Thursday, 6 December 2012

HIDUP PENUH RANJAU: Bahagian 13



“Sarah…Sarah…kenapa menangis?”
“Oh..tak ada apa puan.” Dalih Sarah seraya berlalu ke bilik air.
Hamizah memerhatikannya dengan seribu tanda tanya…………………

29hb. Julai 2002

Yus, kau akan bernikah esok. Aku pasti kau akan gembira dan berbahagia di samping Intan Zulaikha. Si cantik manis pilihan ibumu itu pastinya menjadi menantu dan isteri kesayangan keluarga. Siapalah aku untuk melawan Takdir Tuhan.

.................................................................................................................................
 Roslan berdiri di pintu masuk pejabat Sarah. Hatinya puas jika dapat bersua muka dengan gadis pilihan hati itu. Sarah banyak mengajarnya erti rindu meski pengertian rindu itu hanya dia yang merasai dan memahami. Firasatnya agak kuat bahawa Sarah akan membuka pintu hati hari ini.
“Assalamualaikum..”
“Wa..waalaikumsalam, nak jumpa puan Mizah ke?” tanya Sarah gugup. Entah mengapa hari ini dia agak malu mahu bertentang mata dengan pemuda itu. Pemuda yang setiap hari membuat panggilan kepadanya, pemuda yang sabar melayani karenah acuh tak acuh.
“Tak…hajat saya ke mari cuma nak bertemu Cik Sarawanija, dia ada?” selamba saja Roslan bertanya, Sarah sedikit terkesima.
 “Jemputlah duduk, saya ada kerja nak selesaikan, lagi lima minit saya akan jumpa awak di depan tu..” jari Sarah diarahkan ke sudut tetamu yang dimuatkan dengan set kusyen dan meja kopi. Surat khabar tersusun rapi di rak bawah meja. Roslan mengangguk dan tersenyum kepada Sarah.
Dari jauh, Hamizah memerhatikan kelibat adik kesayangannya dengan tenang. Biarlah dia uruskan soal hidupnya bersendirian, aku akan menyokong sepenuh jiwa dan raga, keputusan itu milik mutlak Roslan. Pandangannya berkalih kepada Sarah di sudut komputer. Gadis itu agak serba tak kena, gelisah menyiapkan dokumen yang harus disiapkan dan perlu pula diserahkan kepadanya selaku ketua kerani pejabat ini. Hatinya penuh berdoa demi kesejahteraan mereka bersama.
 Sarah agak terlewat menemui Roslan kerana printer yang digunakan tiba-tiba rosak dan memerlukan dia berkejar ke bilik pegawai lain untuk mengeluarkan dokumen yang telah siap. Roslan hanya memandang Sarah dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir. Itu sahaja cukup membuatkan hati Sarah semakin kuat bergetar. Kenapa ya…
 “Maaf ya en. Roslan, saya agak lambat melayani en. Roslan, ada sikit masalah tadi.” Ujar Sarah termalu-malu lalu duduk bersententang dengan pemuda itu.
 “Tak mengapa, saya faham…emm, sekarang dah tak sibuk lagi?”
 Sarah menggeleng perlahan. Ada garis-garis senyum menguntum dibibirnya. Entah mengapa debar dalam hati masih belum surut. Bilamana menatap mata en. Roslan, Sarah jadi gugup dan mukanya panas tiba-tiba.
 “Saya datang ni nak ajak cik Sarah minum. Masih sudi?”
 “Err..jom, lagipun saya belum makan apa-apa sejak pagi, rasa lapar pulak, marilah..”
 Roslan kaget. Tidak disangka pelawaan mainan itu jadi kenyataan. Beberapa kali dia menepuk pipinya ingin tahu adakah itu sekadar ilusi ataupun benar terjadi.
 Sarah tertawa kecil dan pergi ke mejanya mengambil beg sandang. Dia mengerling sejenak kepada Hamizah yang buat-buat sibuk dimejanya. Sarah menunjukkan isyarat ingin keluar sebentar dan Hamizah angguk sekali. Tiada reaksi antara mereka meski selepas merpati dua sejoli kesayanggannya itu hilang dari pandangan, dia menjerit kesukaan.
 “Yess!!”

……………………………….

Apa yang mengubah fikiran awak hari ni? Selalunya awak tak begitu?..”
 Gadis manis ini terdiam. Mencari alasan paling sesuai bagi diberi kepada pemuda yang agak kacak dihadapannya. Sebenarnya dia malu…
 “Aa..entahlah, bangun pagi je, saya rasa nak terima awak sebagai sahabat. Tak boleh ke?”
 “Bukan..Cuma rasa terperanjat. Siapa nak tolak pelawaan seorang gadis cantik macam awak, kalau saya tolak..bodohlah saya.”
 “Jangan terlalu memuji saya. Tak ada apa yang hendak dibanggakan, saya orang biasa.”
 “Habis..awak ingat saya luar biasa?”
 “Sekurang-kurangnya hidup awak dah sempurna.”
 “Ya, dengan kehadiran Sarah. Terima kasih sebab sudi jadi sahabat saya…yang istimewa barangkali.”
 “Mungkin, akan saya pertimbangkan.”
 Roslan tersenyum puas. Begitu juga dengan Sarah. Hari ini persoalannya tentang penerimaan Sarah terhadapnya sudah terjawab dan dia hanya perlu merancang jalan-jalan kebahagiaan.

