Monday 19 November 2012

HIDUP PENUH RANJAU : Bahagian 12


Pagi-pagi lagi, kereta Roslan sudah tersadai di pintu pagar rumah Sarah. Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata kerana yang entah dia sendiri tidak mengerti. Perilaku dirinya mendapat perhatian daripada Hamizah yang selalu mencuri pandang akan kegelisahan yang melanda pemuda itu. Roslan menanti penuh sabar kemunculan Sarah. Dia cepat-cepat membetulkan kemeja dan tali leher biru lembut miliknya ketika kelibat Sarah muncul dari balik pintu. Roslan segera keluar membukakan pintu untuk Sarah.

Sarah cuba mengelak, hatinya tak senang melihat pemuda itu asyik mengekorinya. Dia tak mahu hubungan baiknya dengan Hamizah terjejas jika dia menjalin apa-apa ikatan dengan Roslan. Hubungan sebaik itu tidak harus dipersiakan hanya kerana satu janji yang tidak akan membawanya ke mana-mana. Sebelum apa-apa, lebih baik dia jauhkan diri.

Roslan segera keluar dari perut keretanya. Meluru ke arah Sarah yang tergesa-gesa melarikan diri ke pondok menunggu bas.

“Sarah! Tunggulah…kenapa kau nak lari dari aku? Sampai bila kau nak lari..berilah aku peluang.” Kata Roslan sambil memaut lengan Sarah dengan erat.

“Lepaskan saya Roslan…saya minta maaf sebab tak dapat memberikan awak ruang dalam hati saya..saya tak mahu awak ganggu saya macam ni lagi, tolonglah..” rayu Sarah perlahan. Beberapa orang yang lalu lalang di jalanan memerhatikan gelagat mereka kehairanan. Roslan melepaskan lengan Sarah bila didapati gadis itu menyeringai kesakitan.

“Maafkan saya..tak sepatutnya saya bersikap kasar dengan awak tadi, tapi izinkan saya menjadi sahabat awak…sekurang-kurangnya sahabat, please.”

Sarah merenung mata Roslan dalam-dalam. Dia tidak melihat apa-apa di dalammnya, Sarah ingin berlalu tetapi Roslan menahannya. Dia kaku disitu.

“Selagi awak tidak berikan jawapan ya, selagi itulah saya tak akan lepaskan awak.”

“Awak sedang mengugut saya en. Roslan..”

“Sarah, kalaulah awak memahami perasaan saya. Baiklah…tapi sekurang-kurangnya saya akan menghantar awak ke pejabat dengan kereta buruk saya tu, atau awak masih curigakan saya?”

Sarah diam sejenak dan kemudiannya melangkah pergi mendahului Roslan ke keretanya. Malas nak bertekak dengan lelaki itu. Dia harus segera ke pejabat. Jika terlewat pasti kak Hamizah risau. Sepanjang perjalanan ke pejabat, Sarah hanya membisu. Tiada patah-patah ayat yang keluar dari mulutnya hatta jika disoal oleh Roslan. Akhirnya Roslan membiarkan Sarah hanyut dalam dunianya sendiri. Kesudian gadis itu menumpang keretanya pagi ini saja sudah cukup memberikan harapan besar bahawa suatu hari nanti pintu hati Sarah akan terbuka untuk menerimanya. Begitulah doa Roslan di dalam hati.

“Apa kata kita minum pagi di warung depan pejabat Sarah?” ajak Roslan perlahan.

Sarah diam saja. Tidak langsung berdetik hatinya untuk menjawab pertanyaan orang disebelah. Berat mulutnya untuk melahirkan jawapan ya atau tidak.

“Saya akan sibuk sepanjang hari nanti, lagipun saya puasa hari ini..”

“Sorry, puasa ganti ya?……” Roslan cuba berseluroh tetapi Sarah menjelingnya dan dia tersipu-sipu malu.

