Monday, 18 June 2012

Hidup Penuh Ranjau: Bahagian 9




Hidangan petang di  kantin begitu menyelerakan. Sarah mengambil sebiji kuih karipap inti ayam dan sebiji kuih cucur badak. Dia memesan air limau suam. Matanya liar mencari tempat duduk yang kosong. Oh..ada sebuah meja di balik tiang batu itu.                                                                 
Sedang enak menikmati juadah, Sarah disapa mesra oleh seorang lelaki. Dia dongakkan kepala, ah…lelaki yang telah kulanggar tadi. Dia nampaknya ingin menyatakan sesuatu.
“Encik cari saya ke?”
“Err..boleh saya duduk di meja ni? Lagipun pemandangan dari sini nampak cantik..”
Tiada alasan untuk Sarah menolak kerana meja lain nampaknya sudah penuh.
“Silakan…” pelawa Sarah. Dia tak mahu ambil pusing dengan kehadiran lelaki yang tidak dikenali itu. Matanya dilemparkan jauh ke hujung jalan.
“Saya Roslan…” ujar lelaki itu memulakan bicara. Sarah menjeling sekilas lalu mengalihkan pandangan ke luar tingkap seperti tadi.

Roslan ikut memerhatikan pandangan ke luar tingkap. Nampaknya Sarah seperti tidak ingin dia ikut serta di situ. Kehadirannya bagai angin yang hanya di rasa dan tidak mampu dilihat. Namun hatinya cukup melonjak ingin mengenali gadis yang ditemuinya tadi, yang melanggarnya tanpa sengaja dan..apa yang lebih meriangkan juga, Hamizah-kakaknya beria-ia menyarankan agar pergi menemui Sarah.
“Saya nak balik….”
Sayang, Sarah sedikitpun tidak mendengar. Jiwanya terlalu kosong saat ini.
“Jumpa lagi Sarah…..nice meeting you.”
Sarah masih dalam dunia khayalannya. Bila jam digital di tangannya berbunyi tiga kali, barulah dia sedar yang dia telah menghabiskan masa selama 25 minit di kantin itu. Pemuda yang menumpang meja dihadapannya juga telah tiada. Sarah tak berniat untuk mencari apatah lagi berfikir.
Dia terus berlalu naik ke pejabat.mengapa jalan-jalan yang kulalui kini begitu tajam dan memenatkan. Aku letih, aku tak tahan lagi, aku tak berdaya…Tuhan……………… sekujur tubuh gadis itu tiba-tiba goyang dan rebah ke lantai.
“Sarah…Sarah…buka mata. Kenapa dengan kau ni?!” kejut Hamizah cemas. Sarah membuka matanya perlahan-lahan. Begitu terkejut dengan apa yang berlaku. Kelilingnya ramai orang, tubuhnya juga sudah berada di bilik kecemasan bangunan pejabatnya.
“Kenapa dengan saya kak?…” soal Sarah lemah. Beberapa orang rakan sepejabat yang datang melawat hanya menggeleng lesu. Wajah Sarah yang pucat dan cengkung menggamit simpati sesiapa sahaja.

“Kau pengsan. Mujur Roslan belum balik lagi. Dia yang panggil akak ke mari. Itulah…boss suruh cuti kau tak hendak..” Hamizah membebel melepaskan geram dalam hatinya kerana Sarah berdegil mahu terus bekerja walaupun dia sedar dirinya kurang bermaya hari itu.
“Roslan.?…siapa Roslan?…”
“Sudahlah Sarah, jangan kau fikir semua tu lagi, mari ikut akak balik rumah. Kalau kat rumah kaupun, tak ada siapa yang nak tengok-tengokkan kau nanti. Boleh jalan tak?”
“Boleh. Tak payahlah susah-susah kak. Saya boleh balik rumah sendiri.”
“Degil lagi tu. Jangan banyak bantah, nah beg kau. Roslan dah tunggu kat kereta tu.”
Siapa Roslan?…adakah pemuda yang aku langgar tadi dan pemuda yang cuba nak berbaik-baik di meja tadi?aku benar-benar menyusahkan banyak pihak hari ini.

