Tuesday, 4 September 2012

HAPPY BIRTHDAY TO YOU!!





salam semua, 

pejam celik pejam celik rupanya budak lelaki kecil yang nakal berlari-lari dengan botol susu besarnya itu dah pun berusia 13 tahun...tarikh lahirnya ialah pada 07.09.12 jumaat ini dan ayahnya dah suruh aku tempahkan sebiji kek karamel kegemaran dia dengan kawanku. harap-harap kek tersebut selamat tiba di hulu langat dari putrajaya.

pelbagai kisah suka dan duka aku alami selama membesarkan dia, dari selalu tidur di lenganku hingga mengelamun sendirian di biliknya, aku merasakan bagai tak mahu dia membesar sebagai remaja. aku masih mahu merangkulnya dan menciumnya walau selalu juga kucubit dan lepik peha gebunya kerana nakal dan hyperaktif. bukan senang nak jadi seorang ibu, banyak perkara perlu dikorbankan demi kepentingan anak. tapi aku tak pernah menyesal dan selalu berharap untuk memberi yang terbaik kepadanya. aku tahu aku bukan seorang ibu yang sempurna atau lebih tepat lagi POPULAR. mungkin aku harus menukar rentak didikan dan kebimbangan bila dia menginjak usia begini. aku takut dia akan keluar dari rumah dan tidak meghiraukan nasihat kami lagi. anak-anak di zaman ini berbeza dengan kami di zaman dahulu.

dia berbeza dari anak-anak yang lain, cepat sangat terasa dan merajuk, cuma aku ini tidak mahu melayan sangat karenah manjanya secara berlebihan. kuajarnya melakukan tugasan rumah dan menitik beratkan tanggungjawab mendengar kata ayahnya. aku tak mahu dia kelak lupa diri dan tenggelam dalam arus dunia remajanya. biarlah sekarang ini dia merasakan aku banyak berleter tapi kelak suatu masa bila tiba saatnya dia hidup berdikari, dia akan mengetahui betapa berkesannya leteranku selama ini. ibarat main layang-layang,  harus pandai mengawal tali.

aku sayangkan dia, cuma aku tak tahu bagaimana hendak kuluahkan dengan kata-kata. remaja hari ini jika di nasihati itu ini, dianggap leteran, bebelan. kadang-kadang aku diamkan diri sepanjang hari atau beberapa hari dan yang kelakarnya dia tahu pulak aku merajuk atau marah lalu berjaga-jaga mengawal kelakuan agar 'yang terpendam tidak meletus bagaikan gunung berapi'. pernah dia bertanya ayahnya samada kami bergaduh kerana suasana di rumah sunyi sepi tanpa suaraku. hahahaha...bukan marah cuma malas hendak bercakap kadang-kadang.

selamat menyambut ulangtahun kelahiran yang ke 13 sayangku dan ibu sayangkan kamu dunia akhirat, demi Allah SWT yang memberi ibu nyawa serta sedikit kasih sayang. semoga kamu menjadi anak yang soleh dan diberkati di dunia dan akhirat serta bertanggungjawab terhadap ayah dan ibu di suatu masa kelak saat kami memerlukan kamu nak..







Monday, 3 September 2012

HIDUP PENUH RANJAU:10



‘Sarah…aku dah dapat kereta baru. Marilah balik kampung. Kau tak nak jalan-jalan dengan aku ke?” riuh suara Yusri di dalam telefon memberitahu khabar yang menggembirakan itu.
 “Nantilah…hujung bulan ni aku balik. Akupun tak sabar nak merasa naik kereta kau tu. Sabarlah…mak cik aku macamana Yus?”
 “Alhamdulillah…aku kau tak nak tanya ke?”
 “Kau tentu sihat kan?”
 “Kau silap, aku baru je baik demam. Mujur Tuhan panjangkan umur aku. Baliklah cepat, aku betul-betul tak sabar nak jumpa kau.”
 “Habis tu, kau dah betul-betul sihatlah ni?”
 “Alhamdulillah…jangan risaulah kat aku Sarah. Aku macam biasa saja, kau bukan tak tahu aku. Susah makan ubat. Mak aku ugut nak lari dari rumah baru aku makan ubat panadol tu.”