“Baiklah…nampaknya saya terpaksa menunggu hari yang sesuai untuk ajak awak keluar minum, tengok wayang atau pergi ke pantai. Saya pandai petik gitar tau…”

“Tengoklah kalau Tuhan izinkan. Terima kasih En. Roslan sebab hantar saya depan pintu pejabat.”

“Saya tunggu awak balik petang nanti, jangan pergi mana-mana.”

Belum sempat Sarah bersuara, Roslan sengaja beredar cepat-cepat. Dia mahu menguji hati Sarah hari ini. Kekerasan hati gadis itu menarik naluri lelakinya untuk terus mencuba.

Sebenarnya tiada apa yang boleh membuatkan hati Sarah bergetar bila berdampingan dengan Roslan. Jiwanya masih sarat dengan penderitaan ditinggalkan Yusri. Menyebut nama lelaki itu sahaja di dalam hati bisa merobek-robek tangkai jantungnya. Terlalu banyak kenangan manis dan pahit bergelumang di sepanjang hidupnya di samping Yusri.

Sedang sibuk memproses borang-borang di mejanya, Hamizah menghampiri. Gembira dia melihat Sarah sudah kembali ceria biarpun tidak seperti dahulu.

“Sibuk?”

“Ohh..Puan Mizah. Taklah sibuk sangat, Cuma dah lama cuti, mestilah banyak benda nak kena selesaikan. Lagipun puan banyak tolong buatkan kerja Sarah.”

“Emm, tak mengapa, pembantu saya ramai, jadi apa salahnya tolong buatkan kerja Sarah sikit. Tak apa lah tu. Macamana Sarah hari ini? Dapat tidur malam tadi?”

“Alhamdulillah. Demam pun dah kebah.”

“Okeylah, saya pergi dulu, ada mesyuarat pagi ni.”


Sarah menghantar Hamizah berlalu ke bilik mesyuarat dengan ekor matanya. Kemudian dia pantas menyambung kembali tugas yang tergendala. Telefon dimejanya berbunyi lantang dan hampir-hampir membuatkan Sarah terjerit kecil. Malas benar dia mahu mengangkat ganggang hitam itu yang selalu benar meminta perhatian.

“Hello pejabat Syariah..”

“Assalamualaikum Sarah. Maaf sebab ganggu awak buat kerja, saya saja nak pastikan awak okey.”

Sarah terduduk lesu. Kenapa Roslan tidak serik-serik untuk mengodanya. Agak lama baru dia berani untuk menjawab.

“En. Roslan, saya sedang sibuk buat kerja.  Boleh lupakan saya sekejap hari ni?”

“Okey…dah dengar suara awak pun jadilah. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”


Roslan termenung di mejanya. Betapa sukar untuk mendekati seekor burung merpati yang beberapa hari dulu pernah singgah dan bermalam dirumah kakaknya. Seorang gadis yang pertama kali membuatkan jiwa kelakiannya bergetar. Bagaimana kiranya dia hendak mendekati dan mengenali hati Sarah…lalu dia teringatkan Hamizah kakak tunggalnya, mungkin kakak boleh menolong..

Tengahari itu juga, Roslan segera menghubungi kakaknya di pejabat.

Kakak bukan Tuhan, Lan. Pandai-pandai engkaulah nak pikat dia. Kakak tak mahu memaksa Sarah, dia bukan seperti perempuan lain yang pernah kau jumpa.”

“Tapi hati Lan betul-betul nak kenal dengan dia kak. Tak kan kakak tak boleh tolong adik kakak sorang ni? Bukan ke kakak sepejabat dengan Sarah?”

“Sepejabat tak semestinya kakak kena tolong Lan. Kakak pun risau tengok budak tu. Lain benar dia sekarang ni, dulu Sarah periang. Ada saja guraunya.”

“ Lan mesti tolong dia, kak. Macamana susah pun, Lan janji akan tolong Sarah selesaikan masalah hidupnya.”

“Moga kau berjaya dik.”


