“Hei! Sarah…kau tengok tu, ombak agak
kuat malam ni.”
“Iyelah…agaknya kat bahagian sana hujan
kot? Langit pun dah mendung kat sini.”
“Kau nak makan jagung bakar tak? Tunggu
kejap ye, aku beli.” Ucap Yusri seraya bergegas
berlari ke arah penjual jagung bakar di hujung Tanjung Emas, tidak berapa jauh
dari tempat mereka melabuhkan punggung. Sarah hanya mampu tergelak kerana
begitulah sikap sebenar Yusri, selalu bertanya tetapi setiap kali itulah akan
menjawab bagi pihaknya.
Selang beberapa ketika, Yusri kembali
dengan membawa dua tongkol jagung bakar dan sebungkus air tebu kegemarannya.
Dia mengambil tempat di sisi Sarah.
“Engkau cuti lama tak kali ni?”
“Aku cuma ambil cuti hujung minggu
saja, esok aku baliklah. Aku balik pun sebab nak tengok mak cik.”
`“Tak termasuk aku?”
“Samalah tu…kau kena kerja keras
sekarang. Bayar ansuran kereta lagi, sara diri kau lagi, nak simpan duit
lagi…ha, dah banyak simpanan kau?”
“Kan aku dah keluarkan semua untuk
bayar muka kereta ni…yang karat-karat tu adalah..”
“Sebab itu aku suruh kau berhenti
merokok, kurang sikit belanja beli rokok dan kesihatan kaupun terjamin nanti.”
“Terima kasih sebab kau sayang pada
aku.”
“Salah tu…prihatin.”
Yusri mengalihkan kedudukan. Dia duduk
bersetentang dengan Sarah. Memerhatkan raut wajah Sarah dalam-dalam. Kerinduan
dalam hatinya seakan berapi-api ketika itu. Sarah jadi malu yang teramat. Yusri
menanggalkan jaket kulit warna hitam dari tubuh dan menyelimuti diri Sarah yang
kelihatan kesejukan. Dingin malam di tepi laut sebegini memang menggamit
suasana romantis.
“Sarah…sudikah kau jadi isteriku?”
Muka Sarah berubah jadi panas. Rasa malu,
rasa gembira dan segala rasa bercampur-baur menghuni kotak fikirannya tika
ini.Tanpa sebarang jawapan, tanpa memandang Yusri yang sedang tekun
merenungnya, dia hanya mampu memberikan titisan airmata.
“Jawablah Sarah…kau terima tak hasrat
hati aku ni?”
“Aku tak mampu menjawabnya, aku tak ada
jawapan itu Yus.”
“Kau tak pernah menyayangi aku Sarah?”
“Lebih dari apa yang kau sangka Yus.
Tapi aku tak sepadan dengan kau dan keluarga kau, kau mesti sedar semua itu
kan?”
“Aku tak pernah memandang kau dari segi
itu Sarah. Aku ikhlas menyayangi kau, sejak dari kita kecil. Aku tak sanggup
kehilangan kau Sarah…”
“Apalah yang mampu aku beri kepada
hidup kau. Aku seorang yang miskin Yus, kau tahu sejak dari kecil, keluargaku
banyak bergantung kepada keluarga kau. Duit yuran sekolah akupun, bapak kau
yang selalu beri. Kau dah lupa?”
“Semua itu tak pernah buatkan aku jadi
seorang ceti yang memaksa kau membayar balik segala hutang dan bunga. Keluarga
kami tak pernah mengungkit perkara tersebut Sarah….atau kau saja yang jadikan
ianya sebagai satu alasan kosong.”
“Kau tak akan faham apa yang ada dalam
hati aku ni Yus.”
“Selama ini, aku masih belum mengenali
Sarah alias Sarawanija binti Abd. Mahad?”
“Kau tak memahami kesukaran hidup kami
Yus…aku jadi segan kepada keluarga kau, aku tak mahu dikata apa-apa.”
“Nasi yang aku selalu makan di rumah
orang tua kau lebih banyak dari budi yang kami pernah taburkan demi
persekolahan kau Sarah. Aku dewasa dengan berkat suapan yang dia beri melebihi suapan tangan emak aku sendiri…”
“Benarkah kau bukan menjadikan kesemua
itu sebagai timbangan saksama hutang antara kita?”
“Aku akan buktikan kepada keluarga kita
nanti. Marilah kita balik, malam ini juga aku nak beritahu Mak Siti…”
……………………………………………
Hutang kita dah langsai…dan kau telah
menjadikan aku terlalu miskin tanpa apa-apapun jua. Aku sudah menunaikan janji
kita, aku sudah melakukan kehendakmu suatu ketika dahulu dan…apakah dengan
kesemua pengorbanan itu, di tempat ini aku berdiri sendiri Yus? mengapa sanggup
kau tumpahkan airmataku untuk sepanjang musim hidup yang kering dan gersang
ini. Apakah aku tidak layak merasai kenikmatan hidup anugerah Illahi
bersama-samamu seperti dahulu?aku dapat merasakan kepahitan hidup sedang
menjalar memakan segenap urat nadi. Jiwa wanitaku telah hancur seperti tiada
ingin kembali. Mak…abah…jemputlah aku pergi bersamamu.
~bersambung.
No comments:
Post a Comment