Sarah dan Yusri berdekah-dekah ketawa. Sesekali Sarah mendengar leter emak Yusri kerana asyik bergaut lama di telefon. Sarah jadi terkesima. Bimbang dikata menyusahkan duit saku Yusri.

“Dahlah Yusri, esok-esoklah aku telefon kau pulak. Nanti melambung bil telefon rumah kau tu. Akupun nak balik ni, dah pukul 9 malam, marah pulak kawan aku.”
 “Baiklah. Bila kau dah dapat tiket bas esok, kau telefon aku ye?”
 “Iyelah…”

Sarah meminta izin untuk pulang dari Kak Odah setelah mengucapkan terima kasih menggunakan telefon. Dia belum berapa berani untuk memasang telefon di rumah sewanya. Gajinya cukup-cukup untuk makan dan tambang bas saja. Biarlah dia sedikit malu, biarlah dia bersusah payah asalkan poketnya tidak kekeringan di tengah bulan.
  
Menjelang hujung bulan dan bila cuti Sabtu minggu pertama, Sarah senyap-senyap pulang ke kampungnya. Sengaja mahu memeranjatkan Yusri. Hatinya cukup berbunga riang bila mengingatkan wajah terkejut pemuda sahabatnya itu. Tentu Yusri merajuk dan marah-marah. Sarah ambil keputusan untuk pulang pada pagi hari Sabtu. Dia menjangka-jangka akan tiba jam sebelas pagi.

Mak Siti terkejut kepulangan Sarah kali ini bersendirian tanpa dijemput oleh Yusri. Wanita lebih separuh abad itu mula tertanya-tanya kenapa dan mengapa. Bermusuhankah dua sahabat itu?

“Tak ada apa-apalah mak cik. Saja nak bagi Yus terkejut. Dia tak kerja hari ini kan? Tentu tengah tidur lagi tu…Sarah nak pergi rumah dialah mak cik.”
 “Baik-baik kat rumah orang tu. Hemm…tak sempat-sempat nak minum. Perangai kau orang ni sama aje dari dulu.”

Sarah cuma tersengih lalu mencapai basikal buruk di tepi tangga. Perlahan-lahan dikayuhnya ke rumah Yusri yang tidak berapa jauh itu. Dari jauh dia sudah melaungkan salam membuatkan Mak Bedah terperanjat sehingga terlepas kain batik basah yang mahu dijemurnya.
 “Buat Mak bedah sakit jantung saja kau ni Sarah. Hah! Bila baliknya?”

“Baru je Mak Bedah. Belum masuk rumah pun.” Ujar Sarah setelah menyalami penuh hormat tangan orang tua itu.

Sarah perasan perubahan sikap Mak Bedah kepadanya sejak mereka bersalaman tadi. Mengapa Mak Bedah lekas-lekas menarik tangannya bila dia mahu menciumi seperti biasa? Ah…mungkin Mak Bedah malu agaknya tangan itu masih berbau getah keping biar sesudah mandi tadi. Persoalan itu tidak sedikitpun menyebabkan mood Sarah berubah. Dia tak perlu berpransangka buruk kepada Mak Bedah yang sudah seperti ibunya sendiri.

Yus mana Mak bedah. Keretanya ada ni..”

“Ada kat biliknya tu. Letih sangat, maklumlah sekarang ni kena kerja kuat nak menyara bini baru. Semalam dia ambil overtime sampai subuh. Tak payah ganggu dialah Sarah. Kau pergi balik dulu, mandi, makan nasi, berehat…karang petang barulah datang..”

Serta-merta darah panas meruap naik ke muka. Tak pernah Mak Bedah berkelakuan begitu. Kalau dulu, penat macamanapun, lewat macamanapun, dia tak pernah melarang Sarah dari megejutkan Yusri dari tidur. Mengenangkan kebenaran kata-kata Mak Bedah sebentar tadi, Sarah mencapai basikal buruk lalu meminta izin balik ke rumah saja.