CINTAKAH DIKAU KEPADAKU
2hb. Januari 2003

Hubungan diantara Sarah dan Roslan semakin mesra. Roslan juga sudah pandai menuturkan kata-kata puitis melahirkan kerinduan dihatinya buat seorang gadis pujaan yang setiap hari dicintai.
Sarah juga demikian. Jauh disudut hatinya, dia menyimpan angan-angan agar terus dicintai oleh lelaki itu. Hubungan baik mereka direstui oleh Hamizah dan seluruh keluarganya. Malah ibu Hamizah turut menumpahkan kasih-sayang terhadap Sarah bagai anaknya sendiri. Kesempatan itu digunakan oleh Sarah bagi melepaskan kerinduan terhadap aruah ibu yang telah lama tiada.
Gelak tawa Sarah menyatakan betapa bahagianya dia kini. Hamizah juga turut mengongsi kebahagiaan mereka. Dia senang dengan cara Sarah yang pandai membawa diri. Harapannya agar gadis itu berjaya menjadi adik ipar yang dikasihi seisi keluarga.
Hati Sarah juga tidak menyangkal bahawa hidupnya kini semakin berubah. Dia lebih merasai erti tenang dan gembira, malah raut wajahnya semakin bercahaya berbanding dahulu. Mungkinkah dia telah benar-benar menemui cinta sejati?..
Roslan mengajak Sarah keluar ke Tasik Titiwangsa petang itu. Ada beberapa kemuskyilan tentang diri Sarah yang ingin ditanya.
Setelah mengambil tempat di penjuru tasik, Roslan memberanikan diri bersuara.
 “Sarah…boleh abang tanya sikit?”
 “Tanyalah…berapa banyak pun boleh”
 “Err..Sarah betul-betul sayangkan abang?”
 “Kenapa abang tanya…masih tak percaya lagi?”
 “Bukan tak percaya…abang rasa Sarah ada sembunyikan sesuatu dari abang, tapi tak tahulah kalau hati abang saja yang rasa begitu.”
 “Sarah tahu abang sayang sangat kat Sarah. Macamana lagi ye nak buktikan pada abang?”
 “Betul ni Sarah tak main-mainkan hati abang?”
 “In sha Allah…Sarah betul-betul ikhlas sayang kat abang.”
 “Kalau macam tu, hujung minggu ni kita balik kampung Sarah nak?”
 “Buat apa?”
“Abang nak bawa rombongan meminang. Kalau lambat nanti, abang melepas..” Roslan memandang tepat ke mata Sarah yang nampaknya berubah layu tiba-tiba. Sarah terdiam sejenak. Sukar baginya mahu menjelaskan betapa jiwanya amat terluka mendengar nama kampung halaman. Nama itu saja cukup membuatkan rindunya yang telah tertimbus sekian lama segar kembali. Benar dia rindukan kampung, rindukan segala-galanya yang berhubung dengan semua kenangan di kampung itu. Lebih-lebih lagi dia terlalu rindukan sahabatnya…bekas kekasihnya…Yusri!
 Roslan memerhatikan gelagat Sarah yang seperti acuh tak acuh saja terhadapnya petang itu. Sekian lama setelah mendung berlalu, inilah kali pertama dia melihat gadis pujaannya bermurung. Tak sampai pula dihatinya melihat Sarah demikian. Mungkinkah aku tersilap mengatur pertanyaan tadi…
            “Abang minta maaf kalau abang tersilap cakap..”
            “Abang betul nak meminang Sarah?..”
Roslan mengangguk. Sarah diam lagi. Sukar benar mahu meluahkan apa yang selama ini tersimpan di hujung sanubarinya. Sebagai seorang perempuan yang khuatir kehidupan silamnya menganggu gugat hubungan mereka yang baru hendak mekar, Sarah rela berdiam diri.
            “Kenapa Sarah asyik diam aje dari tadi, tak seronok ke keluar dengan abang hari ini?”
            “Seronok…kalau boleh nak selalu dengan abang. Tapi macamana ye nak terangkan pada abang..”
            “Sarah ada masalah menerima lamaran abang?”
            “Emm..”
Jawapan Sarah membuatkan hati Roslan berdegup kencang. Dia sudah ada boyfriendkah?..apakah aku hanya sandaran pada dia…
            “Abang jangan sangka yang bukan-bukan, Sarah tak ada orang lain lah.” Roslan tersipu-sipu malu dengan jawapan Sarah. Dia tahu pulak apa yang aku fikir.
            “Habis tu…apa pula masalahnya.”
            “Siapa wakil yang nak terima rombongan abang di kampung?”
            “Mak saudara Sarah lah…kan Sarah ada mak saudara.”
            “Dah lama meninggal bang…”
            “Oh..abang minta maaf, kenapa Sarah tak cakap dengan abang”
            “Tak tanya” Roslan terkesima kerana malu sendiri. Sarah menyambung kembali  diamnya. Lama. Kemudian Sarah mendongak ke langit dan mengeluh.
            “Kalau ada aruah emak dan ayah kan elok..beginilah, apakata kalau keluarga abang berjumpa dengan kakak sepupu Sarah. Mungkin dia boleh membantu..barangkali…”
            “Elok juga..jom abang hantar Sarah balik, dah lambat ni. Nanti Kak Mizah risau pulak.”
.............................................................................................................................
5 Januari 2003 – 6.05 pagi
Selamat Ulangtahun Kelahiran yang ke 25 …..aku menyambutnya sendirian.. Waktu subuh kuhabiskan dengan membaca Al-Quran dan Surah Yassin. Aku merasa teramat sepi, hati ini bagai sudah tiada isinya lagi. Ingin sekali menangis, namun yang terzahir hanyalah keluhan demi keluhan yang tiada berkesudahan.
Yus…mengapa terlalu sukar untuk aku membuang rindu ini kepadamu….



