Pagi-pagi lagi, kereta Roslan sudah
tersadai di pintu pagar rumah Sarah. Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata
kerana yang entah dia sendiri tidak mengerti. Perilaku dirinya mendapat
perhatian daripada Hamizah yang selalu mencuri pandang akan kegelisahan yang
melanda pemuda itu. Roslan menanti penuh sabar kemunculan Sarah. Dia
cepat-cepat membetulkan kemeja dan tali leher biru lembut miliknya ketika
kelibat Sarah muncul dari balik pintu. Roslan segera keluar membukakan pintu
untuk Sarah.
Sarah cuba mengelak, hatinya tak senang
melihat pemuda itu asyik mengekorinya. Dia tak mahu hubungan baiknya dengan
Hamizah terjejas jika dia menjalin apa-apa ikatan dengan Roslan. Hubungan
sebaik itu tidak harus dipersiakan hanya kerana satu janji yang tidak akan
membawanya ke mana-mana. Sebelum apa-apa, lebih baik dia jauhkan diri.
Roslan segera keluar dari perut keretanya.
Meluru ke arah Sarah yang tergesa-gesa melarikan diri ke pondok menunggu bas.
“Sarah! Tunggulah…kenapa kau nak lari
dari aku? Sampai bila kau nak lari..berilah aku peluang.” Kata Roslan sambil memaut lengan Sarah dengan erat.
“Lepaskan saya Roslan…saya minta maaf
sebab tak dapat memberikan awak ruang dalam hati saya..saya tak mahu awak
ganggu saya macam ni lagi, tolonglah..” rayu Sarah
perlahan. Beberapa orang yang lalu lalang di jalanan memerhatikan gelagat
mereka kehairanan. Roslan melepaskan lengan Sarah bila didapati gadis itu
menyeringai kesakitan.
“Maafkan saya..tak sepatutnya saya
bersikap kasar dengan awak tadi, tapi izinkan saya menjadi sahabat
awak…sekurang-kurangnya sahabat, please.”
Sarah merenung mata Roslan dalam-dalam.
Dia tidak melihat apa-apa di dalammnya, Sarah ingin berlalu tetapi Roslan
menahannya. Dia kaku disitu.
“Selagi awak tidak berikan jawapan ya,
selagi itulah saya tak akan lepaskan awak.”
“Awak sedang mengugut saya en.
Roslan..”
“Sarah, kalaulah awak memahami perasaan
saya. Baiklah…tapi sekurang-kurangnya saya akan menghantar awak ke pejabat
dengan kereta buruk saya tu, atau awak masih curigakan saya?”
Sarah diam sejenak dan kemudiannya
melangkah pergi mendahului Roslan ke keretanya. Malas nak bertekak dengan
lelaki itu. Dia harus segera ke pejabat. Jika terlewat pasti kak Hamizah risau.
Sepanjang perjalanan ke pejabat, Sarah hanya membisu. Tiada patah-patah ayat
yang keluar dari mulutnya hatta jika disoal oleh Roslan. Akhirnya Roslan
membiarkan Sarah hanyut dalam dunianya sendiri. Kesudian gadis itu menumpang
keretanya pagi ini saja sudah cukup memberikan harapan besar bahawa suatu hari
nanti pintu hati Sarah akan terbuka untuk menerimanya. Begitulah doa Roslan di
dalam hati.
“Apa kata kita minum pagi di warung
depan pejabat Sarah?” ajak Roslan perlahan.
Sarah diam saja. Tidak langsung berdetik
hatinya untuk menjawab pertanyaan orang disebelah. Berat mulutnya untuk
melahirkan jawapan ya atau tidak.
“Saya akan sibuk sepanjang hari nanti,
lagipun saya puasa hari ini..”
“Sorry, puasa ganti ya?……” Roslan cuba berseluroh tetapi Sarah menjelingnya dan dia
tersipu-sipu malu.
“Baiklah…nampaknya saya terpaksa
menunggu hari yang sesuai untuk ajak awak keluar minum, tengok wayang atau
pergi ke pantai. Saya pandai petik gitar tau…”
“Tengoklah kalau Tuhan izinkan. Terima
kasih En. Roslan sebab hantar saya depan pintu pejabat.”