Mak Siti dapat membaca riak suram di wajah anak saudaranya itu. Dia juga sebenarnya ingin memberitahu sesuatu, tapi kerongkongnya seperti dihalang  duri tajam dan berbisa. Sayangnya kepada Sarah tak ubah seperti sayangnya kepada aruah adik yang telah lama pergi. Sebolehnya dia tak mahu Sarah menangis di sepanjang hidup kerana tak dapat menggenggam sesuatu yang diidamkan.

Sehingga petang, Sarah masih teragak-agak mahu ke rumah Yusri. Keriuhan anak-anak sepupunya tidak juga dapat menghiburkan hati gadis itu.

Dia memanggil Kiah-akan sepupunya yang nombor tiga. Berlari-lari gadis sunti itu menuju ke arah Sarah.

“Ada apa cik Sarah?”

 “Boleh tak Kiah pergi rumah abang Yus, cakap kat dia, cik Sarah tunggu kat tepi sungai sekarang. Nanti Kiah datang samalah.”

 “Upah..” Kiah yang kecil juga tahu menadahkan tangan menanti habuan.

 “Buat kerja dulu, baru dapat upah. Cepat, cik nak pergi sungai ni.”

Sarah mengambil tempat digigi air. Melabuhkan punggung di batu-batu besar yang tersedia. Di hujung sana kelihatan beberapa orang kanak-kanak sedang leka bermain air.

Selang beberapa lama kemudian, kelibat Kiah muncul dari sebalik pokok besar di tepi jalan. Wajahnya kalut saja. Sarah tak dapat mengagak berita yang hendak disampaikan kepadanya.

“Macamana Kiah? Abang Yusri ada?”

 “Atuk Bedah tak kasi masuk rumah dia. Dia suruh Kiah balik, abang Yusri tengah mandi.”

Jawapan itu cukup menghampakan Sarah. Kenapa Mak Bedah melarang Kiah yang seperti cucunya itu dari masuk ke dalam rumahnya? Selama inipun kaki kotor Kiah adik-beradik itulah yang selalu menginjak tangga dan menyepahkan lantai rumahnya. Pelik juga dirasakan di dalam hati Sarah. Mungkinkah Mak Bedah sudah berubah semenjak Yusri membeli kereta?

Akhirnya Sarah pulang ke rumah dengan hati yang sebal. Fikirannya mulai berkecamuk antara sedih dan tertanya-tanya.

Mak Siti dapat melihat bayang-bayang duka pada riak wajah Sarah. Selama membesar dihadapan matanya, jarang Sarah berkeadaan begitu. Dihampiri Sarah yang sedang bermenung di tepi jendela. Dia memeluk kedua belah lututnya kemas.

“Kenapa menung aja ni? Dah makan nasi?”

“Ohh…tak ada selera mak cik. Yana dah balik dari kerja?”

“Sekejap lagi baliklah tu.”

“Kau tak jumpa Yusri tadi?”

“Dia letih, Sarah tak nak ganggu dia mak cik. Biarkanlah…bukan terus tak jumpa kan?”

“Apa kata Mak Bedah?”

Sarah memandang wajah Mak Siti sekilas. Serba salah hendak diberitahu tentang situasi begini kepada orang yang bukan sebaya. Jika dia adalah ibu kandungku, tidaklah aku terlalu malu untuk bercerita…

“Kiah kata…orang tua itu tak kasi dia masuk rumahnya, betul?”

“Kiah cakap bohong mak cik..”

“Cucu dan keturunan kita bukan orang yang suka berbohong nak. Aku tahu dan dah faham kenapa Bedah buat aku macam ni sekarang. Dia rasa dirinya dah jadi orang kaya sejak Yusri beli kereta. Maklumlah…bukan ramai orang kampung kita beli kereta, kalau adapun kereta buruk.”

“Mak cik…Sarah tak faham.”

PIN!PIN!!….bunyi kereta mengejutkan bicara kedua beranak itu. Sarah mengintai dari celah dinding yang agak renggang. Kereta kancil!!

