Tuesday 27 March 2012

Puding Kiwi


Hello...kali ini saya paparkan hasil puding kiwi yang dipelajari daripada blog kak Azlita masam manis. jika tak minat nak masak memang sukar memahami resepi-resepi kak Azlita yang agak mudah meski beliau menyertakan sekali proses pembuatan ( kebanyakkannya) kuih muih dan kek beliau. jadi saya kongsikan di sini resepi mudah membuat puding kiwi.

bahan-bahannya:

2 biji buah kiwi masak
1 peket agar-agar
1 1/4 air ( sukat dari plastik agar-agar tadi )
1-2 cawan santan pekat@susu cair ( ikut suka )
1 1/2 cawan gula ( ikut suka manis sbb kiwi tu agak masam )
sedikit pewarna hijau ( lagi hijau lagi cantik-saya gunakan hijau epal )
1/2 cawan air untuk blender kiwi

cara-cara membuatnya:

blender buah kiwi dengan 1/2 cawan air-tapis dan ketepikan
masak agar-agar bersama air dan gula sampai betul-betul hancur dan sebati
bahagi 2 adunan
satu adunan di masak bersama kiwi yang diblend tadi dan masak sebentar-angkat
adunan yang lagi satu, jerang semula atas api dan masukkan santan/susu cair dan bila dah mula mengelegak, matikan api.

ambil acuan kegemaran dan masukkan lapisan kiwi dahulu, tunggu ia mengeras sedikit dan masukkan lapisan santan/susu dan buat proses ini dengan sabar berulangkali. masukkan dalam peti ais.

***nak melapis tu yang kena banyak sabar, jika tidak, adunan akan bercampur aduk dan menjadi tidak cantik.

selamat mencuba.

Sunday 25 March 2012

HIDUP PENUH RANJAU: Bahagian 8


Oh! Aku tak boleh hilangkan kenangan itu….semuanya menyakitkan, semuanya memedihkan. Bagaimana harus aku belajar hidup tanpa bayangan Yusri. Sarah merintih sendiri. Baginya tiada apa yang lebih memeranjatkan dari menerima berita yang datang secara tiba-tiba tengahari tadi.

Selama ini Sarah sangka rimbunan rindunya yang tertanam sejak kecil akan tumbuh menjadi sepohon pokok rendang seperti cerita dongeng Bawang Putih Bawang Merah. Sarah lupa ini semua kuasa Tuhan, semua ini merupakan ujian baginya. Dia Cuma mampu merindui sahabatnya, namun bukan berpeluang untuk terus menyintainya. Sarah tak tahu mengapa Yusri berubah. Dia juga tak mengerti samada perjalanan hidupnya sekian ini telah menemui matlamatnya. 

Sarah menundukkan wajahnya yang cengkung, beberapa titis airmata hangat menitik ke ribanya. Apalah daya gadis itu, untuk mengesat airmatanya sahaja dia tak berupaya…

15hb. Julai 2002 – 2.34 pagi

            Yus, sekalung kasih aku rantaikan ke lehermu. Aku sudah tak mempunyai impian lagi. Kau juga sudah kuburkan semua impian zaman kanak-kanak kita jauh dari daerah kita. Aku tak memahami, malah untuk cuba mengerti juga aku sudah tak berdaya. Yus, doa-doaku akan sentiasa mengiringi perjalanan hidupmu. Setulus kasihmu terhadap Zulaikha Intan- bakal isterimu tidak lama lagi. Bukankah sudah kujelaskan tidak lama dahulu, kau pasti akan menemui insan istimewa yang akan mengasihimu sepanjang hayat? Maka Zulaikha itu aku doakan menyintaimu, mengasihimu dan menjagamu serta ibu dengan amat baik.

Kegembiraanmu adalah kegembiraan yang aku tumpang sejak dari kecil.  Seharusnya aku tak layak untuk mencederakan sedikitpun perasaanmu. Terima kasih kerana menjadi sahabatku. Aku gembira kau telah menemui pilihan hati yang bakal mengongsi suka dan duka bersama.

            Di tempat kerja, Sarah asyik ditegur ketua kerana seringkali lalai dan bermenung tidak tentu arah. Tugas Sarah mencari fail. Kadang-kala fail yang diminta unit ini diberi kepada unit lain. Teman sepejabat yang perihatin, menggeleng kehairanan.

            Hamizah menghampiri Sarah sewaktu gadis itu bersandar di sebalik kabinet fail. Mizah memegang bahu Sarah yang sudah dianggap seperti adik sendiri. Tak pernah dia melihat Sarah berkeadaan begini semenjak bertugas. Di hadapan matanya selama lebih dua tahun dia mengenali Sarah, Mizah tak pernah melihat airmata Sarah mengalir seperti itu. Hatinya nekad ingin membantu meringankan beban yang sedang ditanggung oleh Sarah.

            “Sarah ada masalah di kampung ke?”
            “Tak ada apa-apalah puan. Sarah Cuma tak sihat sikit. Puan janganlah risau…” dalih Sarah, malu.
            “Saya nak bantu Sarah. Kalau-kalau Sarah perlukan pertolongan saya. Sarah perlukan duit ke?…”
         “Tidak…terima kasih puan kerana prihatin. Sarah menyusahkan puan saja. Sebenarnya …Sarah rindukan aruah emak, itu saja.”
            “Betul ke ni…tapi saya tak percaya. Saya lebih tua dari Sarah. Saya tahu kesedihan dan kerinduan kamu ni lebih dari itu.”

            Sarah memandang wajah Hamizah. Sinar matanya yang redup itu menyatakan keikhlasan ingin membantu. Tapi Sarah tak mahu membebankan sesiapa. Rahsia hati itu biarlah terus menjadi rahsia hatinya.

Hamizah beredar meninggalkan Sarah di celahan kabinet fail, sendirian. Dia tahu, jika di asak soalan bertubi-tubi pun, tak mungkin gadis itu akan bercerita kepadanya. Hati perempuannya meronta ingin mengajak berbicara dan mengetahui lebih lanjut..jika kamu mahu.

            Sewaktu Sarah melangkah keluar pintu pejabat untuk ke kantin, dia terlanggar bahu seseorang. Memang sungguh Sarah tidak perasan, lelaki yang dilanggarnya itu memalingkan wajah ke arahnya. Kacak juga…getus hati Sarah. Namun hatinya yang sedang berkecamuk menyebabkan dia tidak mahu berfikir banyak tentang lelaki muda itu.