“Saya tunggu awak balik petang nanti,
jangan pergi mana-mana.”
Belum sempat Sarah bersuara, Roslan
sengaja beredar cepat-cepat. Dia mahu menguji hati Sarah hari ini. Kekerasan
hati gadis itu menarik naluri lelakinya untuk terus mencuba.
Sebenarnya tiada apa yang boleh membuatkan
hati Sarah bergetar bila berdampingan dengan Roslan. Jiwanya masih sarat dengan
penderitaan ditinggalkan Yusri. Menyebut nama lelaki itu sahaja di dalam hati
bisa merobek-robek tangkai jantungnya. Terlalu banyak kenangan manis dan pahit
bergelumang di sepanjang hidupnya di samping Yusri.
Sedang sibuk memproses borang-borang di
mejanya, Hamizah menghampiri. Gembira dia melihat Sarah sudah kembali ceria
biarpun tidak seperti dahulu.
“Sibuk?”
“Ohh..Puan Mizah. Taklah sibuk sangat,
Cuma dah lama cuti, mestilah banyak benda nak kena selesaikan. Lagipun puan banyak tolong buatkan kerja Sarah.”
“Emm, tak mengapa, pembantu saya ramai,
jadi apa salahnya tolong buatkan kerja Sarah sikit. Tak apa lah tu. Macamana
Sarah hari ini? Dapat tidur malam tadi?”
“Alhamdulillah. Demam pun dah kebah.”
“Okeylah, saya pergi dulu, ada
mesyuarat pagi ni.”
Sarah menghantar Hamizah berlalu ke bilik mesyuarat
dengan ekor matanya. Kemudian dia pantas menyambung kembali tugas yang
tergendala. Telefon dimejanya berbunyi lantang dan hampir-hampir membuatkan
Sarah terjerit kecil. Malas benar dia mahu mengangkat ganggang hitam itu yang
selalu benar meminta perhatian.
“Hello pejabat Syariah..”
“Assalamualaikum Sarah. Maaf sebab
ganggu awak buat kerja, saya saja nak pastikan awak okey.”
Sarah terduduk lesu. Kenapa Roslan tidak
serik-serik untuk mengodanya. Agak lama baru dia berani untuk menjawab.
“En. Roslan, saya sedang sibuk buat
kerja. Boleh lupakan saya sekejap hari
ni?”
“Okey…dah dengar suara awak pun
jadilah. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”
Roslan termenung di mejanya. Betapa sukar
untuk mendekati seekor burung merpati yang beberapa hari dulu pernah singgah
dan bermalam dirumah kakaknya. Seorang gadis yang pertama kali membuatkan jiwa
kelakiannya bergetar. Bagaimana kiranya dia hendak mendekati dan mengenali hati
Sarah…lalu dia teringatkan Hamizah kakak tunggalnya, mungkin kakak boleh menolong..
Tengahari itu juga, Roslan segera
menghubungi kakaknya di pejabat.
“Kakak bukan Tuhan, Lan. Pandai-pandai
engkaulah nak pikat dia. Kakak tak mahu memaksa Sarah, dia bukan seperti
perempuan lain yang pernah kau jumpa.”
“Tapi hati Lan betul-betul nak kenal
dengan dia kak. Tak kan kakak tak boleh tolong adik kakak sorang ni? Bukan ke
kakak sepejabat dengan Sarah?”
“Sepejabat tak semestinya kakak kena
tolong Lan. Kakak pun risau tengok budak tu. Lain benar dia sekarang ni, dulu
Sarah periang. Ada saja guraunya.”
“ Lan mesti tolong dia, kak. Macamana
susah pun, Lan janji akan tolong Sarah selesaikan masalah hidupnya.”
“Moga kau berjaya dik.”
Sementara itu Sarah masih tekun membuat
kerja-kerjanya. Dia menarik laci dan mengeluarkan sebuah buku catatan harian.
Tiba-tiba sekeping gambar terjatuh ke lantai. Ya, gambar dia dan Yusri. Sarah
tak jadi menyambung tugas dan meneliti gambar itu agak lama.