“Assalamualaikum…mak cik!” laung suara Yusir girang dari anak tangga. Mak Siti membukakan pintu dan tersenyum melirik kepada anak muda yang telah banyak mewarnai hidupnya.

“Masuklah Yusri. Sarah ada kat dalam.”

“Dia dah balik?!”

“Tengahari tadi..” tanpa banyak soal, Yusri melompat terus dua anak tangga dan menemui Sarah yang sedang merenungnya dari pojok dinding.

“Hei…kenapa balik tak beritahu aku? Kau sengaja  nak buat aku terkejut eh?…”

“Maaflah. Aku ingat kau tak suka aku balik.”

“Apa yang kau merepek ni? Kau ada bawa hadiah untuk aku tak?”

“Lupa nak beli. Tengahari tadi aku…aku…aku baru sampai, jadi tak sempat nak pegi rumah engkau.”

“Jom aku bawa kau ke pekan. Mak cik nak ikut tak?”

‘Tak mahulah…lagipun sekejap lagi Yana balik kerja, kalau mak cik pergi, tentu dia seorang kat rumah . kau pergilah bawa Sarah.”

“Okey. Jom Sarah, cepat pakai tudung.”

“Aku letihlah.”

 Yusri tak jadi berdiri. Dia turut melabuhkan punggung disisi Sarah. Mak Siti berlalu ke dapur untuk memberi keselesaan kepada Sarah meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya sepanjang hari tadi.

“Aneh kau ni..kenapa tiba-tiba kau berubah? Kau dah jumpa ramai kawan yang standard dengan kau ye?”

Sarah memandang sepi wajah sahabatnya seorang itu. Kekalutan yang diterima sejak siang tadi masih menghantui minda jujurnya. Sandiwara apa yang sedang dilakon oleh kedua beranak ini?

“Kau masih rindukan aku Yus?”

“Masih tak percaya? Aku baru je baik demam. Hari tu ingatkan dah elok. Mungkin aku terlalu ingatkan kau..”

“Terima kasih Yus. Aku percayakan kau. Tapi entah kenapa tiba-tiba aku rasa kau begitu jauh dengan hidup aku.”

“Perasaan kau saja..marilah aku bawa kau  ke pekan, ?” pujuk Yusri lembut. Sarah tersenyum dengan kesabaran Yusri memujuknya. Dia terus masuk ke dalam bilik dan mengenakan tudung. Kain batik yang dipakainya diganti dengan seluar Khaki kelabu. beg kecil disisipkan ke poket seluarnya.

Sarah mencari kelibat Mak Siti di dapur. Orang tua itu sedang menjerang air untuk dibuat kopi kegemarannya. Nasi yang dipanaskan itu mengeluarkan aroma yang enak dan menyelerakan.

“Mak cik…Sarah nak keluar dengan Yusri.”

“Pergilah nak…hati-hati keluar tu. Pandai-pandailah jaga diri.”

“Sarah tahu mak cik.”

Selepas bersalaman dengan Mak Siti, Sarah membuntuti langkah Yusri turun dan terus menaiki kereta. Hanya selepas kereta melewati jalan besar di kampung itu, Sarah memberanikan diri membelek-belek hiasan kereta Yusri. Lelaki itu hanya tersenyum. Melirik memandang gadis pujaannya yang kelihatan ceria semula.

“Kau suka tak hiasan yang emak aku letakkan ni?”

“Apa-apa saja yang mak kau suka, aku pun suka juga. Mak kau memang pandai buat kraftangan macam bekas bunga telor ni. Cantik la.” Puji Sarah ikhlas.

‘Terima kasih Sarah.”

 Petang itu, dua merpati sejoli mesra bergurau dan senda ketawa menikmati juadah petang di warung abang janggut. Sarah menghirup kuah soto itu dengan laju seperti sudah bertahun-tahun tidak dijamahnya.

Yusri mengambil sehelai tisu dan dilapkan ke bibir Sarah. Kasih-sayangnya semakin mendalam terhadap gadis itu, Cuma masa sahaja yang akan menentukan samada dia berani atau tidak untuk pergi lebih jauh dari batas-batas persahabatan yang telah sekian lama terjalin.

