Tuesday 16 October 2012

HIDUP PENUH RANJAU: Bahagian 10


Dinihari yang hening digegarkan dengan jeritan lantang Sarah.Hamizah yang tidur disebelah Sarah tersentak bangun. Sambil menggosok-gosok matanya yang sedikit kabur, dia menggoncang tubuh Sarah yang meronta-ronta.

“Emak!! Emak!!….”

“Sarah! Sarah!!…kau mengigau ni. Bangun Sarah.”

Rontaan Sarah mengendur. Namun dari bibirnya tidak lekang menyebut nama itu. Hamizah merasa dahi Sarah. Ah! Terlalu panas meski peluh berjejeran dari tubuhnya. Kepala Sarah basah. Tiba-tiba Sarah menggigil. Hamizah mendengar bunyi gigi Sarah berlaga, semakin lama semakin jelas. Dia perlu melakukan sesuatu. Hamizah berlari keluar bilik mengetuk pintu bilik adiknya-Roslan. Waktu itu suami Hamizah masih belum pulang dari membawa teksi ke luar bandar.

“Ada apa kak?”

“Tolong kakak angkat Sarah ke bilik air, kakak nak jirus badannya dengan air batu, cepat..”

Roslan yang terpinga-pinga dikejut dari mimpiindahnya, menurut sahaja derap langkah kakaknya masuk ke bilik tetamu di mana Sarah sedang terlantar. Tubuh Sarah yang kurus tidak menyukarkan Roslan untuk mengangkat ke bilik air. Sarah didudukkan di kerusi plastik kecil yang memang berada di bilik air itu  manakala kedua kakinya mengampu tubuh Sarah dari jatuh. Hamizah bergegas datang membawa sebaldi air paip yang telah diletakkan beberapa ketulan ais. Tanpa berlengah lagi, dia mula menjirus perlahan-lahan ke tubuh Sarah. Sarah menjerit kesejukkan. Roslan turut terjerit kecil kerana dia juga dijirus sama. Dia masih bingung dengan apa yang dilalui ini…

Suhu tubuh Sarah telah mulai menurun ke paras normal. Dia tidak lagi meracau-racau. Hamizah masih lagi berjaga, memerhati gerak laku Sarah yang hampir membuatkannya panik. Mujur petua doktor yang pernah merawat anaknya sewaktu demam panas dulu diingati, sekurang-kurangnya dia lega.

Jam hampir menunjukkan angka tiga apabila teksi yang dipandu suami Hamizah – Mokhtar berlabuh di garaj. Mokhtar sekadar suka-suka membawa penumpang yang menempah keretanya untuk ke luar bandar sedang dia sebenarnya adalah seorang usahawan yang agak berjaya dengan syarikat milik keluarga.

Hamizah menyambut kepulangan suaminya dengan membuat isyarat jangan bising. Mokhtar terperanjat juga kerana biasanya, waktu-waktu begini, Hamizah sudah lena dibuai mimpi bersama anak kecil mereka.

“Sarah diserang demam panas tadi, Mizah dah jirus dengan ais. Alhamdulillah…panasnya dah kurang. Diapun tak lagi meracau-racau.”Mokhtar mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan.

“Kalau tak kebah esok, kita bawa dia ke klinik kawan abang. Pergilah tidur…abang nak mandi dulu. Eh? Roslan yang angkat budak tu tadi?” soal Mokhtar seraya berpaling ke arah isterinya.

“Iyelah…Mizah mana larat, kenapa bang?”

“Emm…tak ada apa-apa. Jaga Sarah tu. Mungkin dia tu bakal adik ipar awak..” seluroh Mokhtar yang ‘sporting’. Hamizah tersenyum simpul sebelum merebahkan diri ke tilam empuk.

Dua hari Sarah diberi cuti sakit. Hamizah sengaja memohon cuti rehat tiga hari untuk Sarah. Ketua jabatannya telah meluluskan permohonan cuti rehat Sarah atas sebab-sebab yang telah mereka maklumi. Sepanjang tempoh itu, Hamizah melarang Sarah dari pulang ke rumah sewa. Sepanjang itulah, keluarga Hamizah melayani Sarah dengan baik. Malah anak-anak Hamizah semuanya mesra dengan Sarah.

“Kak Mizah, dah tiga hari saya kat sini. Saya ingat nak balik rumah sewa.”

“Sarah kan belum sihat?” ujar Hamizah perlahan.