17hb. Julai 2002
Yus, aku pengsan hari itu. Aku dirawat kak Hamizah di rumahnya. Betapa baik insan itu Yus, aku dianggap bagai adiknya sendiri. Aku malu meminta pertolongan orang luar. Kau jauh untuk kuberitahu, lagipun tiada faedah apa-apa kerana kau sedang mabuk berkasih.

“Sarah…mari makan bubur daging yang akak buat khas untuk Sarah. Jangan makan kat luar, Sarah tak sihat lagi. Dah berapa hari kau tak makan nasi ni? Akak tengok kau makin bertambah kurus. Dahlah cengkung, lemah pulak tu…apa masalah Sarah sebenarnya?”
“Tak ada apa-apa kak.”
“Rahsia sangat ke sampai susah benar nak beritahu. Tak apalah kalau rahsia peribadi Sarah, tapi akak nak pesan satu saja, kalau Sarah pendam dalam hati….nanti Sarah juga yang merana. Tak baik begitu dik.”
Sarah tundukkan wajahnya. Dia merasa cukup sayu dengan perhatian Hamizah. Biar tidak begitu rapat di pejabat, keramahan dan kemesraannya membuatkan Sarah berasa cukup dekat dengan wanita itu. Kelopak matanya panas dan airmatanya pantas sahaja meluncur turun. Dia tak mengesatnya, hanya membiarkan butiran panas itu menerjah pipinya yang dingin dan pucat.
“Kau benar-benar sakit Sarah…kau benar-benar sakit dan menderita.” Hamizah mengesat pipi Sarah dengan hujung selimut. Dia mendakap gadis malang itu dengan rasa sayang yang kian berkembang mekar. Meskipun dia tidak tahu asal-usul Sarah. Meskipun jiwanya masih lagi sarat dengan persoalan misteri , Hamizah yakin dia perlu menolongi Sarah. Hamizah bimbang Sarah akan terus merana dan menderita lalu membawanya ke alam khayalan yang gelita.


~mampukah Sarah menghadapi kesakitan hatinya?...tunggu di keluaran akan datang.

Thursday, 17 May 2012

Puding Batrishya




Puding ni aku namakan sempena nama anak buah yang cute berusia 1 tahun lebih. resepi ni aku ambil dari blog kak Azlita masam manis dan ku ubah ikut selera dan kemampuan barang yang ada di rumah. kepada yang ingin mencuba. jangan takut nak ber explorasi dengan bahan-bahan baru kerana jika ikut sukatan yang aku baeri ni, Insyallah jadi dan sedap. 

Bahan-bahannya:

1 peket agar-agar kering ( dalam plastik panjang)
sukatan air adalah 1 plastik agar-agar tadi
5 sudu besar gula
2-3 sudu besar susu pekat manis
5-10 keping biskut oreo dibuang krim dan diblender halus
santan pekat sebanyak setengah peket agar-agar
2 sudu milo ( ikut suka )

Cara membuatnya:

1. masak agar-agar dengan sepeket air hingga betul-betul hancur
2. masukkan santan, kecilkan api
3. masukkan gula, susu pekat, milo dan separuh serbuk biskut oreo-digaul rata
4. sediakan acuan, masukkan sedikit serbuk biskut oreo itu tadi di dalam acuan dan kemudian tuang agar-agar yang telah masak. sejukkan. bila anda terbalikkan acuan, akan didapati oreo itu berada di atas.

**puding aku ni nampak macam ni sebab terbeli agar-agar berwarna. sama je rasanya cuma kredit kepada yang tak ada sirap kat rumah la..hahahha. serius ni, memang lemak berkrim, sampai anak aku tak berhenti buka tutup peti ais. tak kisahlah, kita buatpun memang untuk dia. asal habis di makan sudahlah...**wink*




pinjam bunga mak untuk glamer..haha



nampak tak kegebuan puding ni?..rasanya?..fulamakk..

tambah 3..haii, semakin geram.