“Bestlah hari ni. Aku happy sangat. Hilang sedih aku dah lama tak balik. Yus…dah dekat maghrib ni. Jom kita pergi masjid dulu. Lepas tu kau kena bawa aku ke Bandar..aku nak duduk di Tanjung Emas, tengok laut.”

“Marilah…”


~bersambung~



**kasihan Sarah...



KENDURI KAHWIN BOS

wajah kepenatan walau kenyang makan kenduri

bukan main hensem lg bos ni sengih. tahniah bos



01 September 2012, bos aku kahwin di Telok Panglima Garang, Selangor. Sebagai seorang kakitangan yang baik, aku sanggup ketepikan jemputan ke rumah kawan-kawan dan hadirkan diri ke majlis beliau. Gerak dari rumah jam 8.00 pagi dan tiba di rumah pengantin perempuan jam 10.30 pagi. Memanglah awal sebab kami risau sesat dan bertambah lewat. Memandangkan sampai awal, kami memutuskan untuk bershopping di sekitar pekan. naik turun pasaraya kecil disitu, hati tak berkenan pulak, jadi kehulu kehilir macam orang sengal ( sebab bukan pekan/bandar sendiri), abang memutuskan untuk tunggu dan park kereta di depan restoren mamak, bolehlah minum air untuk hilangkan dahaga. sampai saja di situ dengan hati yang bergelora untuk mendapatkan teh ais sempoi...tup tup kedai dah tutup. aisyehhhhh...cam tau je mamak ni kita nak ngeteh kat situ. sebelah kedai ada tapi pemiliknya India asli. langsung telan air liur aje la.

Bila jam dah menunjukkan angka 11.45 pagi, kami pun cepat-cepat turun dan bersalaman dengan mak cik di situ yang berkemungkinan saudara mara pengantin perempuan. perut tengah lapar dari tadi berdondang sayang, apalagi? capai pinggan dan taram lauk pauk. nasi ambil sedikit sahaja kerana nanti yang makan mesti abang juga. memang badanku besar sampai kakak yang nak bubuh nasi tu tertanya-tanya kalau aku nak tambah lagi beberapa senduk kerana tak percaya banyak itu je yang aku makan. aiyaaaa..malu sehh.

Sambil makan sambil tengok-tengok orang, dari jauh aku nampak bapa pengantin perempuan. memang tak kenal tapi dari gaya , air muka dan lengang lenggoknya, aku memang pasti 200% itu ayah kepada Diana-pengantin perempuan. bila nak balik, sempat lagi aku menyapa beliau dan berjenaka bahawa rupa parasnya tumpah ke Diana, gelak besar orang tua tu.

lebih kurang 30 minit aku menunggu bos sampai, buka pintu je aku terus minta izin nak ambik gambar tapi aisyehhh..bos kata kejap Lola, rupanya tali pinggang sampin bos terlucut. lama jugak nak ambik gambar. sampailah barisan kompang nak bermula, aku sempat lagi kata jap..jap..nak ambik gambar, selamba derk je la. bos marah aku nak balik cepat tp memandangkan orang sebelah dah muncung-muncung sampai boleh buat sangkut baju, aku pun ambil keputusan untuk balik. tak pe la bos, nanti tengok bini bos dalam facebook je.

nak masuk ke Hulu Langat pulak jem macam siput sedut tak cukup bulan. tersemput-semput . menyampah aku, tapi nak buat macamana, inilah hasil kejayaan Malaysia, itupun ramai rakyat Malaysia tak bersyukur. agaknya mereka nak sangat/meluap-luap nak rasa bagaimana diri dipijak bangsa asing dan berdiri di bawah kibaran bendera asing. itu jam kalau kita di langgar di tepi jalan macam kucing kurap dan langsung tak diperdulikan mati ke hidup ke...dah tak berguna dah. eh eh..apa hal lak aku melalut, malas la nak nak naikkan darah.

dalam kepala tengah berkira-kira nak buat puding bagaimana yang sedap dan senang untuk dibawa ke majlis hari raya bahagian khidmat pengurusan pada 07 September nanti. oh ya, hari itulah hari lahir anakku yang ke 13 tahun..ayahnya pesan minta aku tempahkan kek karamel dengan kawanku di putrajaya. yummy.