            “ Cik..boleh saya jumpa Pn. Hamizah?”
         Sarah memandangnya seketika, dengan pandangan kosong. Lalu menyuruhnya masuk ke pejabat mencari sendiri Pn. Hamizah seperti yang didakwa. Sarah terasa tekaknya begitu perit untuk berkata-kata. Bukan kehausan…tapi bagaikan ada selumbar yang menyucuk-nyucuk dengan kejam. Lelaki itu mengucapkan terima kasih lantas menghilang ke pejabat. Ahh…kasihan dia tidak kusambut sebagai tetamu.

~siapakah lelaki kacak tersebut?..apakah kehadirannya mengundang kegembiraan buat Sarah?

~bersambung lagi...sabar.

Wednesday 21 March 2012

Peperiksaan dan Keputusan

Keputusan SPM dah keluar semalam. Tahniah kepada yang cemerlang dan kepada yang kurang bernasib baik, jangan putus asa. Hidup mesti diteruskan dan tak boleh nak diundur masa tersebut. Apa yang pasti, kecemerlangan dalam peperiksaan kebiasaannya bertitik tolak dari usaha pada awal-awal lagi. ditambah dengan usaha berganda dari segi kerohanian dan hubungan baik sesama insan. aku tak tipu tapi ini kajian dari segelintir pelajar yang mendapat keputusan cemerlang meski dia berbangsa apa juga.

Apa rahsianya ye?

1-Tekun belajar, buat home work, buat latihan tubi
2-Solat 5 waktu, diiringi solat hajat dan sunat serta puasa Isnin Khamis
3-Berbuat baik kepada kedua ibubapa dan keluarga serta guru-guru
4-Bergaul baik dengan jiran tetangga dan sahabat handai
5.Pastikan makan dan minum adalah dari makanan yang hala dan sumbernya juga mestilah halal


Sekurang-kurang 5 perkara ini adalah rutin harian dalam kehidupan seorang pelajar barulah hasilnya Insyallah cemerlang luar dan dalam. Aku sangat yakin spiritual kena bersih untuk menerima ilmu. Bukan mudah Allah SWT hendak memberikan apa yang kita hajati jika kita tak berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Begitu juga dengan ibubapa, sentiasalah mendoakan kesejahteraan anak-anak dan restumu mendapat keredhaan dari Allah SWT. 

Jika mengamalkan semua 5 diatas namun masih gagal, jangan putus asa. Ada hikmah dari Allah SWT yang kita tak nampak buat masa sekarang. Allah memberikan kesedihan untuk digantikan dengan kegembiraan. Apa-apapun, Istigfar banyak-banyak semoga segala macam rasa yang bersarang dalam hati terungkai tak lama lagi.

Tuesday 20 March 2012

Puding Kacang Merah

Suami memang suka makan puding. anak pun terikut-ikut sama namun maknya saja yang kadang-kadang rajin, kadang-kadang tak berapa selera nak buat. hehhe..hari-hari mesti jenguk dapur kak Azlita, intai resepi-resepi mudah yang boleh dibuat di dapur kecilku. kalau rezekiku murah, hasil kejadian alhamdulillah sedap dan menyelerakan. jika sebaliknya faham-faham aje lah ye..hahahahhaha...sebelum bagitau baik gelak dulu.

Kali ini aku nak kongsikan satu resepi mudah nak buat puding kacang merah. itu terpulang kepada korang nak letak apa dalam puding tu, tapi disebabkan struktur, kaler dan bentuk kacang merah yang mengiurkan dalam blog kak Azlita tu, membuatkan hatiku begitu teruja nak mencuba. kebetulan pula rombongan mak dan ayah dari Johor Bahru nak datang, lagilah semangat nak tunjukkan kepandaian memasak..( hahahahahahha ). dari petang bawa ke lepas Maghrib aku merebus si kacang merah namun hasilnya masih kurang empuk ( biarlah ). dia ni liat sikit, nak kena rendam lama, barulah boleh direbus, jika terus merebus, perlukan masa yang lama dan kesabaran tahap Delta. di mataku, aku memotovasikan diri dengan gambaran hasil yang sangat menarik seperti puding kak Azlita tu..fuhh..kena buat juga ni, kaki dah kebas dek berdiri ke hulu kehilir menambah air dan mengacau supaya tak cedera dimakan api si kacang-kacang merahku..huhu.

Bahan-bahannya :

1 cwn Kacang Merah
1 packet / 13g Serbuk Agar-Agar-saya guna agar-agar kering 
1 liter Air-saya sukat ikut plastik panjang agar-agar kering tadi =1 1/4
240g Gula-saya letak 1 cawan @ 2 cawan jika suka manis
1 tin Susu Cair 
1 sb Tpg Jagung-saya tak letak
1 heai Daun Pandan-saya tak letak sbb lupa nak beli
Sediki Pewarna Merah Jambu-saya guna sirap rose
secubit garam -untuk merebus kacang supaya tak tawar sgt

Rebus kacang sehingga empuk.
Ambil 1/2 cwn & ratakan ke dlm acuan.
Blend baki kacang sehingga hancur
Letakkan serbuk agar-agar, air, gula & daun pandan ke dlm periuk & masak sehingga hancur.
Sendukkan +/- 1/2 cwn & tuangkan ke atas kcg merah dlm acuan tadi.
Masukkan campuran kcg merah yg di mesin tadi ke dlm agar2 & masak sehingga mendidih.
Biarkan lapisan kcg merah tadi mengeras sedikit sebelum di tuangkan masakan agar2.
Biar agar2 sejuk di suhu bilik sebelum di masukkan ke dlm peti sejuk.
Hidangkan sejuk.


**saya masak agar-agar dengan gula dan sirap, bila benar-benar sebati dan hancur semua agar-agar, baru masukkan susu cair dan kacang merah yang di kisar halus.

inilah hasilnya yang tak seberapa 
terima kasih kak Azlita kerana berkongsi resepi, saya akan cuba yang terbaik di masa mendatang dan mempelbagaikan idea untuk dikongsi bersama, yang penting saya telah berjaya mencuba dan rasanya wah..tak keras, tak lembik..sedang elok untuk dipotong dan dihidang kepada tetamu. penat berdiri lama di dapur berbaloi kerana hasilnya membanggakan. cubalah...

Monday 19 March 2012

HIDUP PENUH RANJAU: Bahagian 7


Kenangan manis memang indah untuk diimbas. Sarah sudah tidak punya apa-apa selain sejuring kenangan yang tersemadi dalam hidup wanitanya. Hidup dirasakan sudah kurang nilai dan apa erti kerinduan ini juga dia tidak mengerti.