~bersambung....jadi ke tak mereka bertunang ye? tunggguuuu


Tuesday, 4 December 2012

DEMAM DURIAN CREPE


Assalamualaikum w.b.h kepada semua teman-teman bloger. nampaknya demam DC sudah tiba di rumahku pula!!! yepeeeeee...rasa bahagia dan gembira kerana berjaya mencapai keinginan untuk meng'crepe' yang selama ini diangan-angankan. fulamak..nampak sangat jarang-jarang masak!

Dek kerana rasa gelora yang tak terkatakan semenjak DC melanda Malaysia, dek kerana tak tertahankan jiran-jiran sebelah menyebelah di tempat kerja asyik melantak DC yang dibeli..( dek kerana tak puas makan sebenor-benor nyerrrr), maka hari itu aku gagahkan fikiran ( kudrat sentiasa adooo) untuk 'memaksa' suami singgah membeli barang-barang yang jumlahnya ehemm..menjeling manja cik abang sebab dia tak yakin pada isterinya ini untuk membuat ntah apa kebendanya DC tu pada dia..( sampai ati abang ). sebab dia tahu aku ni memang NEVER FOREVER melempeng untuk dia ( MEMANG ). AKU DAH JEMU MAKAN LEMPENG LA SEJAK KECIK..sesekali tu merengek juga suruh abang buatkan..diulangi: suamiku yang buat lempeng untuk aku..eh..untuk kami..hahaha gotcha!

Maka sejurus lepas mandi dan solat Asar ( jam 6 ptg lepas balik keje ), masak nasi dan panaskan gulai, mulalah aku menimbang ikut sukatan dari resepi Kak Azlita masam Manis. sukar sebab tak reti masak. pas tu buat la, kebetulan malam tu Bola Malaysia lawan Indonesia..abang caya dengan tak caya je aku rela tak ikut dia dan anak pegi stadium. nak buat duit kataku..cewahh...betul-betul degil melawan arus nih.

Tengah-tengah buat..TUP! Letrik tak ada......marah betul aku kat TNB, time aku nak buat DC letrik pulak tak adaaaaaaaaaaaaaaa. so tengok la gambar lilin nih..dalam kegelapan malam di bawah sinaran lampu lilin aku dok mengcrepe..ciss. akhirnya..jadik la juga crepe pertama dengan teknik yang kudapat setelah sebungkus tepung aku punahkan..huhuhu.




haaa..sekarang ni alhamdulillah, dah start menjual DC dah. abang cuba bawak 10 pack of 5's dengan harga RM10.00 di Kem Sungai Besi. dari tempat kerja aku update status DC aku dan abang kata dia letak saja terus habis. suka la abang...barang jadi duit. itulah..percayalah kat aku ni..hahahaha

korang tengok la kuali aku ni: asalnya aku beli Pemanggang Ajaib cap IKAN untuk bakar ikan. semua itu ketentuan Allah SWT jua apabila benda itu membantu aku untuk mencapai hasrat membuat dan menjual DC bagi area Sungai Besi..alhamdulillah.....( lain kali jangan marah isteri bila suka membeli..)
inilah rupa pemanggang yang telah aku punahkan untuk dijadikan kuali 'single'..cerdik tak aku? haha


lempeng pertamaku...nipisssss



walla...gebu dan montok macam tuannya..


ini aku buat untuk bawa ke pejabat hari ni bagi kawan-kawan rasa. satu pek 4 biji saja. sebab nak habiskan stok durian semalam.


Sekarang ni, aku buat tak payah tengok resepi, tak payah timbang-timbang, ni korang boleh tiru atau rujuk ke blog masakan yang lain-lain:

DURIAN CREPE / DURIAN PANCAKE
By : Fatmah Bahlawan
Rujukan : Hesti

250 gm tepung gandum
3 biji telur
500 ml santan
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh pandan emulco
1 sudu teh pewarna hijau

Satukan semua bahan di atas di dalam bekas
Kacau rata
Masukkan dalam blender dan kisar
Kemudian tapis

Sediakan kuali leper untuk membuat crepe yang tidak melekat
Panaskan hingga kuali benar-benar panas
Oleskan sedikit minyak pada kuali
Kemudian kecilkan api
Tuangkan satu senduk kecil ke dalam kuali dan masaklah adunan tadi hingga menjadi crepe
Adunan tak perlu di balikkan
Bila permukaan atasnya dah kering terus angkat
Buat sehingga habis
Biarkan sejuk. 


RESEPI DERHAKA LOLA:

1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung ubi
1/2 cawan tepung jagung
1/2 cawan tepung kastard
1 biji telor
1 sudu besar gula halus
sedikit pewarna yellow lemon
sedikit esen vanilla ( untuk hilangkan hanyir telor)
2 cawan susu segar
air secukupnya sampai adunan cair


Intinya:

1 cawan Whipping Cream -saya guna jenama Richs warna biru( lebih firm dari Richs Gold Label yang agak lembik-bimbang kalau tak pandai lipat nanti terbarai meleleh-leleh)
Isi Durian secukupnya-saya beli Durian D24 sebab banyak isi dan gerenti sodap.

Cara-cara membuatnya:

campur semua adunan, kacau atau nak blender pun boleh. kemudian tapis.

panaskan kuali non-stick dengan api yang kuat, agak2 dah panas tu kecik kan api ( jangan kecik sangat nanti tak jadi pulak)

tuang 2 senduk adunan yang dah agak cair tu dan oleng-olengkan kuali ( jangan di ratakan dengan senduk nanti melekat donq..). jika ada lebihan adunan dalam kuali tu sila masukkan balik dalam bekas asal. supaya lempeng tak tebal karang makan cepat muak.

kena rajin tengok-tengok lempeng tu, kalau dah agak kering tu boleh la diangkat. kalau non-stick tu kan dia tanggal sendiri cuma kena bantu lekangkan tepi-tepi dia tu. 

melempeng ni kena sabarrrr...kalau tak nanti rupa crepe tu tak cantik, serupa muka orang kena tumbuk-lebam sana sini. kikihkih..

dah siap tu bolehlah letakkan whipping cream
letakkan isi durian diatasnya
letakkan whipping cream lagi diatas durian tu
kemudian lipat macam nak lipat sampul surat atau terpulang cara bagaimana kehendak anda nak lipatnya, janji lipat la.

selamat mencuba, tak cuba rugiiiiiiiiiiiiii terutama kepada yang suka gilerrr durian dan ramai isi rumah. beli 5 ketul pasti tak cukup kan?? ahaks..