Sunday, 2 September 2012

Kasut Raya 2012



Inilah rupanya kasut aku. beli di Johor Bahru di pasaraya Giant's JB. sangat selesa dan harganya pun tidaklah terlalu mahal berbanding apa yang di pamer di Facebook. cuma RM65.00 dan aku beli 2 pasang. sepasang lagi ada dalam kereta, warna krim dan bertali 2 di depan. mak mertuaku dah bising dengan susunan kotak kasut yang semakin bertambah di atas almari kasut dirumahku. yang penting? aku rayaaaaaa...


Tuesday, 7 August 2012

KASUT OH KASUT

memang aku penggemar kasut, kalau boleh nak pakai yang tumit tinggi 6 inci. tapi bila pandang cermin, tubuh sebesar guni beras 1 tan ni macam berangan nak pakai high heel, karang tergelecek depan orang ramai kan dah susah, malu tu tak apa lagi tapi susahnya kalau bengkak, aku jugak yang merana. setiap kali balik JB, aku suka shopping di kedai kasut X-Lab Plaza Angsana. kat situ banyak saiz besar-besar macam size aku pakai. hehehehe..nak tau ke aku pakai saiz apa? ala.kecik je..size 12!.hahahaha, kan dah agak, korang mesti gelak.

dulu masa time budak-budak, puas la aruah mak belikan kasut time raya. tak mau style budak, nak style orang dewasa. sampai pening aruah mak nak belikan, amoi kedai tu apa lagi..letih dia dikerjakan aku. saiz begitu cuma ada untuk kaki dewasa sedangkan aku cuma 8 tahun! pusing 2-3 kedai, puas membongkar stor, barulah jumpa idaman hati, kasut bertali warna merah dan coklat. waktu itu aku tak lena tidur menunggu waktu subuh raya. di tempat aku biasanya ada marhaban pihak wanita dan lelaki. jam 8 pagi dah berkumpul kaum wanita dan anak-anak untuk berarak dari satu rumah ke rumah yang lain sampai petang. aktiviti berhenti rehat waktu zuhor dan bersambung lagi jam 2 petang sampai jam 5. aku rasa hanya di Johor sahaja yang masih ada akvitivi marhaban dari rumah ke rumah lelaki dan wanita ( group asing-asing ). padaku, hanya itu kemeriahan hari raya dan waktu untuk bergaya sakan. bila aku dah dewasa dan berkahwin, tiada lagi kesempatan untuk berbuat demikian kerana setiap kali hari raya tiba, kami pasti pulang ke Bandaraya Johor Bahru, dimana penduduk bandar itu punya cara tersendiri untuk meraikan hari raya. bosan juga tapi itu kehendak suami, aku hanya akur.

berbalik soal kasut idaman, aku paparkan di sini beberapa koleksi kasutku yang tiada berjenama kerana hanya inilah sahaja yang aku mampu, mengalas kaki untuk ke tempat kerja dan tak la nampak hodoh hanya berselipar buruk. kalau selipar jepun memang dah lama di haramkan oleh ketua jabatan. maka aku terpaksa menambah koleksi kasutku dan menyimpan beberapa pasang dalam kotak di bawah meja. gunanya untuk menghadap ketua jabatan atau menghadiri meeting, selebihnya, aku memakai sandal bertumit 1" ke hulu kehilir dalam pejabat.





amacam? banyak tak? bos aku cukup marah kalau kami selebet. dia mahu kami sentiasa kemas dan bergaya, bersolek ala kadar dan membawa keselesaan kepada tetamu. ini yang di pejabat..di rumah aku simpan dalam kotak asalnya dan susun atas almari kasut, biar banyak kotak tpi kemas. aku tak buang kotak-kotak kasutku kerana bila aku tak mahu pakai atau bawa balik kasut di atas, aku akan masukkan semula dalam kotak asalnya. suamiku pun tak marah kerana aku menyusunya kemas. setakat ini, aku dah miliki hampir 10 pasang kasut dari kedai yang sama. opss..dalam kereta juga ada 2 pasang!..kegunaannya bila pergi kenduri kahwin, aku akan tengok tempat khemah disediakan, jika tempat berturap dan bersih, barulah aku berani pakai high heel, tapi jika khemah pengantin didirikan atas tanah, memang sure aku pakai sandal. korang tahulah kenapa kan...terbenam high heel mak dalam tanah tu yang oii...