Sementara itu Sarah masih tekun membuat kerja-kerjanya. Dia menarik laci dan mengeluarkan sebuah buku catatan harian. Tiba-tiba sekeping gambar terjatuh ke lantai. Ya, gambar dia dan Yusri. Sarah tak jadi menyambung tugas dan meneliti gambar itu agak lama.

Yus, entah apa yang berlaku hari ini kepada engkau. Masih ingatkah kau kepadaku atau mungkin sedang sibuk mengatur acara di majlis gemilang itu nanti? Tentu Mak Bedah sedang sibuk mengarah kaum kerabatnya untuk membuat persiapan terakhir, aku tumpang senang jika memang benar kau yang memilih jalan itu. Kau berhak melentur sendiri kebahagiaan masa depan, apalah aku ini..aku tak punya apa-apa…

                                 ……………………………………………………

“Hei Sarah..kenapa kau banyak termenung bila balik kali ni?Apa sudah jadi?”

“Emm..iye ke? Mungkin aku banyak kerja, fikiran aku serabut.”

“Kau masih belum ada keinginan untuk bekerja di bandar kita?”

“Belum. Lagipun aku masih banyak perkara hendak belajar. Kalau aku mohon bertukar sedangkan aku masih banyak tak tahu, tentu aku susah nanti. Pertukaran tak semudah yang kau sangkakan..ianya makan masa juga.”
“Habis…aku kena berjauhan dari kau selalu. Aku sunyi di sini..kau tak kesian tengok aku Sarah?”
“Nak buat maacamana?”
“Kalau kita dah bernikah nanti?”
“Aku cuba…”
Yusri mengusap kepala Sarah dengan senang hati. Jiwanya amat tenteram mendengar pengakuan gadis yang amat dicintainya itu. Kedua mereka terus pulang ke rumah. Ada perkara mustahak yang mesti dijelaskan kepada kedua belah keluarga.
“Mak cik tak melarang kehendak kamu, tapi mesti dengan persetujuan emak kamu dulu. Yusri anak yang baik kan?”
“Baiklah mak cik. Nanti saya beritahu emak, saya balik dulu. Sarah, esok aku jemput kau pukul 10 pagi, kau siaplah.”
“Emm…”
...................................................
Mengapa bayangan kau saja menghantui hidup aku Yus? Mengapa aku tak boleh melewati setiap kenangan itu dengan aman…perlukah aku berlari jauh-jauh ke hujung dunia untuk tidak mendengar kisah cinta kita? Apa yang harus aku lakukan Yus?

                                                  ……………………………….

“Emak tak setuju budak miskin tu jadi menantu dalam rumah ini!!”
“Mak!..”
“Kau jangan nak melawan. Ini kerja orang tua. Tahulah dengan siapa aku nak nikahkan kau, yang engkau pandai-pandai sendiri ni kenapa? Dah tak ada emak lagi dalam hidup kau sekarang?” bentak Mak Bedah keras. Sakit benar hatinya diperlakukan demikian oleh anaknya sendiri-anak kesayangannya.

“Kenapa mak cakap macam tu?”
“Sebab aku tak suka si Sarah tu jadi menantu aku, jadi isteri kau.”
“Kan mak tahu selama ni saya kawan dengan dia? Dah dekat 22 tahun mak…kenapa mak tak faham…” kendur saja suara Yusri meski di dalam hatinya penuh rasa membara.
“Emak dah ada calon untuk kau” beritahu wanita itu , dengan lengok suaranya yang perlahan cuba dikawal.
“Saya tak mahu sesiapapun selain Sarah..”
“Itu keputusan mak, budak Sarah tu dah jauh dari kau, banyak cerita tak sedap yang mak dengar dari mulut orang, budak Sarah tu dah rosak!”
“Emak!….sampai hati mak cakap macam tu, dia bukan macam yang mak sangka.” Yusri memeggang lengan emaknya minta pengertian. genggamannya agak pejap hingga Mak Bedah meleraikan dengan sebelah tangannya yang lain.
“Ah!..kau mana nak percaya cakap aku. Mak sendiri tengok budak tu dah lain macam aja. Muka pucat tak ada seri, macam tu ada hati nak jadi menantu aku?” ujarnya lagi dengan muka yang kelat dan benci. Yusri tertunduk memandang lantai. kedua tangannya ditekup ke telinga seperti tidak mahu mendengar kalimat itu keluar dari mulut emaknya sendiri.