Monday, 19 November 2012

HIDUP PENUH RANJAU : Bahagian 12


Pagi-pagi lagi, kereta Roslan sudah tersadai di pintu pagar rumah Sarah. Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata kerana yang entah dia sendiri tidak mengerti. Perilaku dirinya mendapat perhatian daripada Hamizah yang selalu mencuri pandang akan kegelisahan yang melanda pemuda itu. Roslan menanti penuh sabar kemunculan Sarah. Dia cepat-cepat membetulkan kemeja dan tali leher biru lembut miliknya ketika kelibat Sarah muncul dari balik pintu. Roslan segera keluar membukakan pintu untuk Sarah.

Sarah cuba mengelak, hatinya tak senang melihat pemuda itu asyik mengekorinya. Dia tak mahu hubungan baiknya dengan Hamizah terjejas jika dia menjalin apa-apa ikatan dengan Roslan. Hubungan sebaik itu tidak harus dipersiakan hanya kerana satu janji yang tidak akan membawanya ke mana-mana. Sebelum apa-apa, lebih baik dia jauhkan diri.

Roslan segera keluar dari perut keretanya. Meluru ke arah Sarah yang tergesa-gesa melarikan diri ke pondok menunggu bas.

“Sarah! Tunggulah…kenapa kau nak lari dari aku? Sampai bila kau nak lari..berilah aku peluang.” Kata Roslan sambil memaut lengan Sarah dengan erat.

“Lepaskan saya Roslan…saya minta maaf sebab tak dapat memberikan awak ruang dalam hati saya..saya tak mahu awak ganggu saya macam ni lagi, tolonglah..” rayu Sarah perlahan. Beberapa orang yang lalu lalang di jalanan memerhatikan gelagat mereka kehairanan. Roslan melepaskan lengan Sarah bila didapati gadis itu menyeringai kesakitan.

“Maafkan saya..tak sepatutnya saya bersikap kasar dengan awak tadi, tapi izinkan saya menjadi sahabat awak…sekurang-kurangnya sahabat, please.”

Sarah merenung mata Roslan dalam-dalam. Dia tidak melihat apa-apa di dalammnya, Sarah ingin berlalu tetapi Roslan menahannya. Dia kaku disitu.

“Selagi awak tidak berikan jawapan ya, selagi itulah saya tak akan lepaskan awak.”

“Awak sedang mengugut saya en. Roslan..”

“Sarah, kalaulah awak memahami perasaan saya. Baiklah…tapi sekurang-kurangnya saya akan menghantar awak ke pejabat dengan kereta buruk saya tu, atau awak masih curigakan saya?”

Sarah diam sejenak dan kemudiannya melangkah pergi mendahului Roslan ke keretanya. Malas nak bertekak dengan lelaki itu. Dia harus segera ke pejabat. Jika terlewat pasti kak Hamizah risau. Sepanjang perjalanan ke pejabat, Sarah hanya membisu. Tiada patah-patah ayat yang keluar dari mulutnya hatta jika disoal oleh Roslan. Akhirnya Roslan membiarkan Sarah hanyut dalam dunianya sendiri. Kesudian gadis itu menumpang keretanya pagi ini saja sudah cukup memberikan harapan besar bahawa suatu hari nanti pintu hati Sarah akan terbuka untuk menerimanya. Begitulah doa Roslan di dalam hati.

“Apa kata kita minum pagi di warung depan pejabat Sarah?” ajak Roslan perlahan.

Sarah diam saja. Tidak langsung berdetik hatinya untuk menjawab pertanyaan orang disebelah. Berat mulutnya untuk melahirkan jawapan ya atau tidak.

“Saya akan sibuk sepanjang hari nanti, lagipun saya puasa hari ini..”

“Sorry, puasa ganti ya?……” Roslan cuba berseluroh tetapi Sarah menjelingnya dan dia tersipu-sipu malu.

“Baiklah…nampaknya saya terpaksa menunggu hari yang sesuai untuk ajak awak keluar minum, tengok wayang atau pergi ke pantai. Saya pandai petik gitar tau…”

“Tengoklah kalau Tuhan izinkan. Terima kasih En. Roslan sebab hantar saya depan pintu pejabat.”

“Saya tunggu awak balik petang nanti, jangan pergi mana-mana.”

Belum sempat Sarah bersuara, Roslan sengaja beredar cepat-cepat. Dia mahu menguji hati Sarah hari ini. Kekerasan hati gadis itu menarik naluri lelakinya untuk terus mencuba.

Sebenarnya tiada apa yang boleh membuatkan hati Sarah bergetar bila berdampingan dengan Roslan. Jiwanya masih sarat dengan penderitaan ditinggalkan Yusri. Menyebut nama lelaki itu sahaja di dalam hati bisa merobek-robek tangkai jantungnya. Terlalu banyak kenangan manis dan pahit bergelumang di sepanjang hidupnya di samping Yusri.

Sedang sibuk memproses borang-borang di mejanya, Hamizah menghampiri. Gembira dia melihat Sarah sudah kembali ceria biarpun tidak seperti dahulu.

