Dinihari yang hening digegarkan dengan
jeritan lantang Sarah.Hamizah yang tidur disebelah Sarah tersentak bangun.
Sambil menggosok-gosok matanya yang sedikit kabur, dia menggoncang tubuh Sarah
yang meronta-ronta.
“Emak!! Emak!!….”
“Sarah! Sarah!!…kau mengigau ni. Bangun
Sarah.”
Rontaan Sarah mengendur. Namun dari
bibirnya tidak lekang menyebut nama itu. Hamizah merasa dahi Sarah. Ah! Terlalu
panas meski peluh berjejeran dari tubuhnya. Kepala Sarah basah. Tiba-tiba Sarah
menggigil. Hamizah mendengar bunyi gigi Sarah berlaga, semakin lama semakin
jelas. Dia perlu melakukan sesuatu. Hamizah berlari keluar bilik mengetuk pintu
bilik adiknya-Roslan. Waktu itu suami Hamizah masih belum pulang dari membawa
teksi ke luar bandar.
“Ada apa kak?”
“Tolong kakak angkat Sarah ke bilik
air, kakak nak jirus badannya dengan air batu, cepat..”
Roslan yang terpinga-pinga dikejut dari mimpiindahnya, menurut sahaja
derap langkah kakaknya masuk ke bilik tetamu di mana Sarah sedang terlantar.
Tubuh Sarah yang kurus tidak menyukarkan Roslan untuk mengangkat ke bilik air.
Sarah didudukkan di kerusi plastik kecil yang memang berada di bilik air itu manakala kedua kakinya mengampu tubuh
Sarah dari jatuh. Hamizah bergegas datang membawa sebaldi air paip yang telah
diletakkan beberapa ketulan ais. Tanpa berlengah lagi, dia mula menjirus
perlahan-lahan ke tubuh Sarah. Sarah menjerit kesejukkan. Roslan turut terjerit kecil kerana dia juga dijirus sama. Dia masih bingung dengan apa yang dilalui ini…
Suhu tubuh Sarah telah mulai menurun ke
paras normal. Dia tidak lagi meracau-racau. Hamizah masih lagi berjaga, memerhati
gerak laku Sarah yang hampir membuatkannya panik. Mujur petua doktor yang
pernah merawat anaknya sewaktu demam panas dulu diingati, sekurang-kurangnya
dia lega.
Jam hampir menunjukkan angka tiga apabila
teksi yang dipandu suami Hamizah – Mokhtar berlabuh di garaj. Mokhtar sekadar
suka-suka membawa penumpang yang menempah keretanya untuk ke luar bandar sedang
dia sebenarnya adalah seorang usahawan yang agak berjaya dengan syarikat milik
keluarga.
Hamizah menyambut kepulangan suaminya
dengan membuat isyarat jangan bising. Mokhtar terperanjat juga kerana biasanya,
waktu-waktu begini, Hamizah sudah lena dibuai mimpi bersama anak kecil mereka.
“Sarah diserang demam panas tadi, Mizah
dah jirus dengan ais. Alhamdulillah…panasnya dah kurang. Diapun tak lagi
meracau-racau.”Mokhtar mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan.
“Kalau tak kebah esok, kita bawa dia ke
klinik kawan abang. Pergilah tidur…abang nak mandi dulu. Eh? Roslan yang angkat
budak tu tadi?” soal Mokhtar seraya berpaling ke arah isterinya.
“Iyelah…Mizah mana larat, kenapa bang?”
“Emm…tak ada apa-apa. Jaga Sarah tu.
Mungkin dia tu bakal adik ipar awak..” seluroh
Mokhtar yang ‘sporting’. Hamizah tersenyum simpul sebelum merebahkan
diri ke tilam empuk.
Dua hari Sarah diberi cuti sakit. Hamizah
sengaja memohon cuti rehat tiga hari untuk Sarah. Ketua jabatannya telah
meluluskan permohonan cuti rehat Sarah atas sebab-sebab yang telah mereka
maklumi. Sepanjang tempoh itu, Hamizah melarang Sarah dari pulang ke rumah
sewa. Sepanjang itulah, keluarga Hamizah melayani Sarah dengan baik. Malah
anak-anak Hamizah semuanya mesra dengan Sarah.