“Sampai hati mak hina kawan saya, bukan ke Sarah dah mak anggap seperti anak mak sendiri, mak dah kenal dia sejak lahir, tak mungkin Sarah sanggup buat semua tu..”
“Mak dah kata kau tentu tak akan percaya cakap mak. Ni..telinga ni dah naik tebal dengar orang kata Sarah selalu kehulu kehilir dengan ramai jantan. Naik motorlah, naik keretalah…ada saja orang yang ambik dia depan rumah sewanya tu tiap-tiap malam, kalau tak menjual, buat apa lagi?!”
“Sudah mak! Saya tak percaya…emak bohong! Emak bohong!!” jerit Yusri lalu meluru keluar. Dia masuk ke keretanya dan memecut laju entah kemana.

………………………..

Sarah masih ingat, sewaktu dia sedang sibuk memasak sarapan di dapur, Mak Bedah melenggang kasar menghala ke halaman rumahnya. Dia membawa sepunjut kain yang entah berisi apa. Sarah memerhatikan dari tingkap dapur. Cepat-cepat dia mengangkat cucur kodok dari kuali dan menutup api dapur gas. Sarah meluru ke depan pintu. Mak ciknya juga bergegas menemui Mak Bedah yang kelihatan sedang menyinga. Apa halnya pula kali ini..
“Hei Siti! Kau tu dahlah miskin, ada hati nak jodohkan keturunan kau dengan anak aku. Aku tak sudi kau tahu! Suruh  budak Sarah kutip balik barang-barang yang dia beri dan ajar dia jangan ganggu anak aku lagi.”
“Bedah…kau nak pisahkan mereka Bedah.…sampai hati kau..”
“Siti…aku dah pilih anak dara yang baik untuk jadi menantu pilihan aku. Bukan macam Sarah anak saudara kau tu…dah di tebuk tupai! Aku tak mahu keturunan jahat dalam keturunan aku..” dengan angkuh Mak bedah berkata sebelum beredar meninggalkan Mak Siti yang masih termangu-mangu.
Agak lama kemudian, barulah Mak Siti menarik nafas yang sangat panjang lalu melepaskannya bak orang yang benar-benar kelelahan.
Mak Siti terjelepok. Hitam rasanya pandangan mata mendengar cacian Mak Bedah. Sarah pengsan mendengar kata-kata Mak Bedah. Sedar-sedar, didapatinya Mak Siti masih lagi mengongoi menangisi nasib mereka anak beranak. Kakak sepupu, suaminya dan anak-anak sudah berkumpul di rumah. Barang-barang pemberian Sarah kepada Yusri diletakkan baik-baik disisi Sarah.
Sarah…apalah nasib kita nak…kenapa kau buat macam tu nak…” tanya mak Siti dalam sedu-sedan yang masih berbaki. Bahu orang tua itu terhengut-hengut menahan sebak.