“Sibuk?”

“Ohh..Puan Mizah. Taklah sibuk sangat, Cuma dah lama cuti, mestilah banyak benda nak kena selesaikan. Lagipun puan banyak tolong buatkan kerja Sarah.”

“Emm, tak mengapa, pembantu saya ramai, jadi apa salahnya tolong buatkan kerja Sarah sikit. Tak apa lah tu. Macamana Sarah hari ini? Dapat tidur malam tadi?”

“Alhamdulillah. Demam pun dah kebah.”

“Okeylah, saya pergi dulu, ada mesyuarat pagi ni.”


Sarah menghantar Hamizah berlalu ke bilik mesyuarat dengan ekor matanya. Kemudian dia pantas menyambung kembali tugas yang tergendala. Telefon dimejanya berbunyi lantang dan hampir-hampir membuatkan Sarah terjerit kecil. Malas benar dia mahu mengangkat ganggang hitam itu yang selalu benar meminta perhatian.

“Hello pejabat Syariah..”

“Assalamualaikum Sarah. Maaf sebab ganggu awak buat kerja, saya saja nak pastikan awak okey.”

Sarah terduduk lesu. Kenapa Roslan tidak serik-serik untuk mengodanya. Agak lama baru dia berani untuk menjawab.

“En. Roslan, saya sedang sibuk buat kerja.  Boleh lupakan saya sekejap hari ni?”

“Okey…dah dengar suara awak pun jadilah. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”


Roslan termenung di mejanya. Betapa sukar untuk mendekati seekor burung merpati yang beberapa hari dulu pernah singgah dan bermalam dirumah kakaknya. Seorang gadis yang pertama kali membuatkan jiwa kelakiannya bergetar. Bagaimana kiranya dia hendak mendekati dan mengenali hati Sarah…lalu dia teringatkan Hamizah kakak tunggalnya, mungkin kakak boleh menolong..

Tengahari itu juga, Roslan segera menghubungi kakaknya di pejabat.

Kakak bukan Tuhan, Lan. Pandai-pandai engkaulah nak pikat dia. Kakak tak mahu memaksa Sarah, dia bukan seperti perempuan lain yang pernah kau jumpa.”

“Tapi hati Lan betul-betul nak kenal dengan dia kak. Tak kan kakak tak boleh tolong adik kakak sorang ni? Bukan ke kakak sepejabat dengan Sarah?”

“Sepejabat tak semestinya kakak kena tolong Lan. Kakak pun risau tengok budak tu. Lain benar dia sekarang ni, dulu Sarah periang. Ada saja guraunya.”

“ Lan mesti tolong dia, kak. Macamana susah pun, Lan janji akan tolong Sarah selesaikan masalah hidupnya.”

“Moga kau berjaya dik.”


Sementara itu Sarah masih tekun membuat kerja-kerjanya. Dia menarik laci dan mengeluarkan sebuah buku catatan harian. Tiba-tiba sekeping gambar terjatuh ke lantai. Ya, gambar dia dan Yusri. Sarah tak jadi menyambung tugas dan meneliti gambar itu agak lama.

Yus, entah apa yang berlaku hari ini kepada engkau. Masih ingatkah kau kepadaku atau mungkin sedang sibuk mengatur acara di majlis gemilang itu nanti? Tentu Mak Bedah sedang sibuk mengarah kaum kerabatnya untuk membuat persiapan terakhir, aku tumpang senang jika memang benar kau yang memilih jalan itu. Kau berhak melentur sendiri kebahagiaan masa depan, apalah aku ini..aku tak punya apa-apa…

                                 ……………………………………………………

“Hei Sarah..kenapa kau banyak termenung bila balik kali ni?Apa sudah jadi?”

“Emm..iye ke? Mungkin aku banyak kerja, fikiran aku serabut.”

“Kau masih belum ada keinginan untuk bekerja di bandar kita?”

“Belum. Lagipun aku masih banyak perkara hendak belajar. Kalau aku mohon bertukar sedangkan aku masih banyak tak tahu, tentu aku susah nanti. Pertukaran tak semudah yang kau sangkakan..ianya makan masa juga.”
“Habis…aku kena berjauhan dari kau selalu. Aku sunyi di sini..kau tak kesian tengok aku Sarah?”
“Nak buat maacamana?”
“Kalau kita dah bernikah nanti?”
“Aku cuba…”
Yusri mengusap kepala Sarah dengan senang hati. Jiwanya amat tenteram mendengar pengakuan gadis yang amat dicintainya itu. Kedua mereka terus pulang ke rumah. Ada perkara mustahak yang mesti dijelaskan kepada kedua belah keluarga.
“Mak cik tak melarang kehendak kamu, tapi mesti dengan persetujuan emak kamu dulu. Yusri anak yang baik kan?”
“Baiklah mak cik. Nanti saya beritahu emak, saya balik dulu. Sarah, esok aku jemput kau pukul 10 pagi, kau siaplah.”
“Emm…”
...................................................
Mengapa bayangan kau saja menghantui hidup aku Yus? Mengapa aku tak boleh melewati setiap kenangan itu dengan aman…perlukah aku berlari jauh-jauh ke hujung dunia untuk tidak mendengar kisah cinta kita? Apa yang harus aku lakukan Yus?

                                                  ……………………………….

“Emak tak setuju budak miskin tu jadi menantu dalam rumah ini!!”
“Mak!..”
“Kau jangan nak melawan. Ini kerja orang tua. Tahulah dengan siapa aku nak nikahkan kau, yang engkau pandai-pandai sendiri ni kenapa? Dah tak ada emak lagi dalam hidup kau sekarang?” bentak Mak Bedah keras. Sakit benar hatinya diperlakukan demikian oleh anaknya sendiri-anak kesayangannya.