“Kak Mizah, dah tiga hari saya kat
sini. Saya ingat nak balik rumah sewa.”
“Sarah kan belum sihat?” ujar Hamizah perlahan.
“Tapi saya segan tinggal lama di sini.
Menyusahkan puan pula. Saya rasa dah sihat, lagipun rumah saya dah lama tak
dikemaskan. Saya harap puan izinkan.”
“Betul Sarah nak balik ni?”
“Betul puan..”
Hamizah melepaskan keluhan berat dari
mulutnya. Wajah yang cengkung dan sepasang mata yang sayu itu benar-benar
menyentuh naluri wanitanya. Sepanjang tempoh Sarah terlantar sakit di rumahnya,
sesaatpun dia belum dapat meluangkan waktu bertanya tentang perihal keluarga
Sarah. Hatinya terlalu ingin tahu sejarah Sarah yang penuh misteri.
Hamizah menyuruh Roslan menghantarkan
Sarah pulang dengan kereta. Sarah yang tidak biasa dengan lelaki itu hanya
mendiamkan diri. Sepatah yang ditanya, sepatah jualah yang dijawab.
“Saya benar bimbang keadaan awak di
rumah nanti. Siapa yang nak jaga awak?”
“Saya boleh jaga diri saya, Insya'allah.
Terima kasih atas layanan dan perhatian dari keluarga awak untuk saya. Hanya
Allah yang mampu membalas segala kebaikan itu.”
“Saya suka awak.” Roslan mengerling ke arah Sarah. Nakal..
Sarah terkesima. Degup jantungnya seperti
terhenti mendengar kalimah itu. Bahkan dia amat terperanjat dan sungguh malu.
Roslan biasa-biasa sahaja, seperti tidak pernah menuturkannya sebentar tadi.
“Saya sukakan awak Sarah.” Ulang Roslan
yakin.
“Awak tak tahu nilaikan perkataan yang
awak lafazkan.”
“Jika ianya satu kebenaran, nilai
apakah lagi yang perlu saya berikan. Saya ingin mengenali awak dan kehidupan
awak dengan mendalam. Tak salahkan?”
“Pandangan awak terlalu jauh untuk
saya. Kesemua itu…cuma bakal membebankan seluruh kehidupan awak. Tiada apa yang
istimewa untuk dikongsi bersama orang lain.”
“Kerana pandangan yang begitu tajam dan
luas, saya melihat awak yang perlu diberikan kasih dan sayang. Dengan kasih dan
sayang itulah nanti, hati dan jiwa awak yang hancur berkecai dapat dibaiki.”
“Awak tak kenal saya…sekadar beberapa
hari dan awak dah menilai saya?…” tenang sahaja
Sarah bersuara. Dia kehabisan modal untuk bersembang. Hatinya sedikitpun tidak
terusik dengan gurauan Roslan. Lagipun peduli apa dia dengan hidup orang lain
sedang dirinya entah akan menghala ke mana.
Roslan memberhentikan kereta di hadapan
pagar rumah sewa Sarah. Pantas saja Sarah meluru keluar selepas mengucapkan
berbanyak terima kasih. Roslan hanya mampu memandang gadis itu pergi dan hilang
di telan rumah teres setingkat yang suram itu.
Dia tidak menyesal terburu-buru menyatakan
suara hati kepada Sarah. Sejak pertemuan pertama dahulu, hatinya memang ingin
benar mengenali. Ada sesuatu yang istimewa di dalam hati Sarah yang mahu
dicungkil keluar. Sarah amat perahsia namun Roslan pasti, Sarah sedang
menanggung derita putus cinta. Mungkin insan yang dicintainya itu telah
pergi kepada orang lain, barangkali juga telah lama meninggal bahkan barangkali
juga dia digantung tidak bertali. Kepala Roslan mulai sarat dengan misteri.
Akhirnya dia terpaksa memandu pulang.
Sarah berbaring dibiliknya. Dia dapat
mendengar deruman enjin kereta Roslan pergi dari situ. Sekurang-kurangnya dia
lega. Kemudian Sarah bangkit perlahan-lahan menuju ke bilik air.
~bersambung lagi...berjayakan Roslan mengetuk pintu hati Sarah? sama-samalah nantikan episod seterusnya ya?......