Yus, entah apa yang berlaku hari ini
kepada engkau. Masih ingatkah kau kepadaku atau mungkin sedang sibuk mengatur
acara di majlis gemilang itu nanti? Tentu Mak Bedah sedang sibuk mengarah kaum
kerabatnya untuk membuat persiapan terakhir, aku tumpang senang jika memang
benar kau yang memilih jalan itu. Kau berhak melentur sendiri kebahagiaan masa
depan, apalah aku ini..aku tak punya apa-apa…
……………………………………………………
“Hei Sarah..kenapa kau banyak termenung
bila balik kali ni?Apa sudah jadi?”
“Emm..iye ke? Mungkin aku banyak kerja,
fikiran aku serabut.”
“Kau masih belum ada keinginan untuk
bekerja di bandar kita?”
“Belum. Lagipun aku
masih banyak perkara hendak belajar. Kalau aku mohon bertukar sedangkan aku
masih banyak tak tahu, tentu aku susah nanti. Pertukaran tak semudah yang kau
sangkakan..ianya makan masa juga.”
“Habis…aku kena
berjauhan dari kau selalu. Aku sunyi di sini..kau tak kesian tengok aku Sarah?”
“Nak buat maacamana?”
“Kalau kita dah
bernikah nanti?”
“Aku cuba…”
Yusri mengusap kepala
Sarah dengan senang hati. Jiwanya amat tenteram mendengar pengakuan gadis yang
amat dicintainya itu. Kedua mereka terus pulang ke rumah. Ada perkara mustahak
yang mesti dijelaskan kepada kedua belah keluarga.
“Mak cik tak melarang
kehendak kamu, tapi mesti dengan persetujuan emak kamu dulu. Yusri anak yang
baik kan?”
“Baiklah mak cik.
Nanti saya beritahu emak, saya balik dulu. Sarah, esok aku jemput kau pukul 10
pagi, kau siaplah.”
“Emm…”
...................................................
Mengapa bayangan kau saja
menghantui hidup aku Yus? Mengapa aku tak boleh melewati setiap kenangan itu
dengan aman…perlukah aku berlari jauh-jauh ke hujung dunia untuk tidak mendengar
kisah cinta kita? Apa yang harus aku lakukan Yus?
……………………………….
“Emak tak setuju budak
miskin tu jadi menantu dalam rumah ini!!”
“Mak!..”
“Kau jangan nak
melawan. Ini kerja orang tua. Tahulah dengan siapa aku nak nikahkan kau, yang
engkau pandai-pandai sendiri ni kenapa? Dah tak ada emak lagi dalam hidup kau
sekarang?” bentak Mak Bedah keras. Sakit benar hatinya diperlakukan demikian oleh anaknya sendiri-anak kesayangannya.
“Kenapa mak cakap
macam tu?”
“Sebab aku tak suka si
Sarah tu jadi menantu aku, jadi isteri kau.”
“Kan mak tahu selama
ni saya kawan dengan dia? Dah dekat 22 tahun mak…kenapa mak tak faham…” kendur saja suara Yusri meski di dalam hatinya penuh rasa membara.
“Emak dah ada calon
untuk kau” beritahu wanita itu , dengan lengok suaranya yang perlahan cuba dikawal.
“Saya tak mahu
sesiapapun selain Sarah..”
“Itu keputusan mak,
budak Sarah tu dah jauh dari kau, banyak cerita tak sedap yang mak dengar dari
mulut orang, budak Sarah tu dah rosak!”
“Emak!….sampai hati
mak cakap macam tu, dia bukan macam yang mak sangka.” Yusri memeggang lengan emaknya minta pengertian. genggamannya agak pejap hingga Mak Bedah meleraikan dengan sebelah tangannya yang lain.
“Ah!..kau mana nak
percaya cakap aku. Mak sendiri tengok budak tu dah lain macam aja. Muka pucat
tak ada seri, macam tu ada hati nak jadi menantu aku?” ujarnya lagi dengan muka yang kelat dan benci. Yusri tertunduk memandang lantai. kedua tangannya ditekup ke telinga seperti tidak mahu mendengar kalimat itu keluar dari mulut emaknya sendiri.
