha Bahagian yang bertukar ke bahagian lain.

Thursday, 27 December 2012

HOLIDAY KE USS...kunun



bersama hubby tercinta. pedulikan ler gambar background yg seksi tu ekkk..



Assalamualaikum w.b.h semua kawan-kawan bloger. entri ni dah basi kot sebab baru sekarang ada kesempatan upload gambar-gambar yang tak seberapa semasa bercuti ke Universal Studio Singapore pada 11 Disember 2012. bercuti bersama hubby dan anak( Aiman) dengan ditemani oleh adik dari Johor Bahru, kalau tak memang jakun nak masuk sana. mujur adik-adik memang kaki jalan so tak ada masalah sepanjang perjalanan kecuali keliru sikit time nak cari makanan di Jurong.

Balik JB hari Sabtu, sebab adik yg bongsu bilang ( cehh...cakap pon dah ikut style orang singapura) kalau nak ikut jalan-jalan ke USS beli tiket, mesti ada kat rumah jam 1.00 tengahari. punyalah bersemangat hubby bawa kereta dan sampai Bandar Baru Uda memang tepat-tepat jam 12.00 tengahari buta. rilek sekejap dan jam 1.15 tengahari gitu, adik pun balik dari tempat keje dia di Pengarang.

So jam 2.00 petang lebih kurang, kami pun berangkat ke Singapore dengan menaiki keretaku untuk terus didaftarkan di Kastam sana. nak masuk Singapore kalau bawa kereta sendiri mesti daftar dulu setibanya di kastam Singapore dan kena beli kad Auto-Pass ( macam Touch-n-Go la..). tapi tak guna juga kalau lepas beli kita tak top-up terus. hampehh je sebab tak boleh guna . time nak masuk parking USS tu, gate x boleh buka. mujur bakal adik ipar ada bawa Auto-Pass dia. lain kali bgtaulah awal-awal yang kad tersebut kena top-up. kira-kira macam mula-mula daftar beli kad aje tapi kosong. top-up baru boleh guna. aisyehhh...sudahlah masa nak mohon auto-pass tu kena tunjuk gambar cukai jalan JPJ. iyelah..kita nak masuk negara orang ...follow je la.

Lagi satu yang penting, sebelum masuk sana, isi dulu kad putih yang diserahkan bersama-sama pasport kita. nanti marah orang belakang sebab kita baru terkial-kial nak menulis. kalau sorang tak apa, kalau satu kereta tu ada 6 orang? tak ke berbulu kawan nak tunggu. contohnya macam aku la..bakal adik ipar siap berlari2 anak untuk mendapatkan kad putih dari pegawai kastam di Singapore.kami lalu dari Tol Link Kedua  ( Kompleks Kastam Sultan Abu Bakar Tanjung Kupang), tapi rupanya terpaksa menunggu lama dekat 30 minit nak tunggu kereta didepan yang ada 4 orang  penumpang dan tiada kad putih. 

Kawasan USS tidaklah sebesar mana, pusing dari kiri ke kanan atau dari kanan ke kiri. paling seronok berada di Jalan New York sebab jam 11, 1 dan 5 ada SALJI.....memang jakunlah semua orang termasuk mat-mat salleh. bukan salji sebenar tapi buih sabun.

Salji di New York..hehe




bersama adik. cover sejuk la kunun
kami naik roller coaster yang lebih kepada mini rider muatan 12 orang di tempat TRANSFORMER. cuma yang menjemukan ialah berbaris 1 jam untuk menaiki bendalah tu. letih sangat. kepada yang ada anak kecil tu dinasihatkan tak payah la masuk, memang diaorang akan menangis kebosanan dan tak sabar punya.

Aiman diheret adik naik roller coaster GALACTICA. roller coaster tu terbahagi 2 iaitu biru untuk kurang trill dan merah untuk lebih excited. adik memilih untuk menaiki roller coaster warna merah tapi setengah jam selepas turun...Aiman masih menggiggil ketakutan! hahahahaa...

kami masuk ke studio Light Camera Action dimana adegan ribut taufan kononnya melanda kotaraya New York. best jugalah. nama studio pun cah cenggitu, semuanya berkenaan Cahaya, Aksi dan tektik kamera. sound sistem memang power..