“Kenapa mak cakap macam tu?”
“Sebab aku tak suka si Sarah tu jadi menantu aku, jadi isteri kau.”
“Kan mak tahu selama ni saya kawan dengan dia? Dah dekat 22 tahun mak…kenapa mak tak faham…” kendur saja suara Yusri meski di dalam hatinya penuh rasa membara.
“Emak dah ada calon untuk kau” beritahu wanita itu , dengan lengok suaranya yang perlahan cuba dikawal.
“Saya tak mahu sesiapapun selain Sarah..”
“Itu keputusan mak, budak Sarah tu dah jauh dari kau, banyak cerita tak sedap yang mak dengar dari mulut orang, budak Sarah tu dah rosak!”
“Emak!….sampai hati mak cakap macam tu, dia bukan macam yang mak sangka.” Yusri memeggang lengan emaknya minta pengertian. genggamannya agak pejap hingga Mak Bedah meleraikan dengan sebelah tangannya yang lain.
“Ah!..kau mana nak percaya cakap aku. Mak sendiri tengok budak tu dah lain macam aja. Muka pucat tak ada seri, macam tu ada hati nak jadi menantu aku?” ujarnya lagi dengan muka yang kelat dan benci. Yusri tertunduk memandang lantai. kedua tangannya ditekup ke telinga seperti tidak mahu mendengar kalimat itu keluar dari mulut emaknya sendiri.

“Sampai hati mak hina kawan saya, bukan ke Sarah dah mak anggap seperti anak mak sendiri, mak dah kenal dia sejak lahir, tak mungkin Sarah sanggup buat semua tu..”
“Mak dah kata kau tentu tak akan percaya cakap mak. Ni..telinga ni dah naik tebal dengar orang kata Sarah selalu kehulu kehilir dengan ramai jantan. Naik motorlah, naik keretalah…ada saja orang yang ambik dia depan rumah sewanya tu tiap-tiap malam, kalau tak menjual, buat apa lagi?!”
“Sudah mak! Saya tak percaya…emak bohong! Emak bohong!!” jerit Yusri lalu meluru keluar. Dia masuk ke keretanya dan memecut laju entah kemana.

………………………..

Sarah masih ingat, sewaktu dia sedang sibuk memasak sarapan di dapur, Mak Bedah melenggang kasar menghala ke halaman rumahnya. Dia membawa sepunjut kain yang entah berisi apa. Sarah memerhatikan dari tingkap dapur. Cepat-cepat dia mengangkat cucur kodok dari kuali dan menutup api dapur gas. Sarah meluru ke depan pintu. Mak ciknya juga bergegas menemui Mak Bedah yang kelihatan sedang menyinga. Apa halnya pula kali ini..
“Hei Siti! Kau tu dahlah miskin, ada hati nak jodohkan keturunan kau dengan anak aku. Aku tak sudi kau tahu! Suruh  budak Sarah kutip balik barang-barang yang dia beri dan ajar dia jangan ganggu anak aku lagi.”
“Bedah…kau nak pisahkan mereka Bedah.…sampai hati kau..”
“Siti…aku dah pilih anak dara yang baik untuk jadi menantu pilihan aku. Bukan macam Sarah anak saudara kau tu…dah di tebuk tupai! Aku tak mahu keturunan jahat dalam keturunan aku..” dengan angkuh Mak bedah berkata sebelum beredar meninggalkan Mak Siti yang masih termangu-mangu.
Agak lama kemudian, barulah Mak Siti menarik nafas yang sangat panjang lalu melepaskannya bak orang yang benar-benar kelelahan.
Mak Siti terjelepok. Hitam rasanya pandangan mata mendengar cacian Mak Bedah. Sarah pengsan mendengar kata-kata Mak Bedah. Sedar-sedar, didapatinya Mak Siti masih lagi mengongoi menangisi nasib mereka anak beranak. Kakak sepupu, suaminya dan anak-anak sudah berkumpul di rumah. Barang-barang pemberian Sarah kepada Yusri diletakkan baik-baik disisi Sarah.
Sarah…apalah nasib kita nak…kenapa kau buat macam tu nak…” tanya mak Siti dalam sedu-sedan yang masih berbaki. Bahu orang tua itu terhengut-hengut menahan sebak.

Sarah hanya berdiam diri. Jiwanya sudah kosong tak berisi. Apa yang diperkatakan oleh orang tua itu sedikitpun tidak didengarinya.
“Baik kau keluar dari sini sebelum lebih banyak malu yang aku terima dan jangan balik-balik lagi, kau bukan keturunan aku Sarah.” Ujar Mak Siti lalu bangkit dan pergi ke biliknya.
Gadis malang itu menangis. Mengapa dia harus terima semua kehampaan ini. Ujian dari Allah kali ini benar menguji keimannya sebagai hamba. Mengingat semua itu, Sarah mengumpulkan segala sisa kekuatan dalam jiwanya. Biarlah selepas ini tiada lagi bencana yang akan mengaibkan dia seluruh keluarga.
“Baiklah mak cik… jika itu kehendak mak cik, Sarah akan keluar dari rumah mak cik buat selama-lamanya. Halalkanlah makan dan minum Sarah selama duduk di rumah mak cik. Sarah tetap sayangkan mak cik dan keluarga ini. Dari hujung rambut sampai hujung kaki, Sarah minta ampun.” Sarah tersedan. Dia tunduk seketika dan memandang kakak sepupunya. “Kak…”
“Jangan ambil hati dengan cakap-cakap emak dik…emak masih terkejut dengan tuduhan dari Mak Bedah. Kau nak ke mana?….rumah ini rumah kau juga. Kakak tak mahu kehilangan kau Sarah…”
“Sarah akan pulang ke rumah ini jika mak cik yang menyuruh, Sarah akan tunggu pintu hati mak cik terbuka untuk terima Sarah macam dulu.”
“Jangan bawa hati kau pergi jauh-jauh dik, baliklah macam selalu. Kakak tunggu kau balik bulan depan.”
Sarah hanya diam. Dia mengemas beg pakaiannya dan segera menyarung pakaian. Tak seharusnya lagi dia menunggu kedatangan Yusri, mungkin berita itu telah meracuni fikirannya, dia tak mahu menanti lagi. Apa jua kenyataannya, biarlah hanya dia dan Allah yang mengetahui.
Sambil mengesat sisa airmatanya yang masih tak mahu berhenti mengalir, Sarah keluar dari rumah Mak Siti disaksikan oleh ahli keluarga. Berat rasanya untuk melangkah pergi, tetapi apakan daya, hidupnya sudah kosong saat ini. Sepanjang perjalanan menuju ke perhentian bas yang agak jauh, Sarah memasang nekad untuk tidak akan kembali ke kampung tanpa di redahi oleh mak ciknya.