“Sampai hati mak hina
kawan saya, bukan ke Sarah dah mak anggap seperti anak mak sendiri, mak dah
kenal dia sejak lahir, tak mungkin Sarah sanggup buat semua tu..”
“Mak dah kata kau
tentu tak akan percaya cakap mak. Ni..telinga ni dah naik tebal dengar orang
kata Sarah selalu kehulu kehilir dengan ramai jantan. Naik motorlah, naik
keretalah…ada saja orang yang ambik dia depan rumah sewanya tu tiap-tiap malam,
kalau tak menjual, buat apa lagi?!”
“Sudah mak! Saya tak
percaya…emak bohong! Emak bohong!!” jerit Yusri
lalu meluru keluar. Dia masuk ke keretanya dan memecut laju entah kemana.
………………………..
Sarah masih ingat,
sewaktu dia sedang sibuk memasak sarapan di dapur, Mak Bedah melenggang kasar
menghala ke halaman rumahnya. Dia membawa sepunjut kain yang entah berisi apa.
Sarah memerhatikan dari tingkap dapur. Cepat-cepat dia mengangkat cucur kodok dari
kuali dan menutup api dapur gas. Sarah meluru ke depan pintu. Mak ciknya juga
bergegas menemui Mak Bedah yang kelihatan sedang menyinga. Apa halnya pula
kali ini..
“Hei Siti! Kau tu
dahlah miskin, ada hati nak jodohkan keturunan kau dengan anak aku. Aku tak
sudi kau tahu! Suruh budak Sarah kutip
balik barang-barang yang dia beri dan ajar dia jangan ganggu anak aku lagi.”
“Bedah…kau nak
pisahkan mereka Bedah.…sampai hati kau..”
“Siti…aku dah pilih
anak dara yang baik untuk jadi menantu pilihan aku. Bukan macam Sarah anak
saudara kau tu…dah di tebuk tupai! Aku tak mahu keturunan jahat dalam keturunan
aku..” dengan angkuh Mak bedah berkata sebelum
beredar meninggalkan Mak Siti yang masih termangu-mangu.
Agak lama kemudian, barulah Mak Siti menarik nafas yang sangat panjang
lalu melepaskannya bak orang yang benar-benar kelelahan.
Mak Siti terjelepok.
Hitam rasanya pandangan mata mendengar cacian Mak Bedah. Sarah pengsan
mendengar kata-kata Mak Bedah. Sedar-sedar, didapatinya Mak Siti masih lagi
mengongoi menangisi nasib mereka anak beranak. Kakak sepupu, suaminya dan
anak-anak sudah berkumpul di rumah. Barang-barang pemberian Sarah kepada Yusri
diletakkan baik-baik disisi Sarah.
“Sarah…apalah nasib
kita nak…kenapa kau buat macam tu nak…” tanya mak Siti dalam sedu-sedan
yang masih berbaki. Bahu orang tua itu terhengut-hengut menahan sebak.
Sarah hanya berdiam diri.
Jiwanya sudah kosong tak berisi. Apa yang diperkatakan oleh orang tua itu
sedikitpun tidak didengarinya.
“Baik kau keluar dari
sini sebelum lebih banyak malu yang aku terima dan jangan balik-balik lagi, kau
bukan keturunan aku Sarah.” Ujar Mak Siti lalu bangkit dan pergi ke biliknya.
Gadis malang itu
menangis. Mengapa dia harus terima semua kehampaan ini. Ujian dari Allah kali
ini benar menguji keimannya sebagai hamba. Mengingat semua itu, Sarah
mengumpulkan segala sisa kekuatan dalam jiwanya. Biarlah selepas ini tiada lagi
bencana yang akan mengaibkan dia seluruh keluarga.
“Baiklah mak cik… jika
itu kehendak mak cik, Sarah akan keluar dari rumah mak cik buat selama-lamanya.
Halalkanlah makan dan minum Sarah selama duduk di rumah mak cik. Sarah tetap
sayangkan mak cik dan keluarga ini. Dari hujung rambut sampai hujung kaki,
Sarah minta ampun.” Sarah tersedan. Dia tunduk
seketika dan memandang kakak sepupunya. “Kak…”
“Jangan ambil hati
dengan cakap-cakap emak dik…emak masih terkejut dengan tuduhan dari Mak Bedah.