Kerinduan dan segala kesetiaan terhadap lelaki itu terjawab pada kad merah jambu yang ada di genggamannya sekarang. Sarah hilang punca. Sarah kecewa. Sarah menangis lagi “kenapa kau tinggalkan aku Yus? Kenapa kau tinggalkan aku..kenapa tak mencariku dan menunggu aku seketika..”

Sarah mengingat-ingat nombor telefon kampung, nombor telefon rumah Yusri. Tak kuat hatinya untuk bertanya khabar walaupun hatinya meronta-ronta. Namun kerana seorang lelaki, Sarah menebalkan ego dari kembali ke kampung. Hati Sarah sakit, jiwa Sarah hancur. Sarah rasakan hidupnya kosong sekejapan itu juga. Perlahan-lahan dia cuba memejamkan mata.

………………………………………………………….

“Hajat aku dah tercapai. Bulan depan kalau kau balik kampung, aku jemput kau di pekan dengan kereta ni.” Yusri tersenyum girang melihat kereta Kancil warna Merah dihadapannya. Beberapa minggu lagi urusan selesai dan dia boleh membawa pulang kereta idamannya. Sarah hanya ketawa kecil.

“Baguslah…lepas ni kau kena berjimat sebab belanja menguruskan kereta bukan sikit. Kenalah kau kurangkan merokok ya?”
“Aku tak janji. Boleh kau gantikan syarat tu dengan yang lain?”
“Nanti kau jatuh sakit kalau masih kuat merokok. Kau tahu aku tak suka orang yang kuat merokok kan?”
“Insya’Allah, aku akan cuba kurangkan sikit. Err..bila kau cuti lagi?”
“Yus…aku tak boleh ambil cuti sesuka hati tiap-tiap bulan. Paling kurang pun, tiga hari dalam masa dua bulan. Aku pun kena simpan cuti untuk perkara-perkara mustahak dan untuk hari raya hujung tahun nanti, kau sabarlah…”

“Aku tak biasa berjauhan dengan kau sejak kecil. Kau yang tak ingatkan aku. kalau boleh aku nak mintak kerja di KL, biar dekat sikit .”
“Siapa pula yang nak jaga emak kau dan tolong tengok-tengokkan mak cik aku tu?”
“Tahun depan kau minta tukar ke bandar sini tak boleh?”
“Masih baru lagi…aku tak pernah terfikir tentang itu. Insya’Allah, aku akan cuba ikhtiarkan nanti. Marilah kita balik, hari dah lewat, nanti marah pulak emak kau dan mak cik aku.”

“Marilah..”

~bersambung.

Thursday 15 March 2012

HIDUP PENUH RANJAU: Bahagian 6


Sarah turun ke tanah. Dia nampak kelibat Yusri bergegas menuju ke sungai. Sarah membuntuti dari belakang. Benarlah Yusri telah mendengar pengakuannya sekejap tadi.

Dari jauh Sarah nampak Yusri duduk di atas batu besar. Menongkat dagunya dengan kedua belah tangan. Serba-salah Sarah dibuatnya. Mungkinkah persahabatan yang terjalin lebih dari 20 tahun ini akan terlerai begitu sahaja?

“Dah lama kau datang?” Sarah pura-pura berbahasa. Yusri cuma mendiamkan diri, membaling batu ke tengah sungai. Sarah memegang rambut Yusri yang terbuai-buai di tiup angin petang. Yusri tidak membantah. Sarah mengambil getah rambut yang tersimpan di kocek baju kurung dan mengikat rambut lelaki itu tanpa perlu bertanya. Rerambut yang luruh dikibas-kibas lembut dengan belakang tangan.

“Bila kau!...” ahh, tak jadi pula hendak marah-bisik Yusri. Dia mengambil nafas dalam-dalam dan menyambung kata “….nak pergi pekan makan laksa abang Janggut?”

“Alah.. kau suruh aku balik saja ke Kuala Lumpur kan?…..” pantas saja Sarah memotong cakap Yusri. Yusri mengeluh. Dia tak boleh merajuk panjang dengan Sarah. Sarah gadis pujaannya selama ini, biar Sarah tak sudi menerimanya lebih dari seorang kawan. Yusri sanggup membuang jauh-jauh perasaan terluka sebentar tadi kerana dia sayangkan Sarah. Benarkah Sarah menolaknya? Atau gurauan Sarah kerana malu terhadap mak cik sendiri?atau aku yang berangan melepasi langit?..hey Yusri, tak malu!
“Aku dah cukup duit nak bayar deposit kereta Kancil. Semalam aku ke kedai kereta.” Yusri mengubah topik perbualan. Kendur sahaja nadanya.

“Kau dah fikir masak-masak?” Sarah mengubah kedudukan dan duduk agak jauh dari sisi Yusri. Malu pula jika orang kampung nampak.

“Sudah. Sebelum kau balik ke KL, aku bawa kau ke kedai kereta, buat tempahan dan kau pilihlah warna yang kau mahu.”

“Warna kegemaran kita kan sama. Kau dan aku suka warna merah. Atau kau dah tukar selera barangkali?….” Sarah sengaja mencetuskan ketegangan. Dia suka mengusik kedamaian pada setiap pertemuan. Sempat lagi dia melirik pada wajah Yusri yang mula tadinya keruh, kini sedikit bercahaya. Lelaki..

“Aku tak mungkin berubah Sarah. Aku takut kau yang berubah. Maklumlah, angin kota lebih indah dari angin desa.”

 Sarah tersenyum. Dia tak mengiakan mahupun membangkang. Sarah keluarkan pemotong kuku dari saku baju. Meminta Yusri menghulurkan tangan kanan. Sudah lama dia tidak memanjakan Yusri, Sarah mahu Yusri mengingatinya sebagai seorang kawan yang tak akan semudah itu melupakan setiap kenangan yang dicipta. Zaman kanak-kanak masih kuat berlegar di jiwa dan Sarah teringinkan zaman itu kembali menghiasi kotak hatinya. Biar sekali cuma, Sarah terlalu merindui detik-detik kemanisan meniti batas usia yang terhampar pada sebidang tanah duka nestapa. Apa yang tersimpan dalam kotak jiwa biarlah hanya aku dan Tuhan sahaja yang tahu.