namun paling pasti, hari raya tahun ini, aku balik Jb pada 16hb ogos, so bila dah awal balik, aktiviti wajib adalah mengunjungi kedai tersebut yang pada mulanya diperkenalkan oleh adikku-fatin rasyidah yang kebetulannya berkaki big foot juga macam aku..hehhehe.

Sunday, 15 July 2012

Si manisku

 Ramadhan muncul kembali, tinggal lagi 4 hari bulan Syabaan mengundurkan diri. hati sememangnya menantikan kedatangan bulan ini kerana banyak perkara. yang utama adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dan mengumpulkan pahala sebanyak mungkin dan keduanya adalah berusaha mencari sedikit duit tambahan jika diizinkanNya. mudah-mudahan semakin banyak tempahan yang akan kami dapat pada tahun ini dan alhamdulillah, meski pasaran tidaklah sehebat rakan-rakan yang lain namun kami percaya, rezeki itu Allah SWT yang mengaturkannya. disamping menjual kami juga turut sama beramal dengan memberikan harga rendah dan memberikan komisyen hebat kepada para pengedar. biar sama-sama merasa kenikmatan rezeki yang Allah beri di bulan ramadhan Al-Mubarak ini. 







Monday, 18 June 2012

Hidup Penuh Ranjau: Bahagian 9




Hidangan petang di  kantin begitu menyelerakan. Sarah mengambil sebiji kuih karipap inti ayam dan sebiji kuih cucur badak. Dia memesan air limau suam. Matanya liar mencari tempat duduk yang kosong. Oh..ada sebuah meja di balik tiang batu itu.                                                                 
Sedang enak menikmati juadah, Sarah disapa mesra oleh seorang lelaki. Dia dongakkan kepala, ah…lelaki yang telah kulanggar tadi. Dia nampaknya ingin menyatakan sesuatu.
“Encik cari saya ke?”
“Err..boleh saya duduk di meja ni? Lagipun pemandangan dari sini nampak cantik..”
Tiada alasan untuk Sarah menolak kerana meja lain nampaknya sudah penuh.
“Silakan…” pelawa Sarah. Dia tak mahu ambil pusing dengan kehadiran lelaki yang tidak dikenali itu. Matanya dilemparkan jauh ke hujung jalan.
“Saya Roslan…” ujar lelaki itu memulakan bicara. Sarah menjeling sekilas lalu mengalihkan pandangan ke luar tingkap seperti tadi.

Roslan ikut memerhatikan pandangan ke luar tingkap. Nampaknya Sarah seperti tidak ingin dia ikut serta di situ. Kehadirannya bagai angin yang hanya di rasa dan tidak mampu dilihat. Namun hatinya cukup melonjak ingin mengenali gadis yang ditemuinya tadi, yang melanggarnya tanpa sengaja dan..apa yang lebih meriangkan juga, Hamizah-kakaknya beria-ia menyarankan agar pergi menemui Sarah.
“Saya nak balik….”
Sayang, Sarah sedikitpun tidak mendengar. Jiwanya terlalu kosong saat ini.
“Jumpa lagi Sarah…..nice meeting you.”
Sarah masih dalam dunia khayalannya. Bila jam digital di tangannya berbunyi tiga kali, barulah dia sedar yang dia telah menghabiskan masa selama 25 minit di kantin itu. Pemuda yang menumpang meja dihadapannya juga telah tiada. Sarah tak berniat untuk mencari apatah lagi berfikir.
Dia terus berlalu naik ke pejabat.mengapa jalan-jalan yang kulalui kini begitu tajam dan memenatkan. Aku letih, aku tak tahan lagi, aku tak berdaya…Tuhan……………… sekujur tubuh gadis itu tiba-tiba goyang dan rebah ke lantai.
“Sarah…Sarah…buka mata. Kenapa dengan kau ni?!” kejut Hamizah cemas. Sarah membuka matanya perlahan-lahan. Begitu terkejut dengan apa yang berlaku. Kelilingnya ramai orang, tubuhnya juga sudah berada di bilik kecemasan bangunan pejabatnya.
“Kenapa dengan saya kak?…” soal Sarah lemah. Beberapa orang rakan sepejabat yang datang melawat hanya menggeleng lesu. Wajah Sarah yang pucat dan cengkung menggamit simpati sesiapa sahaja.