Sarah hanya berdiam diri. Jiwanya sudah kosong tak berisi. Apa yang diperkatakan oleh orang tua itu sedikitpun tidak didengarinya.
“Baik kau keluar dari sini sebelum lebih banyak malu yang aku terima dan jangan balik-balik lagi, kau bukan keturunan aku Sarah.” Ujar Mak Siti lalu bangkit dan pergi ke biliknya.
Gadis malang itu menangis. Mengapa dia harus terima semua kehampaan ini. Ujian dari Allah kali ini benar menguji keimannya sebagai hamba. Mengingat semua itu, Sarah mengumpulkan segala sisa kekuatan dalam jiwanya. Biarlah selepas ini tiada lagi bencana yang akan mengaibkan dia seluruh keluarga.
“Baiklah mak cik… jika itu kehendak mak cik, Sarah akan keluar dari rumah mak cik buat selama-lamanya. Halalkanlah makan dan minum Sarah selama duduk di rumah mak cik. Sarah tetap sayangkan mak cik dan keluarga ini. Dari hujung rambut sampai hujung kaki, Sarah minta ampun.” Sarah tersedan. Dia tunduk seketika dan memandang kakak sepupunya. “Kak…”
“Jangan ambil hati dengan cakap-cakap emak dik…emak masih terkejut dengan tuduhan dari Mak Bedah. Kau nak ke mana?….rumah ini rumah kau juga. Kakak tak mahu kehilangan kau Sarah…”
“Sarah akan pulang ke rumah ini jika mak cik yang menyuruh, Sarah akan tunggu pintu hati mak cik terbuka untuk terima Sarah macam dulu.”
“Jangan bawa hati kau pergi jauh-jauh dik, baliklah macam selalu. Kakak tunggu kau balik bulan depan.”
Sarah hanya diam. Dia mengemas beg pakaiannya dan segera menyarung pakaian. Tak seharusnya lagi dia menunggu kedatangan Yusri, mungkin berita itu telah meracuni fikirannya, dia tak mahu menanti lagi. Apa jua kenyataannya, biarlah hanya dia dan Allah yang mengetahui.
Sambil mengesat sisa airmatanya yang masih tak mahu berhenti mengalir, Sarah keluar dari rumah Mak Siti disaksikan oleh ahli keluarga. Berat rasanya untuk melangkah pergi, tetapi apakan daya, hidupnya sudah kosong saat ini. Sepanjang perjalanan menuju ke perhentian bas yang agak jauh, Sarah memasang nekad untuk tidak akan kembali ke kampung tanpa di redahi oleh mak ciknya.

Dipertengahan jalan, Sarah terserempak dengan Yusri, tidak berapa jauh dari simpang jalan kecil. Yusri keluar dari perut kereta, dan menarik tangan Sarah serta memaksanya untuk masuk ke kereta.
“Jangan paksa aku Yus!”
“Aku minta maaf diatas semua kesilapan yang berlaku hari ini..kau tak sepatutnya dihukum”
Sarah tersandar ke kerusi. Tidak tahu apa lagi harus diperkatakan, tiada apa lagi yang perlu dijelaskan .
“Jika begitu, aku minta diri dulu…maafkan aku jika melukakan hati kau.”
“ Aku hantar kau ke pekan.”
“Tak payahlah Yus…aku boleh tunggu bas di depan tu, bukannya jauh sangat.”
“Sekurang-kurangnya aku menjalankan tugas sebagai seorang sahabat, kalau kau masih mengingatiku sebagai sahabat lagi.”

Sarah menurut. Mungkin dia juga tak akan dapat peluang bertemu Yusri lagi selepas ini. Hibanya semakin bertambah namun sedaya upaya cuba ditahankannya jauh-jauh di lubuk jiwa. Sesekali Yusri memandangnya, Sarah perasan itu semua. Kebarangkalian juga dia sedang dipersenda oleh keadaan yang begitu cemburukan hubungan baik antara dia dan Yusri selama ini.
“Kau mempunyai lelaki lain selain aku Sarah?..”
Muka Sarah panas tiba-tiba. beg tangan yang sedang digenggam terlepas dan melurut ke bawah. cepat-cepat diambil dan dikepit ke celah ketiak. kemas. Yusri bagai mencurahkan garam pada luka hatinya yang belum sembuh. Dia tidak menjawab pertanyaan lelaki itu, membuatkan Yusri melepaskan dengusan tajam menyindir. Sebaik sahaja sampai di pekan, Sarah memberanikan diri memandang raut wajah Yusri dalam-dalam. Yusri membalasnya endah tak endah.
“Yus…kiranya selepas aku pergi hari ini, jika kau menemui calon yang sesuai sebagai pasangan hidupmu, aku ucapkan Selamat Pengantin Baru. Semoga kau berbahagia.”
Yusri melemparkan pandangan ke arah lain. Sarah mencapai beg pakaiannya dan keluar. Sekejapan itu juga, Yusri melarikan keretanya laju dan hilang di telan selekoh pekan.
Tuhan…tabahkanlah hati aku. Usah biarkan airmataku kering hari ini kerana aku perlu menangis untuk esok hari.