Dipertengahan jalan, Sarah terserempak dengan Yusri, tidak berapa jauh dari simpang jalan kecil. Yusri keluar dari perut kereta, dan menarik tangan Sarah serta memaksanya untuk masuk ke kereta.
“Jangan paksa aku Yus!”
“Aku minta maaf diatas semua kesilapan yang berlaku hari ini..kau tak sepatutnya dihukum”
Sarah tersandar ke kerusi. Tidak tahu apa lagi harus diperkatakan, tiada apa lagi yang perlu dijelaskan .
“Jika begitu, aku minta diri dulu…maafkan aku jika melukakan hati kau.”
“ Aku hantar kau ke pekan.”
“Tak payahlah Yus…aku boleh tunggu bas di depan tu, bukannya jauh sangat.”
“Sekurang-kurangnya aku menjalankan tugas sebagai seorang sahabat, kalau kau masih mengingatiku sebagai sahabat lagi.”

Sarah menurut. Mungkin dia juga tak akan dapat peluang bertemu Yusri lagi selepas ini. Hibanya semakin bertambah namun sedaya upaya cuba ditahankannya jauh-jauh di lubuk jiwa. Sesekali Yusri memandangnya, Sarah perasan itu semua. Kebarangkalian juga dia sedang dipersenda oleh keadaan yang begitu cemburukan hubungan baik antara dia dan Yusri selama ini.
“Kau mempunyai lelaki lain selain aku Sarah?..”
Muka Sarah panas tiba-tiba. beg tangan yang sedang digenggam terlepas dan melurut ke bawah. cepat-cepat diambil dan dikepit ke celah ketiak. kemas. Yusri bagai mencurahkan garam pada luka hatinya yang belum sembuh. Dia tidak menjawab pertanyaan lelaki itu, membuatkan Yusri melepaskan dengusan tajam menyindir. Sebaik sahaja sampai di pekan, Sarah memberanikan diri memandang raut wajah Yusri dalam-dalam. Yusri membalasnya endah tak endah.
“Yus…kiranya selepas aku pergi hari ini, jika kau menemui calon yang sesuai sebagai pasangan hidupmu, aku ucapkan Selamat Pengantin Baru. Semoga kau berbahagia.”
Yusri melemparkan pandangan ke arah lain. Sarah mencapai beg pakaiannya dan keluar. Sekejapan itu juga, Yusri melarikan keretanya laju dan hilang di telan selekoh pekan.
Tuhan…tabahkanlah hati aku. Usah biarkan airmataku kering hari ini kerana aku perlu menangis untuk esok hari.


~bersambung.

Sunday, 18 November 2012

TENSIONKAH AKU?

Dalam hati terlalu banyak bicara, kadang-kadang boleh membuatkan diriku tertawa dan banyak pula kadang kalanya yang bagai mahu merobek-robek seluruh jiwa.

aku minta maaf pada suami pagi tadi, kerana terkasar bahasa pada malam tadi. mungkin kerana aku kurang sihat, atau mungkin kurang perhatian, atau mungkin kebosanan atau pun mungkin memang jenis tak makan saman.

aku pun tak mahu jadi derhaka, jauh sekali mahu menjadi batu api dan menghasut-hasut sang suami supaya membenci tetapi aku sedar yang aku ini memang kaki tak sabar dan sangat panas baran, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana memberiku seorang lelaki yang sangat budiman. bila sedar tu, insaflah sikit tapi bila syaiton berlegar-legar depan pintu hati mulalah gendang amarah asyik nak bergendang.

kami hidup biasa-biasa saja, aman dan bahagia tapi bila ada campur tangan pihak ketiga, tu yang rasa asyik nak mengamuk dalam hati. dalam hati je tau...sebab tak mahu derhaka. tapi pelik pulak, tak bergaduh dengan sesiapa, tak bercakaran dan bertumbuk-tumbuk an namun tetap kelelahan. aku jadi penat sendiri dan mulalah jantung berdegup kencang serta fikiran melayang-layang tak mahu lelap. tension la tu aganya ye...

mujur rumah jauh dari pejabat, kalau tak dah tentu tidur baring sepanjang minggu dalam pejabat. rasa aman dan tenteram.

abang, semoga kamu mengerti pengorbanan aku seorang isteri..disaat keluargamu yang lain bagai mahu menafikan hak mak sebagai mak yang perlu dilayan, aku tampil menghulurkan bahu. tapi jika hak aku pula dipertikaikan, terpulanglah kepada kamu menafsirkan isterimu ini beban atau tidak.

selagi aku bernafas, disitulah dia ada selama mana yang dia mahukan, cuma pesanlah kepadanya agar menghargai aku yang tidak sepertinya ini. aku juga perlukan perhatian kamu..