Di Studio The Mummy, kami berhajat menaiki roller coaster tu tapi memandangkan aku ni penakut, aku jadikan alasan kaki tak selesa di tempat duduk dan minta keluar. ada coaster yang sedikit besar untuk kami yang bersize besar tapi aku meminta untuk keluar terus. barulah lega hati ini. nak tau alasan sebenar???? sebab berhampiran tangga untuk ke tempat coaster the mummy tu, aku nampak..bukan hantu tapi papan tanda mengatakan coaster itu akan bergerak kedepan dan tiba-tiba berhenti dan kemudian akan kebelakang dalam keadaan menjunam ke belakang dengan drastik. tak takut? say sorry to them yang memang gayat. semua papan tanda tu dalam English of kos...hubby tak faham but aku diam je sampai atas. bila keputusan untuk keluar dari coaster kubuat, barulah aku bagi tahu hubby akan situasi yang bakal diaorang hadapi. bye bye..kataku seraya keluar melalui exit yang dinyatakan. sejurus beberapa ketika, mereka selesai  hubby dengan muka pucat lesinya hanya tersengih kepadaku. speechless. lama baru dia cakap yang baguslah tindakan aku keluar tadi. kalau tidak mesti aku terkencing-kencing. hehehehehehhe.....padan muka.

selepas itu, kami bergerak ke destinasi impianku: FAR FAR AWAY. yesssss..princess fiona i'm coming for you. saksikanlah gambar-gambar yang tak seberapa ni...

Dipintu masuk


Di dalam Far Far Away, kami masuk studio Shrek, ada adegan konon untuk menyelamatkan fiona dari penjahat. time ni memang rilek habis. dengan kerusi yang bergerak ikut filem. 4D filem. yg bencinya bila si donkey bersin, ada air betul terpercik-percik ke muka kita, rasa geli pulak. kemudian bila labah-labah dilepaskan, terasa kat kaki kita benda tu merayap. rasanya semua pengunjung melepaskan lelah berjalan dan berdiri sepanjang hari disini, dengan sejuk nyaman air-cond dan studio yang macam pawagam luas dan bersih. rasa tak nak keluar, kalau tayangan filem tu sejam, rasanya boleh tertidur. ambil kesempatannnnn.. hehehe.

cantik bangunan tu, macam dalam castleville


Setiap beberapa jam sekali, ada celebriti seperti Myrlnn Monro ( Betul ke ejaan ni) yang jelita berlegar-legar dengan ditemani bodyguard dan petugas khas. Ada Betty yang seksi dan aku terserempak juga dengan Brandon Fraser dari The Mummy.bsemua tu pelakon olok-olok tapi mengikut watak di studio-studio yang berkaitan. Contohnya kalau berada di Celebriti Walk ,
kenal Audrey Hepburn? artis dolu-dolu..

...jumpalah dengan mereka-mereka ni dan kami dapatlah bergambar di nama Celebriti yang aku sendiripun tak kenal..hahahahahahahahha. jakun.  hello..bayar mahal tau, berseronok la sepuas hati sampai petang. 

 Sebelum keluar dari USS, kami dihiburkan dengan persembahan dari penyanyi merangkap penari ala kabaret yang emmm..ampun seksinya. orang lelaki sukalah, kami yang perempuan ni malu-malu ayam je tengok. dah sampai situ, kenalah buka kepala hotak ni menerima budaya asing walau dalam hati rasa nak melangkah pergi tak sanggup tengok. selalu tengok dalam tv saja, ni dah kat depan mata. jeling kat Aiman dan hubby, muka merah-merah menahan segan..hahahaha.

ada juga persembahan dari dancers yang bagus ( lelaki) dan aku pulak yang letih tengok diaorang beraksi

ni gambar di jalan masuk mula-mula ke USS. Van popcorn pun berebut orang nak bergambar..