Kau nak ke mana?….rumah ini rumah kau juga. Kakak tak mahu kehilangan kau
Sarah…”
“Sarah akan pulang ke
rumah ini jika mak cik yang menyuruh, Sarah akan tunggu pintu hati mak cik
terbuka untuk terima Sarah macam dulu.”
“Jangan bawa hati kau
pergi jauh-jauh dik, baliklah macam selalu. Kakak tunggu kau balik bulan
depan.”
Sarah hanya diam. Dia
mengemas beg pakaiannya dan segera menyarung pakaian. Tak seharusnya lagi dia
menunggu kedatangan Yusri, mungkin berita itu telah meracuni fikirannya, dia
tak mahu menanti lagi. Apa jua kenyataannya, biarlah hanya dia dan Allah yang
mengetahui.
Sambil mengesat sisa
airmatanya yang masih tak mahu berhenti mengalir, Sarah keluar dari rumah Mak
Siti disaksikan oleh ahli keluarga. Berat rasanya untuk melangkah pergi, tetapi
apakan daya, hidupnya sudah kosong saat ini. Sepanjang perjalanan menuju ke
perhentian bas yang agak jauh, Sarah memasang nekad untuk tidak akan kembali ke
kampung tanpa di redahi oleh mak ciknya.
Dipertengahan jalan,
Sarah terserempak dengan Yusri, tidak berapa jauh dari simpang jalan kecil.
Yusri keluar dari perut kereta, dan menarik tangan Sarah serta memaksanya untuk
masuk ke kereta.
“Jangan paksa aku
Yus!”
“Aku minta maaf diatas
semua kesilapan yang berlaku hari ini..kau tak sepatutnya dihukum”
Sarah tersandar ke
kerusi. Tidak tahu apa lagi harus diperkatakan, tiada apa lagi yang perlu
dijelaskan .
“Jika begitu, aku
minta diri dulu…maafkan aku jika melukakan hati kau.”
“ Aku hantar kau ke
pekan.”
“Tak payahlah Yus…aku
boleh tunggu bas di depan tu, bukannya jauh sangat.”
“Sekurang-kurangnya
aku menjalankan tugas sebagai seorang sahabat, kalau kau masih mengingatiku
sebagai sahabat lagi.”
Sarah menurut. Mungkin
dia juga tak akan dapat peluang bertemu Yusri lagi selepas ini. Hibanya semakin
bertambah namun sedaya upaya cuba ditahankannya jauh-jauh di lubuk jiwa.
Sesekali Yusri memandangnya, Sarah perasan itu semua. Kebarangkalian juga dia
sedang dipersenda oleh keadaan yang begitu cemburukan hubungan baik antara dia
dan Yusri selama ini.
“Kau mempunyai lelaki
lain selain aku Sarah?..”
Muka Sarah panas
tiba-tiba. beg tangan yang sedang digenggam terlepas dan melurut ke bawah. cepat-cepat diambil dan dikepit ke celah ketiak. kemas. Yusri bagai mencurahkan garam pada luka hatinya yang belum sembuh. Dia tidak menjawab pertanyaan lelaki itu, membuatkan Yusri
melepaskan dengusan tajam menyindir. Sebaik sahaja sampai di pekan, Sarah
memberanikan diri memandang raut wajah Yusri dalam-dalam. Yusri membalasnya
endah tak endah.
“Yus…kiranya selepas
aku pergi hari ini, jika kau menemui calon yang sesuai sebagai pasangan hidupmu, aku
ucapkan Selamat Pengantin Baru. Semoga kau berbahagia.”
Yusri melemparkan
pandangan ke arah lain. Sarah mencapai beg pakaiannya dan keluar. Sekejapan itu
juga, Yusri melarikan keretanya laju dan hilang di telan selekoh pekan.
Tuhan…tabahkanlah hati
aku. Usah biarkan airmataku kering hari ini kerana aku perlu menangis untuk
esok hari.
~bersambung.