“Kau pengsan. Mujur Roslan belum balik lagi. Dia yang panggil akak ke mari. Itulah…boss suruh cuti kau tak hendak..” Hamizah membebel melepaskan geram dalam hatinya kerana Sarah berdegil mahu terus bekerja walaupun dia sedar dirinya kurang bermaya hari itu.
“Roslan.?…siapa Roslan?…”
“Sudahlah Sarah, jangan kau fikir semua tu lagi, mari ikut akak balik rumah. Kalau kat rumah kaupun, tak ada siapa yang nak tengok-tengokkan kau nanti. Boleh jalan tak?”
“Boleh. Tak payahlah susah-susah kak. Saya boleh balik rumah sendiri.”
“Degil lagi tu. Jangan banyak bantah, nah beg kau. Roslan dah tunggu kat kereta tu.”
Siapa Roslan?…adakah pemuda yang aku langgar tadi dan pemuda yang cuba nak berbaik-baik di meja tadi?aku benar-benar menyusahkan banyak pihak hari ini.

17hb. Julai 2002
Yus, aku pengsan hari itu. Aku dirawat kak Hamizah di rumahnya. Betapa baik insan itu Yus, aku dianggap bagai adiknya sendiri. Aku malu meminta pertolongan orang luar. Kau jauh untuk kuberitahu, lagipun tiada faedah apa-apa kerana kau sedang mabuk berkasih.

“Sarah…mari makan bubur daging yang akak buat khas untuk Sarah. Jangan makan kat luar, Sarah tak sihat lagi. Dah berapa hari kau tak makan nasi ni? Akak tengok kau makin bertambah kurus. Dahlah cengkung, lemah pulak tu…apa masalah Sarah sebenarnya?”
“Tak ada apa-apa kak.”
“Rahsia sangat ke sampai susah benar nak beritahu. Tak apalah kalau rahsia peribadi Sarah, tapi akak nak pesan satu saja, kalau Sarah pendam dalam hati….nanti Sarah juga yang merana. Tak baik begitu dik.”
Sarah tundukkan wajahnya. Dia merasa cukup sayu dengan perhatian Hamizah. Biar tidak begitu rapat di pejabat, keramahan dan kemesraannya membuatkan Sarah berasa cukup dekat dengan wanita itu. Kelopak matanya panas dan airmatanya pantas sahaja meluncur turun. Dia tak mengesatnya, hanya membiarkan butiran panas itu menerjah pipinya yang dingin dan pucat.
“Kau benar-benar sakit Sarah…kau benar-benar sakit dan menderita.” Hamizah mengesat pipi Sarah dengan hujung selimut. Dia mendakap gadis malang itu dengan rasa sayang yang kian berkembang mekar. Meskipun dia tidak tahu asal-usul Sarah. Meskipun jiwanya masih lagi sarat dengan persoalan misteri , Hamizah yakin dia perlu menolongi Sarah. Hamizah bimbang Sarah akan terus merana dan menderita lalu membawanya ke alam khayalan yang gelita.


~mampukah Sarah menghadapi kesakitan hatinya?...tunggu di keluaran akan datang.

HIDUP PENUH RANJAU : TANPA TEPIAN

Maafkan aku untuk kesekian kalinya, terpaksa menitiskan airmata semahunya kerana terkesan dengan impian serta harapan yang tak kesudahan....