Sunday, 15 April 2012

Bila Anak dah mula minta..

Lama tak berblog, bukan apa..sibuk merawat kakiku yang tiba-tiba membengkak. bukan kerana gout tapi kerana digigit serangga. risau juga dalam hati tapi nak pergi klinik takut dicucuk!..maka sapu aje lah dengan minyak Leha. bukan minyak omongan...ini minyak ada jampian ( kata suami). aku iyakan ajelah..

Kisah kali ini adalah kisah anak lelakiku yang dah mulai teruna. semenjak bersekolah di tingkatan 1 ni, aku perhatikan otaknya dah timbul macam-macam. Bukan timbuk keinginan nak belajar, tapi keinginan nak mendalami ilmu berpeleseran...hati ibu dan ayah siapa yang tak bengkak macam ni.

Mula-mula minta naik bas dengan kawan-kawan, aku tepis. kemudian minta ke rumah kawan, aku tepis kerana jika hendak bermain, banyak lagi tempat di bawah apartment dan padang yang boleh dijadikan tempat.  aku memang melarang keras anakku masuk ke rumah jiran sehingga jiranku bertanya sendiri denganku kenapa anakku tak mahu masuk ke rumahnya. aku jawab dengan selamba-yang aku memang tak izinkan dia masuk bermain di rumah orang, bimbang ada kehilangan barang atau kejadian pecah barang. kemudian minta main kompang, aku tepis dengan bersyarat-harus berlatih di dewan bawah flet rumah sahaja baru boleh. dan ternyata benar dia hanya berlatih di dewan serbaguna bawah flet kediaman kami sahaja. dapatlah aku memantau dari atas rumah sahaja. kemudian meminta menyertai rombongan keluarga kawannya di tingkat atas rumah kami-balik kampung. pun aku tepis sekeras-kerasnya. marah juga dia tapi anakku itu cuma seorang, biarlah pengalaman diperolehinya selepas dia tamat tingkatan 5 kerana waktu itu aku akan lepaskannya sedikit demi sedikit.

namun yang paling takjub sekali adalah kemurahan hatinya mempelawa rakan yang baru dikenalinya seramai 2 orang untuk bertandang ke rumah saat kami tiada...dengan tujuan tempat lepak dan merokok! aku percaya dia cuma merasa sedikit rokok tersebut namun paling sedih sekali ialah hatinya sangat pemurah sehingga tidak dapat memproses kejadian itu dibenarkan atau tidak...bahkan perbuatan mereka menjadikan rumahku sebagai port untuk merokok sudah masuk hari yang ke-3!!

Bagaimana harus untuk aku melepaskannya seorang diri di waktu sekarang kerana pemikirannya belum cukup matang untuk menentukan buruk dan baiknya sesuatu perkara itu. jika jiran-jiran beranggapan aku ini sangat garang, ya aku akui. kerana tragedi tak mengenal siapa. sebelum terlambat baik mencegah.

Walau apapun, aku tetap sayangkan dia dan alhamdulillah kini dia semakin terbuka, walau dia tahu aku tak mungkin mengizinkan, dia tetap memberitahu sebelum melakukannya. kejadian minggu sudah banyak menyedarkannya tentang betapa pentingnya restu ibubapa kerana dari situ datangnya Redha Allah SWT. aku hanya mengharapkan dan sentiasa mendoakan yang terbaik buat anakku, semoga dia membesar dalam lindungan Allah SWT dan sentiasa mengingati segala didikan kami. Amin.