Hati lelaki Yusri bagaikan luluh melihat dan merasai kemanjaan yang diterimanya dari Sarah. Biar baru sebentar tadi dia mendengar kalimat pedih dari bibir mungil itu. Aku akan tetap menantimu Sarah…walau aku tak tahu samada kamu menerimaku atau tidak. Aku takut jika kamu menolaknya begitu sahaja..bilakah aku punya keberanian untuk menyatakan kepadamu..

“Aku mahu merubah kehidupan aku dulu Yus. Aku mahu sambung belajar lagi, tolong keluarga aku. Bila hidup aku dah stabil nanti, barulah aku nak fikirkan soal jodoh. Kau tahu bukan…aku hidup dalam kemiskinan sejak dari kecil lagi, tradisi itu tak akan kesudahan jika aku ambil keputusan tamatkan zaman bujang dan mengikut pergi suami aku.”

“Aku faham prinsip kau. Apa-apapun, aku sokong keputusan yang kau buat, aku sentiasa akan beri kau semangat. Kalau kau perlukan pertolongan aku, hubungi saja aku di rumah. Aku dah pasang telefon, nah nombornya.”

Sarah mengambil sekeping kertas kecil dari tangan Yusri. Menatapnya seketika sebelum menyimpan dalam kocek bajunya.

“Aku nak balik. Nanti mak cik risau pulak. Senanglah kau dah masukkan telefon rumah, bolehlah aku tahu perkembangan kesihatan mak cik aku tu. Aku balik dulu ya Yus…”

“Aku pun nak balik sama. Esok aku ambil kau jam sembilan pagi, kita ke pekan tengok kereta kita.”

“Baiklah. Kau nak aku pakai baju apa?”

“Aku suka benar kalau kau pakai baju kurung kuning air tu. Yang pernah aku belikan raya sudah.”

“Baiklah…”


~BERSAMBUNG LAGI...adakah hubungan Yusri dan Sarah akan direstui kedua belah keluarga? sama-samalah nantikan debaran detik permulaan dalam hidup mereka..jeng..jeng..jeng

HIDUP PENUH RANJAU: Bahagian 5


“Esok kau kerja?” soal Sarah ingin tahu.
 “Kerja. Aku dah ambil cuti bulan ni. Tapi aku tak nak ambil overtime. Nanti aku bawa kau jalan-jalan ye?”
 “Mak we kau tak marah ke?”
 “Siapalah yang nak kat aku Sarah? kau pun lari tinggalkan aku ke KL.”

Sarah mencubit pinggang Yusri geram. Kemesraan kembali menular membajai musim-musim bersama yang seakan lama ditinggalkan.
“aduh!..cubit aku lagi Sarah..” seluroh Yusri perlahan
 “heyy..kau Nampak ni?” Sarah menunjukkan telapak tangannya ke arah wajah Yusri lantas membuatkan lelaki itu terkesima. Ahh..kenapalah aku ini?..melebih-lebih pula. Terasa malu pula bersikap demikian..

Kepulangan Sarah ke kampung disambut gembira oleh Mak Siti dan Mak Bedah. Ada-ada saja juadah yang dihantar oleh Mak Bedah tak kira waktu. Lepat ubi untuk sarapan, lemak rebung untuk tengahari dan asam pedas tenggiri untuk makan malam. Pendeknya Mak Siti yang sudah uzur itu tak perlu susah payah memikirkan lauk apa yang harus dimasak. Kekadang segan juga mak Siti akan kebaikan yang ditunjukkan oleh Mak Bedah terhadap keluarganya sejak dahulu. Maklumlah..keluarga Mak Bedah agak senang sedikit daripada keluarganya. Anak-anak Mak Bedah seramai 7 orang yang sudah bekerja dan berumahtangga itu setiap bulan mengirimkan wang belanja kepadanya. Berbanding dengan dia yang tidak boleh mengharapkan sangat bantuan daripada anak menantunya kerana mereka juga hidup susah di rantauan.

Mak Siti bersyukur kerana Sarah belum pernah mengabaikan dirinya semenjak bekerja. Sedikit sebanyak, lepaslah untuk dia berulang-alik berubat ke klinik swasta di pekan dan membeli barangan dapur. Noreha-anak Mak Siti yang tinggal bersebelahan juga hidup dalam kemiskinan. Dengan pendapatan suaminya-Amin sebagai pemandu lori serta keperluan 3 orang anak yang mula bersekolah,dia faham jika Noreha tidak membantunya.  Mak Siti sangat berterima kasih kepada Sarah kerana dia tidak pernah teragak-agak untuk menghulur sama belanja persekolahan anak-anak sepupunya.

Suatu petang, Mak Siti memberanikan diri bertanya kepada Sarah tentang hubungannya dengan Yusri. Sarah agak terkejut bila diajukan pertanyaan sedemikian.

“Kenapa Mak cik tanya macam tu?”
 “Bukan apa…aku tanya saja. Engkau tak nak fikir soal kahwin ke?”
 “Kahwin? Entah, tak pernah. Mak cik nak suruh Sarah kahwin cepat ke?”
 “Kalau boleh. Sebelum aku tutup mata. Janji aku dengan aruah emak kaupun terlaksana. Aku tak mahu tanggung dosa.”
 “Apa maksud mak cik?”
 “Kau kan dah lama berkawan dengan Yusri. Sejak dari kecik lagi. Tak nak teruskan sampai pelamin?”
 “Yusri kan kawan baik Sarah. Sarah tak pernah anggap Yus lebih dari abang sendiri. Mak cik tak usahlah cerita begini pada Yus. Kalau dia dengar, tentu hubungan kami dah tak sebaik dulu, kan?”

Mak Siti tertunduk. Pertanyaannya tidak mendatangkan jawapan yang ditunggu. Dia terkejut Sarah akan menjawab demikian. Sarah tak menyintai Yusri?…

Bunyi tong jatuh menyentak perbualan kedua beranak itu. Sarah berdebar jika Yusri mencuri dengar. Sarah cukup masak dengan perangai Yusri, dia suka datang senyap-senyap dan memberikan kejutan yang bukan-bukan.

~bersambung.