Di Studio Transformer, ada gerai minuman ringan yang menjual botol air ikut tema robot. tapi harganya dalam RM50-60 gitulah ( lupa ). mujurlah Aiman tak meraung-raung nak botol air tu ( sebenarnya  maknya yang meraung dalam hati ..). bila kita beli botol air di USS ( tak kisahlah karakter apa), bila kita beli 2nd time dan seterusnya air soda, cuma SD3.00, kalau tak SD5.00...waduhhhhh..mahal bangat harga air soda kat situ. RM12.50 gitu. walhal kalau kat Malaysia cuma RM2.00. kalau tak ada duit memang tak payah pergi sanalah bawa anak-anak, buat sakit jiwa je..huhuhuhuhu. Adik pulak dulu pertama kali masuk, ada beli botol air tapi dek jadi rebutan anak-anak buahnya, mak sorokkan sampai lupa kat mana, gigit jari je la.


di depan Studio Transformer. robot tu bergerak tau, ada orang kat dalammnya


Hubby dan aiman ambil kesempatan beraksi di Jalan Hollywood dimana ada beberapa kereta lama yang dipakir sebagai props dan agak menarik juga membayangkan jika ianya benar-benar berada di persekitaran Kota Hollywood.





Kesimpulannya, itulah mungkin first dan last masuk situ. Tiket masuk pun RM185. belum lagi nak shopping cenderahati yang harganya tau-tau sajalah. memang nampak macam murah tapi bila convert ke RM..alamak..ampun. sekecil-kecil key chain pun dah SD10, kali lah dgn RM2.50...tidak ke dah jatuh kepada RM25?...kawan2, maaflah ye, tak ada la logo USS untuk dibeli sebagai hadiah.

Tapi untuk bersantai-santai di luar USS dan ambil gambar pun boleh, ada gerai2 disitu tapi kena tengoklah halal ke tidak, jangan main belasah saja. dan digalakkan pakai sandal bertali/kasut untuk mengelakkan lenguh nak berjalan merata-rata. lagipun kalau nak naik roller coaster, selipar tak bolehhh..nanti terpelanting kena pulak orang kat bawah. nak masuk Mummy pun kena simpan beg di peti keselamatan yang entah selamat ke tidak tu..tanggung sendiri la jah.

Itulah serba sedikit pengalaman melancong ke Universal Studio Singapore. Pengalaman yang mungkin sekali seumur hidup dan banyak ertinya kepadaku kerana nilai yang terdapat padanya. nak tahu tak? hasrat melancong ke Singapore ini adalah hajat suamiku yang berdikit-dikit menyimpan duit syiling semenjak beberapa tahun. aku memang tak sangka kerana selalu memperlekehkan hubby yang amat gemar mengumpul syiling sampai berbakul-bakul ( sebesar size A4) tanpa berhasrat menyimpannya ke dalam mana-mana bank. rupa-rupaya hobi tersebut digunakan oleh beliau untuk melancong tanpa mengeluarkan duit lain termasuk kos membuat paspot. terima kasih abang...diam tak diam, duit syiling yang dikumpulnya ( RM1000.00 lebih) termasuk duit yang dijimat-jimatkan dari wang gaji setiap bulan,  kami membelanjakan hampir RM2000.00 sepanjang 4 hari di Johor Bahru dan 2 hari di Singapore!! 

Tahun 2013, aku menyimpan hasrat untuk membawa kakak kandungku pula naik flight ke Langkawi. kasihan dia kerana perancangan kami ke Singapore tidak dimaklumkan kepadanya lebih awal. akupun hanya tahu hubby confirm ke USS pada bulan November lalu. memang tak sempat nak kumpul duit la, lagipun aku tak mampu untuk menanggung mereka sekeluarga. sebagai balasan tutup mulut, aku berjanji mambawa kakak sekeluarga ke Langkawi, itupun dengan kos sendiri-sendiri. sekurang-kurangnya kakak sempatlah mengumpul duit tambang dan saku...hehehehe.

semoga entri ini dapat dimanfaatkan kepada kawan-kawan diluar sana, tak niat nak menunjuk-nunjuk, sekadar penerangan percuma sepertimana aku dulu yang tercari-cari blogers yang dah pergi kesana.

~Ta ta.














HIDUP PENUH RANJAU : TANPA TEPIAN

Maafkan aku untuk kesekian kalinya, terpaksa menitiskan airmata semahunya kerana terkesan dengan impian serta harapan yang tak kesudahan....