Wednesday, 11 April 2012

Kuih Lapis Lola

Semalam jenguk-jenguk blok kak Zu Semanis Gula dan kak Azlita Masam Manis. ternampak kuih lapis. cantik je. hati meronta-ronta nak buat juga memandangkan resepi-resepi yang lain banyak menggunakan ketuhar ( kes ketuhar en. hubby masih belum mahu angkut ke kedai repair..). maka jeling-jeling la resepi yang boleh di kukus, bakar, panggang, goreng dan rebus..huuhuhu

Resepi kuih lapis ni saya namakan Lola sebab mengambil nama sempena nama pena blog. hahahhaa, sebenarnya orang dulu-dulu dah banyak dah buat kuih lapis ni, kira kuih cincai je namun dek saya ni baru nak kenal-kenal dapur, terasa seperti istimewa pulak tahu membuatnya..wah..suamipun kata sedap sebab tak la manis sangat dan lembut pula. apakan tidak, nak melapis sebanyak 14 lapis tu kenalah banyakkan selawat supaya hati jadi relax sambil tengok-tengok tv. orang semua dah terlelap tinggal kita aje yang terhendap-hedap kat dapur tgk dah masak ke belum..hahhahaa. kelakarnya. kalau ikutkan hati panas baran nak cepat siap mau ku tuang aje 1 cawan setiap lapis, biar cepat habis. alhamdulillah, berkat kesabaran, akhirnya membuahkan hasil kerana texturenya gebu, licin dan baris-baris lapispun sekata je.



 bahan-bahannya:

2 cawan tepung gandum
2 cawan tepung beras
1 cawan tepung pulut
1 cawan gula pasir
2 sudu besar minyak masak
1kilo santan pekat ( anggaran 4 cawan atau lihat adunan )
secubit garam
sehelai daun pandan-saya tak letak. jika masukkan bahan ini, kena di blender dan tapis dan kemudian masukkan dalam adunan.

cara-caranya:

gula dan 1 cawan santan dikacau hingga gula hampir larut.
tuang semua dalam bahan-bahan yang lain dan kacau. boleh juga gunakan blender atau mixer tapi saya hanya gunakan senduk sahaja.
bahagikan kepada 2 bahagian. satu diwarnakan merah, satu lagi diwarnakan hijau. warna adalah mengikut kesukaan anda. sapu loyang dengan minyak masak.
panaskan pengukus, lapiskan satu warna dahulu dan tunggu dalam 2 minit atau anda lihat permukaannya sudah masak sedikit, barulah dituang lapisan seterusnya. buat sehingga habis dan kukus lebih kurang 15 minit baru tutup api kukusan.
adunan yang saya buat cukup untuk buat 14 lapis 2 seduk setiap lapis bagi loyang bulat 8 x3 inci.
selamat mencuba!








terima kasih kak zu dan kak azlita atas tunjuk ajar melalui blog anda. asas untuk membuat kuih ini saya dah tahu hanya masukkan bahan-bahan yang lain sebagai penambah perisa di lain masa. sekurang-kurangnya jika teringin nak makan, tak perlulah nak beli di kedai yang harganya 40-45 sen sebiji namun rasanya belum tentu sedap. 

Tuesday, 27 March 2012

Puding Kiwi


Hello...kali ini saya paparkan hasil puding kiwi yang dipelajari daripada blog kak Azlita masam manis. jika tak minat nak masak memang sukar memahami resepi-resepi kak Azlita yang agak mudah meski beliau menyertakan sekali proses pembuatan ( kebanyakkannya) kuih muih dan kek beliau. jadi saya kongsikan di sini resepi mudah membuat puding kiwi.

bahan-bahannya:

2 biji buah kiwi masak
1 peket agar-agar
1 1/4 air ( sukat dari plastik agar-agar tadi )
1-2 cawan santan pekat@susu cair ( ikut suka )
1 1/2 cawan gula ( ikut suka manis sbb kiwi tu agak masam )
sedikit pewarna hijau ( lagi hijau lagi cantik-saya gunakan hijau epal )
1/2 cawan air untuk blender kiwi

cara-cara membuatnya:

blender buah kiwi dengan 1/2 cawan air-tapis dan ketepikan
masak agar-agar bersama air dan gula sampai betul-betul hancur dan sebati
bahagi 2 adunan
satu adunan di masak bersama kiwi yang diblend tadi dan masak sebentar-angkat
adunan yang lagi satu, jerang semula atas api dan masukkan santan/susu cair dan bila dah mula mengelegak, matikan api.

ambil acuan kegemaran dan masukkan lapisan kiwi dahulu, tunggu ia mengeras sedikit dan masukkan lapisan santan/susu dan buat proses ini dengan sabar berulangkali. masukkan dalam peti ais.