Tuesday 13 March 2012

Jom Makan

Makanan ruji utama rakyat Malaysia adalah nasi. bila dimakan panas-panas bersama gulai kegemaran, adalah amat menyelerakan dan memuaskan. tambah-tambah lagi rakyat Malaysia memang sukakan masakan bercili, hemmm...satu hidangan yang tak lengkap dalam setiap menu jika tak ada satu gulai masak cili, tekak terasa tawar dan tak berselera nak makan. sewaktu muda remaja belum dikunjungi pelbagai penyakit, aku ni memang kaki melantak cili. ajaran aruah mak dan abah yang gemarkan gulai pedas. jika tak ada sambal tumis, aku diajar makan nasi dengan ulam cili. setakat cili besar tu apalah sangat...hehhehe. tapi bila umurku menginjak 25 tahun, aku dapati perut mula meragam, rupa-rupanya kena gastrik! sejak itu, lidah dah jadi doktor peribadi dan sebagai thermometer semulajadi. bila makan pedas dari sepatutnya, mulalah lidah jadi pedar dan aku akan tahu bahawa itulah isyarat untuk berhenti. begitu juga dengan makan durian, ada masanya aku langsung tak boleh cium bau durian, rasa nak muntah dan pening pelbagai. sungguh! sebelum kahwin dan awal perkahwinan, aku langsung tak boleh berdiri sebelah penjual durian, mesti nak muntah. bila mr. hubby bawa balik durian untuk anak, aku mula rasa panas hati sebab bau durian menguasai ruang dalam rumah. lama juga nak pulih. bila gastrik dah menghilang ( sekejap ), dan lidahku sudah lali dengan pedas, masin dan pahit, teringin pula nak menjamah durian. mintalah mr. hubby belikan. dan sejak itu aku boleh makan durian semula tapi ada limit. bila lidah dah rasa pelik, aku akan berhenti makan walau masih banyak berbaki. terima kasih Allah sebab meminjam anugerahMu ini.

Sebut pasal makanan, jika meminta aku pilih nasi atau roti, aku akan memilih roti sebagai hidangan utama. tak tahulah kenapa, happy sangat jika dapat makan makanan yang diperbuat dari roti seperti sandiwich, anika pastry, kek, donut dan kuih muih. sebab mungkin aku tak suka masak gulai kot..*wink****

seorang member baik dari Putrajaya memberikan satu resepi mudah bagi menggantikan keinginan melepak di restoran Pizza..hahahahahha, kira-kira waktu terdesak gitu bolehlah menipu anak-anak yang ramai ( hahahaha ) dan hasilnya memberangsangkan. jadi ibu ni kenalah kreatif diiringi kata-kata hikmat dan motivasi kepada anak yang asyik meragam mengajak ke tempat-tempat tersebut di tengah2 bulan..huhuhu

PIZZA SEGERA

bahan-bahannya:

roti sandwich
keju mozarella ( boleh didapati di kedai bakery atau pasaraya )-diparut
daging cincang/sardin dalam tin-dimasak seperti membuat sambal tumis@ikut citarasa
sosej-dihiris nipis
cendawan butang-dihirs nipis

cara-cara membuatnya:

tumis daging cincang/sardin dalam tin secukup rasa-ketepikan
ambil sekeping roti sandwich, letak 2 sudu tumisan dan ratakan
susun sosej dan cendwan atas daging/sardin
akhir sekali taburkan keju mozarella secukup rasa
bakar dalam oven sehingga keju cair lebih kurang 5 minit
taraaa..siap untuk dinikmati panas-panas kerana keji mozarella akan terjurai-jurai seperti pizza di luar sana..yeahh..

pizza inti sardin. anak suka sangat, rasa berbaloi membuatnya


Jom Make-up

Wanita mana yang tak suka mekap sila angkat tangan! oh..memanglah ada tapi aku tersenarai dalam geng kaki melawa, kalau boleh nak susun segala mak ayah produk mak-up yang digemari atas meja solek..hehehhe tapi aku tak ada meja solek, gamble je. susun ler atas kabinet kecil, kalau malas sumbat aje dalam laci habis cerita. hand bag jadi sasaran menyimpan pelbagai alat solek. tisu sudah mesti. ke mana pergi mesti bawa minyak wangi, bedak kompak dan gincu..oh ho..sabun cuci muka dan pelembab wajah-usai solat kenalah mekap semula yeahh..

kegemaranku tidaklah semahal para artis. nakjadi cantik tak perlu tiru semua gaya. cukup sekadar keperluan dan sesuai dengan kulit wajah. tak mahulah dikatakan seperti memakai topeng dan ala-ala badut pula..hahahahaha. aku memilih menggunakan beberapa produk tempatan kerana ianya paling sesuai dengan tona wajah dan keserasian darah. kalau pakai mahal pun tapi merosakkan kulit nak buat apa ye?.mari aku kongsi beberapa barangan mekap yang semua mampu miliki setiap bulan.

untuk penjagaan wajah, aku gunakan set Safi Rania Gold Series kerana sedar usiaku dah makin bertambah, hormon-hormon dah banyak yang terhapus. alhamdulillah, nampaknya ada sedikit perubahan kerana pori-pori di wajah semakin mengecil dan tona kulit semakin sekata. pelembabnya pula kurasakan valuable kerana sangat lembut dan melegakan ketegangan wajah.

untuk bedak kompak pula, kugunakan produk avon-ideal shade-medium oil control. bila memakainya, warna tona kulit lebh cantik, biarpun kamu memakainya agak tebal. biasanya aku beli 2 way powder foundation tapi yang ini ada offer jadi rembat aje lah. selain dari avon, aku hanya serasi memakai bedak Maybelline oil control-2 way foundation tona beige.




gincu bibir pula, aku gunakan dari 2 jenama tersebut. tak membataskan hanya warna tertentu sahaja kerana semangat ingin mencuba dan kelihatan cantik. kadang-kadang tiba waktu nakal, aku sengaja mengenakan gincu warna merah terang sehingga kawan-kawan menggelarkannya marker pen! bukan untuk menunjuk-nunjuk tapi aku seronok memakainya untuk diriku sendiri.

Jom Minum

teko dan cawan kesayangan
Aku memang suka minum teh. Ilmu membancuh teh kupelajari dari adik ipar yang memang ketagih teh selepas makan nasi. semenjak itu, anakku juga gemar minum teh buatanku dan dia curi-curi mengisi separuh teko ke dalam cawan panjang dan dimasukkan ke dalam peti ais beku. tau-tau saja seteko teh telah kering dan terpaksalah membancuh semula untuk diminum. tapi aku suka minum waktu panas, saat aroma dari kepulan asap berlegar-legar di permukaan. nikmat hirupan itu Tuhan aje lahyang tahu..hehehhe.