~bersambung.

Sunday 18 November 2012

TENSIONKAH AKU?

Dalam hati terlalu banyak bicara, kadang-kadang boleh membuatkan diriku tertawa dan banyak pula kadang kalanya yang bagai mahu merobek-robek seluruh jiwa.

aku minta maaf pada suami pagi tadi, kerana terkasar bahasa pada malam tadi. mungkin kerana aku kurang sihat, atau mungkin kurang perhatian, atau mungkin kebosanan atau pun mungkin memang jenis tak makan saman.

aku pun tak mahu jadi derhaka, jauh sekali mahu menjadi batu api dan menghasut-hasut sang suami supaya membenci tetapi aku sedar yang aku ini memang kaki tak sabar dan sangat panas baran, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana memberiku seorang lelaki yang sangat budiman. bila sedar tu, insaflah sikit tapi bila syaiton berlegar-legar depan pintu hati mulalah gendang amarah asyik nak bergendang.

kami hidup biasa-biasa saja, aman dan bahagia tapi bila ada campur tangan pihak ketiga, tu yang rasa asyik nak mengamuk dalam hati. dalam hati je tau...sebab tak mahu derhaka. tapi pelik pulak, tak bergaduh dengan sesiapa, tak bercakaran dan bertumbuk-tumbuk an namun tetap kelelahan. aku jadi penat sendiri dan mulalah jantung berdegup kencang serta fikiran melayang-layang tak mahu lelap. tension la tu aganya ye...

mujur rumah jauh dari pejabat, kalau tak dah tentu tidur baring sepanjang minggu dalam pejabat. rasa aman dan tenteram.

abang, semoga kamu mengerti pengorbanan aku seorang isteri..disaat keluargamu yang lain bagai mahu menafikan hak mak sebagai mak yang perlu dilayan, aku tampil menghulurkan bahu. tapi jika hak aku pula dipertikaikan, terpulanglah kepada kamu menafsirkan isterimu ini beban atau tidak.

selagi aku bernafas, disitulah dia ada selama mana yang dia mahukan, cuma pesanlah kepadanya agar menghargai aku yang tidak sepertinya ini. aku juga perlukan perhatian kamu..

Thursday 1 November 2012

HIDUP PENUH RANJAU: Bahagian 11



“Hei! Sarah…kau tengok tu, ombak agak kuat malam ni.”

“Iyelah…agaknya kat bahagian sana hujan kot? Langit pun dah mendung kat sini.”

“Kau nak makan jagung bakar tak? Tunggu kejap ye, aku beli.” Ucap Yusri seraya bergegas berlari ke arah penjual jagung bakar di hujung Tanjung Emas, tidak berapa jauh dari tempat mereka melabuhkan punggung. Sarah hanya mampu tergelak kerana begitulah sikap sebenar Yusri, selalu bertanya tetapi setiap kali itulah akan menjawab bagi pihaknya.

Selang beberapa ketika, Yusri kembali dengan membawa dua tongkol jagung bakar dan sebungkus air tebu kegemarannya. Dia mengambil tempat di sisi Sarah.

“Engkau cuti lama tak kali ni?”

“Aku cuma ambil cuti hujung minggu saja, esok aku baliklah. Aku balik pun sebab nak tengok mak cik.”

`“Tak termasuk aku?”

“Samalah tu…kau kena kerja keras sekarang. Bayar ansuran kereta lagi, sara diri kau lagi, nak simpan duit lagi…ha, dah banyak simpanan kau?”

“Kan aku dah keluarkan semua untuk bayar muka kereta ni…yang karat-karat tu adalah..”