***nak melapis tu yang kena banyak sabar, jika tidak, adunan akan bercampur aduk dan menjadi tidak cantik.

selamat mencuba.

Sunday, 25 March 2012

HIDUP PENUH RANJAU: Bahagian 8


Oh! Aku tak boleh hilangkan kenangan itu….semuanya menyakitkan, semuanya memedihkan. Bagaimana harus aku belajar hidup tanpa bayangan Yusri. Sarah merintih sendiri. Baginya tiada apa yang lebih memeranjatkan dari menerima berita yang datang secara tiba-tiba tengahari tadi.

Selama ini Sarah sangka rimbunan rindunya yang tertanam sejak kecil akan tumbuh menjadi sepohon pokok rendang seperti cerita dongeng Bawang Putih Bawang Merah. Sarah lupa ini semua kuasa Tuhan, semua ini merupakan ujian baginya. Dia Cuma mampu merindui sahabatnya, namun bukan berpeluang untuk terus menyintainya. Sarah tak tahu mengapa Yusri berubah. Dia juga tak mengerti samada perjalanan hidupnya sekian ini telah menemui matlamatnya. 

Sarah menundukkan wajahnya yang cengkung, beberapa titis airmata hangat menitik ke ribanya. Apalah daya gadis itu, untuk mengesat airmatanya sahaja dia tak berupaya…

15hb. Julai 2002 – 2.34 pagi

            Yus, sekalung kasih aku rantaikan ke lehermu. Aku sudah tak mempunyai impian lagi. Kau juga sudah kuburkan semua impian zaman kanak-kanak kita jauh dari daerah kita. Aku tak memahami, malah untuk cuba mengerti juga aku sudah tak berdaya. Yus, doa-doaku akan sentiasa mengiringi perjalanan hidupmu. Setulus kasihmu terhadap Zulaikha Intan- bakal isterimu tidak lama lagi. Bukankah sudah kujelaskan tidak lama dahulu, kau pasti akan menemui insan istimewa yang akan mengasihimu sepanjang hayat? Maka Zulaikha itu aku doakan menyintaimu, mengasihimu dan menjagamu serta ibu dengan amat baik.

Kegembiraanmu adalah kegembiraan yang aku tumpang sejak dari kecil.  Seharusnya aku tak layak untuk mencederakan sedikitpun perasaanmu. Terima kasih kerana menjadi sahabatku. Aku gembira kau telah menemui pilihan hati yang bakal mengongsi suka dan duka bersama.

            Di tempat kerja, Sarah asyik ditegur ketua kerana seringkali lalai dan bermenung tidak tentu arah. Tugas Sarah mencari fail. Kadang-kala fail yang diminta unit ini diberi kepada unit lain. Teman sepejabat yang perihatin, menggeleng kehairanan.

            Hamizah menghampiri Sarah sewaktu gadis itu bersandar di sebalik kabinet fail. Mizah memegang bahu Sarah yang sudah dianggap seperti adik sendiri. Tak pernah dia melihat Sarah berkeadaan begini semenjak bertugas. Di hadapan matanya selama lebih dua tahun dia mengenali Sarah, Mizah tak pernah melihat airmata Sarah mengalir seperti itu. Hatinya nekad ingin membantu meringankan beban yang sedang ditanggung oleh Sarah.

            “Sarah ada masalah di kampung ke?”
            “Tak ada apa-apalah puan. Sarah Cuma tak sihat sikit. Puan janganlah risau…” dalih Sarah, malu.
            “Saya nak bantu Sarah. Kalau-kalau Sarah perlukan pertolongan saya. Sarah perlukan duit ke?…”
         “Tidak…terima kasih puan kerana prihatin. Sarah menyusahkan puan saja. Sebenarnya …Sarah rindukan aruah emak, itu saja.”
            “Betul ke ni…tapi saya tak percaya. Saya lebih tua dari Sarah. Saya tahu kesedihan dan kerinduan kamu ni lebih dari itu.”