“Tapi saya segan tinggal lama di sini. Menyusahkan puan pula. Saya rasa dah sihat, lagipun rumah saya dah lama tak dikemaskan. Saya harap puan izinkan.”

“Betul Sarah nak balik ni?”

“Betul puan..”

 Hamizah melepaskan keluhan berat dari mulutnya. Wajah yang cengkung dan sepasang mata yang sayu itu benar-benar menyentuh naluri wanitanya. Sepanjang tempoh Sarah terlantar sakit di rumahnya, sesaatpun dia belum dapat meluangkan waktu bertanya tentang perihal keluarga Sarah. Hatinya terlalu ingin tahu sejarah Sarah yang penuh misteri.

Hamizah menyuruh Roslan menghantarkan Sarah pulang dengan kereta. Sarah yang tidak biasa dengan lelaki itu hanya mendiamkan diri. Sepatah yang ditanya, sepatah jualah yang dijawab.

“Saya benar bimbang keadaan awak di rumah nanti. Siapa yang nak jaga awak?”

“Saya boleh jaga diri saya, Insya'allah. Terima kasih atas layanan dan perhatian dari keluarga awak untuk saya. Hanya Allah yang mampu membalas segala kebaikan itu.”

“Saya suka awak.” Roslan mengerling ke arah Sarah. Nakal..

Sarah terkesima. Degup jantungnya seperti terhenti mendengar kalimah itu. Bahkan dia amat terperanjat dan sungguh malu. Roslan biasa-biasa sahaja, seperti tidak pernah menuturkannya sebentar tadi.

“Saya sukakan awak Sarah.” Ulang Roslan yakin.

“Awak tak tahu nilaikan perkataan yang awak lafazkan.”

“Jika ianya satu kebenaran, nilai apakah lagi yang perlu saya berikan. Saya ingin mengenali awak dan kehidupan awak dengan mendalam. Tak salahkan?”

“Pandangan awak terlalu jauh untuk saya. Kesemua itu…cuma bakal membebankan seluruh kehidupan awak. Tiada apa yang istimewa untuk dikongsi bersama orang lain.”

“Kerana pandangan yang begitu tajam dan luas, saya melihat awak yang perlu diberikan kasih dan sayang. Dengan kasih dan sayang itulah nanti, hati dan jiwa awak yang hancur berkecai dapat dibaiki.”

“Awak tak kenal saya…sekadar beberapa hari dan awak dah menilai saya?…” tenang sahaja Sarah bersuara. Dia kehabisan modal untuk bersembang. Hatinya sedikitpun tidak terusik dengan gurauan Roslan. Lagipun peduli apa dia dengan hidup orang lain sedang dirinya entah akan menghala ke mana.
  
Roslan memberhentikan kereta di hadapan pagar rumah sewa Sarah. Pantas saja Sarah meluru keluar selepas mengucapkan berbanyak terima kasih. Roslan hanya mampu memandang gadis itu pergi dan hilang di telan rumah teres setingkat yang suram itu.

Dia tidak menyesal terburu-buru menyatakan suara hati kepada Sarah. Sejak pertemuan pertama dahulu, hatinya memang ingin benar mengenali. Ada sesuatu yang istimewa di dalam hati Sarah yang mahu dicungkil keluar. Sarah amat perahsia namun Roslan pasti, Sarah sedang menanggung derita putus cinta. Mungkin insan yang dicintainya itu telah pergi kepada orang lain, barangkali juga telah lama meninggal bahkan barangkali juga dia digantung tidak bertali. Kepala Roslan mulai sarat dengan misteri. Akhirnya dia terpaksa memandu pulang.

Sarah berbaring dibiliknya. Dia dapat mendengar deruman enjin kereta Roslan pergi dari situ. Sekurang-kurangnya dia lega. Kemudian Sarah bangkit perlahan-lahan menuju ke bilik air.

Di atas sejadah biru yang mulai pudar warnanya, Sarah banyak menghabiskan waktu beristigfar dan menangis mengadu nasibnya kepada Allah S.W.T. selesai membaca surah yassin, dia mencapai kalungan tasbih pemberian aruah ibunya dan berzikir seperti kelaziman.


~bersambung lagi...berjayakan Roslan mengetuk pintu hati Sarah? sama-samalah nantikan episod seterusnya ya?......

HIDUP PENUH RANJAU : TANPA TEPIAN

Maafkan aku untuk kesekian kalinya, terpaksa menitiskan airmata semahunya kerana terkesan dengan impian serta harapan yang tak kesudahan....