“Sebab itu aku suruh kau berhenti merokok, kurang sikit belanja beli rokok dan kesihatan kaupun terjamin nanti.”

“Terima kasih sebab kau sayang pada aku.”

“Salah tu…prihatin.”

Yusri mengalihkan kedudukan. Dia duduk bersetentang dengan Sarah. Memerhatkan raut wajah Sarah dalam-dalam. Kerinduan dalam hatinya seakan berapi-api ketika itu. Sarah jadi malu yang teramat. Yusri menanggalkan jaket kulit warna hitam dari tubuh dan menyelimuti diri Sarah yang kelihatan kesejukan. Dingin malam di tepi laut sebegini memang menggamit suasana romantis.

“Sarah…sudikah kau jadi isteriku?”

Muka Sarah berubah jadi panas. Rasa malu, rasa gembira dan segala rasa bercampur-baur menghuni kotak fikirannya tika ini.Tanpa sebarang jawapan, tanpa memandang Yusri yang sedang tekun merenungnya, dia hanya mampu memberikan titisan airmata.

“Jawablah Sarah…kau terima tak hasrat hati aku ni?”

“Aku tak mampu menjawabnya, aku tak ada jawapan itu Yus.”

“Kau tak pernah menyayangi aku Sarah?”

“Lebih dari apa yang kau sangka Yus. Tapi aku tak sepadan dengan kau dan keluarga kau, kau mesti sedar semua itu kan?”

“Aku tak pernah memandang kau dari segi itu Sarah. Aku ikhlas menyayangi kau, sejak dari kita kecil. Aku tak sanggup kehilangan kau Sarah…”

“Apalah yang mampu aku beri kepada hidup kau. Aku seorang yang miskin Yus, kau tahu sejak dari kecil, keluargaku banyak bergantung kepada keluarga kau. Duit yuran sekolah akupun, bapak kau yang selalu beri. Kau dah lupa?”

“Semua itu tak pernah buatkan aku jadi seorang ceti yang memaksa kau membayar balik segala hutang dan bunga. Keluarga kami tak pernah mengungkit perkara tersebut Sarah….atau kau saja yang jadikan ianya sebagai satu alasan kosong.”

“Kau tak akan faham apa yang ada dalam hati aku ni Yus.”

“Selama ini, aku masih belum mengenali Sarah alias Sarawanija binti Abd. Mahad?”

“Kau tak memahami kesukaran hidup kami Yus…aku jadi segan kepada keluarga kau, aku tak mahu dikata apa-apa.”

“Nasi yang aku selalu makan di rumah orang tua kau lebih banyak dari budi yang kami pernah taburkan demi persekolahan kau Sarah. Aku dewasa dengan berkat suapan yang dia beri melebihi suapan tangan emak aku sendiri…”

“Benarkah kau bukan menjadikan kesemua itu sebagai timbangan saksama hutang antara kita?”

“Aku akan buktikan kepada keluarga kita nanti. Marilah kita balik, malam ini juga aku nak beritahu Mak Siti…”



……………………………………………


Hutang kita dah langsai…dan kau telah menjadikan aku terlalu miskin tanpa apa-apapun jua. Aku sudah menunaikan janji kita, aku sudah melakukan kehendakmu suatu ketika dahulu dan…apakah dengan kesemua pengorbanan itu, di tempat ini aku berdiri sendiri Yus? mengapa sanggup kau tumpahkan airmataku untuk sepanjang musim hidup yang kering dan gersang ini. Apakah aku tidak layak merasai kenikmatan hidup anugerah Illahi bersama-samamu seperti dahulu?aku dapat merasakan kepahitan hidup sedang menjalar memakan segenap urat nadi. Jiwa wanitaku telah hancur seperti tiada ingin kembali. Mak…abah…jemputlah aku pergi bersamamu.

~bersambung.

HIDUP PENUH RANJAU : TANPA TEPIAN

Maafkan aku untuk kesekian kalinya, terpaksa menitiskan airmata semahunya kerana terkesan dengan impian serta harapan yang tak kesudahan....