            Sarah memandang wajah Hamizah. Sinar matanya yang redup itu menyatakan keikhlasan ingin membantu. Tapi Sarah tak mahu membebankan sesiapa. Rahsia hati itu biarlah terus menjadi rahsia hatinya.

Hamizah beredar meninggalkan Sarah di celahan kabinet fail, sendirian. Dia tahu, jika di asak soalan bertubi-tubi pun, tak mungkin gadis itu akan bercerita kepadanya. Hati perempuannya meronta ingin mengajak berbicara dan mengetahui lebih lanjut..jika kamu mahu.

            Sewaktu Sarah melangkah keluar pintu pejabat untuk ke kantin, dia terlanggar bahu seseorang. Memang sungguh Sarah tidak perasan, lelaki yang dilanggarnya itu memalingkan wajah ke arahnya. Kacak juga…getus hati Sarah. Namun hatinya yang sedang berkecamuk menyebabkan dia tidak mahu berfikir banyak tentang lelaki muda itu.

            “ Cik..boleh saya jumpa Pn. Hamizah?”
         Sarah memandangnya seketika, dengan pandangan kosong. Lalu menyuruhnya masuk ke pejabat mencari sendiri Pn. Hamizah seperti yang didakwa. Sarah terasa tekaknya begitu perit untuk berkata-kata. Bukan kehausan…tapi bagaikan ada selumbar yang menyucuk-nyucuk dengan kejam. Lelaki itu mengucapkan terima kasih lantas menghilang ke pejabat. Ahh…kasihan dia tidak kusambut sebagai tetamu.

~siapakah lelaki kacak tersebut?..apakah kehadirannya mengundang kegembiraan buat Sarah?

~bersambung lagi...sabar.

Wednesday, 21 March 2012

Peperiksaan dan Keputusan

Keputusan SPM dah keluar semalam. Tahniah kepada yang cemerlang dan kepada yang kurang bernasib baik, jangan putus asa. Hidup mesti diteruskan dan tak boleh nak diundur masa tersebut. Apa yang pasti, kecemerlangan dalam peperiksaan kebiasaannya bertitik tolak dari usaha pada awal-awal lagi. ditambah dengan usaha berganda dari segi kerohanian dan hubungan baik sesama insan. aku tak tipu tapi ini kajian dari segelintir pelajar yang mendapat keputusan cemerlang meski dia berbangsa apa juga.

Apa rahsianya ye?

1-Tekun belajar, buat home work, buat latihan tubi
2-Solat 5 waktu, diiringi solat hajat dan sunat serta puasa Isnin Khamis
3-Berbuat baik kepada kedua ibubapa dan keluarga serta guru-guru
4-Bergaul baik dengan jiran tetangga dan sahabat handai
5.Pastikan makan dan minum adalah dari makanan yang hala dan sumbernya juga mestilah halal


Sekurang-kurang 5 perkara ini adalah rutin harian dalam kehidupan seorang pelajar barulah hasilnya Insyallah cemerlang luar dan dalam. Aku sangat yakin spiritual kena bersih untuk menerima ilmu. Bukan mudah Allah SWT hendak memberikan apa yang kita hajati jika kita tak berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Begitu juga dengan ibubapa, sentiasalah mendoakan kesejahteraan anak-anak dan restumu mendapat keredhaan dari Allah SWT. 

Jika mengamalkan semua 5 diatas namun masih gagal, jangan putus asa. Ada hikmah dari Allah SWT yang kita tak nampak buat masa sekarang. Allah memberikan kesedihan untuk digantikan dengan kegembiraan. Apa-apapun, Istigfar banyak-banyak semoga segala macam rasa yang bersarang dalam hati terungkai tak lama lagi.

HIDUP PENUH RANJAU : TANPA TEPIAN

Maafkan aku untuk kesekian kalinya, terpaksa menitiskan airmata semahunya kerana terkesan dengan impian serta harapan yang tak kesudahan....