Sebenarnya teko dan cawan tu berlainan mak ayah. Cawan kubeli dari Akojaya namun tekonya sangat ku tak berkenan kerana bila menuang air ke dalam cawan, mesti berhamburan keluar. geram punya pasal, kubeli dari Giacomo pula, tak kusangka warnanya serupa dan menjadi padanan serasi bila dihidangkan kepada tetamu. set teko ini memang kujaga dan lokek sekali untuk digunakan sebagai basahan. kerana bila sumbing atau retak, amat payah hendak memadankan dengan teko lain. cuma sesekali bila mood eksyen tiba, aku bersarapan menggunakan set ini. anak dan mr. hubby tahu sangat  kebecokkan mulutku jika mereka mencapai cawan ini dari tempatnya. bukan apa, banyak lagi set akojaya yang lain yang boleh digunakan. set cawan akojaya warna putih gading ini kubeli bersekali dengan sebiji bekas gula berpenutup yang mempunyai bentuk english pot namun....terbarai dek kenakaln anak ku. hati memang sakit tapi kupendamkan sahaja kerana jika bercakap kelak, keluar api dari perut..huhuhu. mr. hubby diam-diam menampal semula serpihan penutup bekas gula itu dan meletakkannya atas meja, namun hatiku dah tak ada feeling lalu kubiarkan saja terperuk dalam-dalam di peti ais. hajat nak beli lagi kerana geram dengan bentuknya yang amat comel..huhuhuhu

Teratak Bonda

Sofa hadiah dari hubby

Sebagai wanita bekerjaya meskipun bukanlah dari golongan profesional, namun aku berkeinginan seperti wanita golongan atasan yang memanjakan diri dengan behabis duit ringgit untuk menghias kediaman. hahahha, tapi untuk aku cukuplah dengan berbelanja kadar minima setimpal dengan gaji yang diterima dan menggunakannya untuk menghias apartment yang kubeli. gambar ini diambil ketika sibuk membuat persiapan menjelang hari lebaran tahun sudah, maknanya dalam hati sudah memasang angan-angan hendak menggantikan langsir dan sarung sofa warna kuning telor ini. hajat di hati hendak menukar tema warna light purple dan cat dinding juga ingin kulapisi dengan tema ini. hemm..tapi tengok mood mr. hubby, sebab dia yang akan mengecatnya! aku mestilah akan sibuk dengan gumpalan kain-kain langsir-itupun menjahit ikut selera juga. Syukur mr. hubby sangat memahami yang aku confirm akan bercuti dari memasak sepanjang bulan Ramadhan. paling tidak pun menanak nasi yang hanya menggunakan hujung jari. jika tempahan coklat banyak, kami akan menumpukan perhatian pula kepada kehendak pelanggan. biasanya bahan-bahan membuat coklat telah disiapkan 2 minggu sebelum Ramadhan. letih dan jemu silih berganti kerana kepenatan berpuasa namun hati puas setelah siap. seminggu sebelum lebaran, tempahan telah kami bereskan dan barulah menyambung persiapan untuk keluarga dan rumah pula. saat itulah baru mood ceria datang kerana bau-bau lebaran sudah berada pada tahap Delta..hahahahha. barulah rasa gembira hendak menjahit longgokkan langsir dan mengelap rumah. tahun lepas sudah menjahit sarung sofa namun kekurangan sebiji kusyen duduk kerana aku telah mencurinya untuk dibuat langsir bilik utama! konon-konon untuk dipadankan dengan cadar english style yang baru kubeli. akhirnya sebiji sarung sofa itu bagaikan telah kuabaikan untuk dicari ganti kain yang lain. walau mr. hubby menjeling tak senang, perasaan jemu untuk menjahit telah bersarang..tunggulah menjelang lebaran tahun ini, mana tahu akan dapat hidayah seterusnya menghasilkan sarung sofa yang menawan.

Monday 12 March 2012

WAJAH BARU

Yuhuu...dalam dok sibuk-sibuk kerja, masih sempat nak menjengah blog sendiri. sekarang waktu makan, so mengambil kesempatan untuk menulis juga, semangat sedang membuak-buak tak elok dibiarkan. esok lusa jika dah kendur alamat sepi sekejap laman blog ni. menunggu berita hangat saat kemunculan resepi-resepi baru yang dicuba di dapur kesayangan. mr. hubby tak sudah-sudah memujuk supaya sentiasa menulis dalam blog kerana dia tahu itu minatku sejak sekian lama..tq abang.

memang belum mahir menggunakan blog tetapi sekadar mencuba  design baru dan mungkin nampak cool berbanding lama. dalam pada syok menulis, teringat nasi yang sedang ditanak di pantry. malas nak keluar ke gerai seberang jalan kerana kaki masih sakit, so kirim dengan kawan sepejabat. tukarannya? sepinggan nasi kosong yang ditanak tadi.

hari Jumaat ini mak dan ayah nak datang untuk urusan majlis pernikahan adik di KL. mungkin mak sampai tengah malam kerana berangkat pergi usai waktu pejabat. dalam kepala dok memikir hendak memasak sesuatu untuk mereka. perancangannya ialah puding/agar-agar sirap kesukaan ayah. teringat pula oven yang bagai nak kucampak ke dalam sungai langat...huhuhu. sakit hati memandangnya, guna tak sampai setahun tapi bila dipasang, menyebabkan elektrik trip. bayangkan jika aku membakar sesuatu di malam hari?..sudahlah aku ni penakut. tempohari, terpaksalah mr. hubby duduk di sebelahku menunggu kek harijadinya siap dibakar lagi 20 minit! konon nak surprise tapi yang nak kena surprise pulak ketahuan..spoil la kau oven..aku dah buntu nak menghidupkan semula kedai bakeriku di rumah ( hehehehehehe...pasang angan2 dulu ). terliur teringatkan roti manis, bagel dan aneka pastry yang pernah keluar dari perut oven itu. hai..hai..