Thursday, 1 November 2012

HIDUP PENUH RANJAU: Bahagian 11



“Hei! Sarah…kau tengok tu, ombak agak kuat malam ni.”

“Iyelah…agaknya kat bahagian sana hujan kot? Langit pun dah mendung kat sini.”

“Kau nak makan jagung bakar tak? Tunggu kejap ye, aku beli.” Ucap Yusri seraya bergegas berlari ke arah penjual jagung bakar di hujung Tanjung Emas, tidak berapa jauh dari tempat mereka melabuhkan punggung. Sarah hanya mampu tergelak kerana begitulah sikap sebenar Yusri, selalu bertanya tetapi setiap kali itulah akan menjawab bagi pihaknya.

Selang beberapa ketika, Yusri kembali dengan membawa dua tongkol jagung bakar dan sebungkus air tebu kegemarannya. Dia mengambil tempat di sisi Sarah.

“Engkau cuti lama tak kali ni?”

“Aku cuma ambil cuti hujung minggu saja, esok aku baliklah. Aku balik pun sebab nak tengok mak cik.”

`“Tak termasuk aku?”

“Samalah tu…kau kena kerja keras sekarang. Bayar ansuran kereta lagi, sara diri kau lagi, nak simpan duit lagi…ha, dah banyak simpanan kau?”

“Kan aku dah keluarkan semua untuk bayar muka kereta ni…yang karat-karat tu adalah..”

“Sebab itu aku suruh kau berhenti merokok, kurang sikit belanja beli rokok dan kesihatan kaupun terjamin nanti.”

“Terima kasih sebab kau sayang pada aku.”

“Salah tu…prihatin.”

Yusri mengalihkan kedudukan. Dia duduk bersetentang dengan Sarah. Memerhatkan raut wajah Sarah dalam-dalam. Kerinduan dalam hatinya seakan berapi-api ketika itu. Sarah jadi malu yang teramat. Yusri menanggalkan jaket kulit warna hitam dari tubuh dan menyelimuti diri Sarah yang kelihatan kesejukan. Dingin malam di tepi laut sebegini memang menggamit suasana romantis.

“Sarah…sudikah kau jadi isteriku?”

Muka Sarah berubah jadi panas. Rasa malu, rasa gembira dan segala rasa bercampur-baur menghuni kotak fikirannya tika ini.Tanpa sebarang jawapan, tanpa memandang Yusri yang sedang tekun merenungnya, dia hanya mampu memberikan titisan airmata.

“Jawablah Sarah…kau terima tak hasrat hati aku ni?”

“Aku tak mampu menjawabnya, aku tak ada jawapan itu Yus.”

“Kau tak pernah menyayangi aku Sarah?”

“Lebih dari apa yang kau sangka Yus. Tapi aku tak sepadan dengan kau dan keluarga kau, kau mesti sedar semua itu kan?”

“Aku tak pernah memandang kau dari segi itu Sarah. Aku ikhlas menyayangi kau, sejak dari kita kecil. Aku tak sanggup kehilangan kau Sarah…”

“Apalah yang mampu aku beri kepada hidup kau. Aku seorang yang miskin Yus, kau tahu sejak dari kecil, keluargaku banyak bergantung kepada keluarga kau. Duit yuran sekolah akupun, bapak kau yang selalu beri. Kau dah lupa?”

“Semua itu tak pernah buatkan aku jadi seorang ceti yang memaksa kau membayar balik segala hutang dan bunga. Keluarga kami tak pernah mengungkit perkara tersebut Sarah….atau kau saja yang jadikan ianya sebagai satu alasan kosong.”

“Kau tak akan faham apa yang ada dalam hati aku ni Yus.”

“Selama ini, aku masih belum mengenali Sarah alias Sarawanija binti Abd. Mahad?”

“Kau tak memahami kesukaran hidup kami Yus…aku jadi segan kepada keluarga kau, aku tak mahu dikata apa-apa.”

“Nasi yang aku selalu makan di rumah orang tua kau lebih banyak dari budi yang kami pernah taburkan demi persekolahan kau Sarah. Aku dewasa dengan berkat suapan yang dia beri melebihi suapan tangan emak aku sendiri…”

“Benarkah kau bukan menjadikan kesemua itu sebagai timbangan saksama hutang antara kita?”

“Aku akan buktikan kepada keluarga kita nanti. Marilah kita balik, malam ini juga aku nak beritahu Mak Siti…”



……………………………………………


Hutang kita dah langsai…dan kau telah menjadikan aku terlalu miskin tanpa apa-apapun jua. Aku sudah menunaikan janji kita, aku sudah melakukan kehendakmu suatu ketika dahulu dan…apakah dengan kesemua pengorbanan itu, di tempat ini aku berdiri sendiri Yus? mengapa sanggup kau tumpahkan airmataku untuk sepanjang musim hidup yang kering dan gersang ini. Apakah aku tidak layak merasai kenikmatan hidup anugerah Illahi bersama-samamu seperti dahulu?aku dapat merasakan kepahitan hidup sedang menjalar memakan segenap urat nadi. Jiwa wanitaku telah hancur seperti tiada ingin kembali. Mak…abah…jemputlah aku pergi bersamamu.

~bersambung.

HIDUP PENUH RANJAU : TANPA TEPIAN

Maafkan aku untuk kesekian kalinya, terpaksa menitiskan airmata semahunya kerana terkesan dengan impian serta harapan yang tak kesudahan....