Sunday 11 March 2012

MAJLIS KAHWIN

imej yang kuciplak dari Chocolate Wrapper dan ditampal atas doily paper
kertas goreng pisang
31hb Mac dah hampir sangat, tapi persiapan aku untuk kenduri ni masih terkial-kial. apalagi mak aku kat jb sana, tentu tgh pengsan-pengsan nak buat persiapan. walau majlis kecil sekalipun, mestilah nak buat yang terbaik berbanding majlis sebelumnya. barulah ada penambah baikkan. aku cuma mampu menyumbang kira-kira 400 buah beg goodist berisi bahulu gulung dan  ( mungkin ) 200 peket gula-gula marsmellow halal buatan orang Islam Kajang.


aku memang teringin nak membantu mak sediakan lebih lagi tapi ..ehem..ehem..tau tau sajalah. tapi manalah tau ada rezeki yang Allah SWT turunkan pada saat-saat akhir..kesian mak, dengar khabarnya mak pulun buat biskut, mesti sedap. jarang mak buat kuih hatta pada hari raya, inilah biskut pertama yang akan aku rasa kelak.

aku mendapat ilham buat beg goodist dari majlis perkahwinan Elly Iskandar, tapi goodist ni aku buat sendiri, tak payah hantar print kat kedai. modal pun murah. yang penting sumbangan ikhlas untuk adik yang baik. semoga perkahwinan kamu direstui ayahbonda dan mendapat rahmat dari Allah SWT.



marshmellow pelbagai bentuk dan rasa dalam plastik kedap udara size kecil yang memuatkan 5-6 biji marshmellow



aku tempah dari Chocolate Wrapper-Rm65 siap delivery. 8 bar chocolate dengan  attachment gambar sendiri

RESEPI ICE-CREAM MUDAH

Bahan-bahan:

1 tin susu pekat
1 tin air suam
1 sudu makan ovelette
1 biji telur
setitis esen vanila ( hati-hati sbb jika terlebih, rasa ice cream akan jadi pelik)
perisa/pewarna yang digemari ( letak milo/koko adalah lebih baik )

cara-caranya:

1. campurkan semua bahan dan pukul/blend sampai kembang, gebu dan likat ( proses ini mengambil masa yang lama dan perlukan kesabaran tahap maksima)
2. simpan dalam peti ais dan keluarkan 1/2 jam kemudian dan pukul/blend lagi

**ulangi proses blend sehingga mendapat hasil yang memuaskan dan tutup bekas sehingga beku.

***bergantung kepada suhu peti ais anda, adunan ice cream ini akan lambat beku, jangan bimbang, teruskan usaha blend-simpan-blend paling kurang 4 kali dan simpan semalaman. bila makan, lebih sedap jika dengan potongan buah-buahan. INGAT..ini homemade ice cream a.k.a. sorbet bak kata mat salleh. maka sejurus dikeluarkan dari peti ais, ice cream akan mencair perlahan-lahan mengikut suhu kat mana anda makan. tapi yang paling berharga ialah anda dah mampu mencipta kehebatan kerana boleh membuat ice cream untuk anak-anak ( diri sendiri pun boleh la...)

Inilah hasilnya-walau dah dirobek-robek untuk menguji kekentalan, kegebuan dan akhirnya?..emmm..memang sedapppp.


LAGI-LAGI COKLAT!!


Alhamdulillah, setelah sekian lama mengidam nak buat coklat sendiri, akhirnya berjaya juga pelajari teknik-teknik pelbagai cara sampai pelanggan puas hati. selalunya yang bantu ialah en. hubby, sanggup bersengkang mata nak siapkan tempahan. saya suka sangat mengadun benda ni dan bila dah jadi, rasa sangat gembira dan bangga. dapatlah buktikan kepada keluarga bahawa idea dan usaha serta izin Allah SWT, mampu memberikan pendapatan sampingan yang baik. lepas ni nak berusaha memperbaiki kelemahan dalam masakan kek pulak, sama-samalah kita nantikan hasilnya. apa yang penting, kalau saya buat, en. hubby makan tak berhenti..seronok!
Lolipop Chocolate + Strawberry












Chocolate +  Mint













Chocolate Rose Strawberry Petal  





Wednesday 7 March 2012

Buah hati Ibu

Setiap tahun mesti nak sambut birthday dia, kalau tidak..mesti menuntut tak sudah-sudah. belilah kek apa sahaja, yang penting dia dapat tiup lilin dan potong kek. sedar tak sedar, masa berlalu begitu pantas dan kini usianya akan menginjak 13 tahun pada 7 september nanti. Aku suka memerhatikan bahasa tubuhnya dan anakku itu sudah mula remaja, mempunyai susuk tubuh seperti ayahnya. terasa baru beberapa tahun hidup bersamanya dan merasakan berat tanggungjawab mendidiknya menjadi seperti sekarang. dulu bolehlah kupeluk dan kucium bertalu-talu, tapi kini sudah besar, tinggallah aku keseorangan-rasa sepi dihampiri anak kecil dan memeluknya bila-bila masa. Aiman dah besar, sudah tak mahu dipeluk atau dicium depan kawan-kawannya. rasa mahu undur ke belakang waktu dan menjadi seorang ibu yang sangat mencintai anaknya. mungkin waktu aku berkahwin dengan abang dulu, aku belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu, lebih-lebih lagi kenakalannya sangat mencabar hati. maafkan aku kerana gagal menjadi ibumu yang paling sempurna. tapi kau tak pernah tahu bahawa aku sayang kamu, sangat sayang hingga tiada satu perkataan yang dapat menggambarkannya-sungguh! semoga kau menjadi insan terpilih yang sentiasa mendapat rahmat Allah SWT di sepanjang usiamu. Amin.

BANJIR MELANDA HULU LANGAT

kesedapan tidur di malam hari hingga tak sedar yang hujan lebat telah menyebabkan banjir besar di kawasan tempat tinggalku. mujur rumah aku apartment, minta dijauhkan dari musibah akibat bencana alam. maka, dok pakat ramai2 di keheningan subuh cara nak sampai ke putrajaya. suami tak bagi tumpang keta kawan sebab risau, so kami angkut kawan tu balik dan naik keta kami. abang lalu jalan ampang dan alhamdulillah kami selamat tiba di tempat keje. yang klakarnya, semua yang bertugas di putrajaya, kena ambik cuti kecemasan sebab bencana alam . polis yang jaga kawasan terjejas mengarahkan semua patah balik. hati tak best sbb masih ada alternatif lain untuk datang keje maka usahakanlah jugak walau jalan jauh sikit. ( sebab dah letih2 aku siap berpakaian dan bangun subuh gajah, nak pusing balik ke rumah mintak maaf ler selagi ada jalan lain boleh lalu) . kepada kawan2 yang terkena bencana tersebut ( rumah banjir ), diharapkan bersabar dengan ujian tersebut. hati-hati membersihkan rumah kerana risau kot ada makhluk 2 lain tersangkut atau tumpang berteduh kala banjir melanda.

CASTLEVILLE


haa...inilah avatar kegemaran aku sekarang! dari kiri :  Sonja,izadora, yvette, mama mia. tiap hari mesti nak jenguk walau sekejap (iye keeee)..aku memang gemar main game ni sebab ia berwarna-warni, grafiknya cantik dan theme music nya menawan..terkenang zaman kanak-kanak, suka sangat main katun serupa dengan avatar di atas. main tukar-tukar baju, hand beg dan pelbagai situasi. sampai koyak-koyak bendalah tu, gam balik dan main lagi bersama kawan-kawan. seronok sangat. kalau di rumah, habis semua tugasan, aku lepak kat penjuru dan mula asyik dengan game ini. nak kata aku mereng?..suka hati lah..abang? lama dah lelap, kul 9 malam je dah terlelap. aku pulak jenis burung hantu ( hahahahaha ), kalau tak jam 1 pagi, mata tak boleh nak lelap, so kadang-kadang tangan dok galit notebook, mata dok sibuk intai-intai tv..manalah duit api tak naik!

Tuesday 6 March 2012

GILA SABUN!

bukan nak menunjuk-nunjuk atau nak dedahkan kelemahan diri, sekadar kongsi rasa apa yang aku suka dengan kamu semua. jangan tak tahu..aku ni dah kesawan SABUN agaknya..sebab suka kumpul koleksi sabun basuh baju, sabun badan, segala sabun mak nenek. kalau beli sabun macam tak ingat diri. aku memang suka bau sabun, dan aku memang suka beli sabun banyak-banyak. kalau sabun buku, aku suka main buihnya dan jirus keliling bilik air. laki aku sampai jemu nak cakap..biarlah. yang habis duit dia ( katanya..). tapi masa mak aku datang ke rumah, hehehehehehe..dia pulak yang tolong cuci bilik air aku, mak kata-dia memang suka cuci bilik air!..pulak dah..( anyway thanks mak sebab bilik air akak bersinar2..) dosa je aku ni!!

aku rasa macam nak kunyah2 sabun yang baunya harum semerbak. tak tahulah kenapa, mereng dah aku ni. time aku baik dgn bos yang sorang tu, dia siap offer nak beli sabun kalau aku nak kirim. apalagi, aku suruh dia beli sabun offer tu 2 kotak tapi dia balik dia beli 3 kotak..amik kau.

belum habis 3 kotak ni, aku dah beli lagi 2 kotak waktu gaji bulan lepas, laki aku nak meradang tapi aku buat tak dengar saja. berhenti di rak sabun buku, aku pilih 5 buku sabun Dobi warna putih ( sebab sangat harum dan sedikit lembut-senang nak dapatkan buih berbanding sabun Fab). dia tanya nak buat apa beli banyak2, aku bilang-seminggu aku perlukan 1 buku untuk diri sendiri. dia geleng kepala dan arrrgggghh..lalu jalan pergi.

terkini kan ada sabun Fab Lavender? so aku diam-diam isi satu pek dalam troli. malam ni nak cuba cuci baju dengannya, mana tahu boleh harum semerbak satu apartment..hahahahha..anak aku dah tahu dah, kalau aku minta tolong dia bubuh sabun dalam mesin basuh-mesti ibu nak 2 scoop kan?..pandaiii..memang aku ni boros, patut gaji 5 juta pun tak cukup..hehehehhe rupiah daaa

Marshmellow

Dah lama aku mengidam nak makan marshmellow HALAL. cari punya cari, terjumpa tempat yang buat marshmellow ni kat pekan semenyih. aku usaha cari sampai jumpa tuan punya kedai tu. dia buat kat rumah aje, adik lelakinya yang buat dan dia jadi agent hantar seluruh negara. alhamdulillah kini tak ragu-ragu lagi nak makan marshmellow, tak yah beli kat pasaraya, oder saja di situ, senang.

kepada sesiapa yang terbaca artikel ni, silalah telefon akak ni: 
019-3333821 atau ke laman web gula-gula marshmellow. 1kg = rm50.00. sedap dan pelbagai rasa serta bentuk. 

**sekadar share sesama muslim.

LAGI-LAGI RINDU

memang..memang aku sedang rindu. dan aku pasti, tersangat pasti, mesti mak johor yang rindukan aku. aku juga begitu kerana setiap malam pasti aku bermimpi bertemu mak...aku saja tak mahu telefon mak sebab nanti aku mesti menangis, inipun dah mengalir airmata, jatuh berderai-derai tak disangka2. menyebut namanya sahaja aku dah pilu-itu mak orang lain...rasa segan pula hendak berlebih2an.

badan saja besar membulat tapi hati goyang macam agar2...aku takut aku dilanda stress..mungkin juga. pagi tadi aku menasihati suami supaya rendahkan volume bila cakap dengan maknya. dia kata bukan sengaja, bukan marah tapi nak cakap slow takut dia tak dengar..entahlah. bila memiliki, semua rasa macam tak sedar diri. nantilah, kalau mak dah tak ada, mesti abang menangis setiap malam sampai bila2. bukan nak ajar suami, cuma saling mengingatkan supaya merendahkan diri dan ego kala berdepan dengan mak, biarlah kita yang salah sentiasa, menangkan saja mak. itu pesanku setiap hari kepada abang dan aiman. sebab itu mak serasi duduk lama di rumah kami. alhamdulillah..selagi terdaya, kugagahkan juga melayan karenah mak. bukan nak mintak apa pun mak tu, sekadar makan minumnya dan tv astro Oasis nya terjaga...hehehehe..kesian mak, kalaulah aku mampu, aku upahkan seorang ustazah datang ke rumah setiap hari untuk ajar mak tentang ilmu agama kerana mak pernah bilang kepadaku yang dia dah tak berupaya ulang alik ke masjid di kampungnya, tak daya nak jalan kaki belajar agama. iyalah, nak harapkan anak2 datang mengambil, menunggu dan menghantar balik rumah, semua ada urusan sendiri. aku faham sangat kehendak dia tapi kami pun...( mungkin tunggu SBPA ni kuar) hahahaha...Insyallah..kalau ada rezeki dan kalau ada ustazah berkelapangan. dulu sewaktu abang membesar, semua keperluannya mak bereskan, kini bila mak dah tua dan anak2 dah bekerja, kenapa keperluan mak langsung tak ada siapa nak tanya??..itulah hakikat anak dan ibubapa hari ini kan? dulu mak sanggup ikat perut untuk bagi kita makan, tapi kenapa sekarang kita tetap dulukan perut kita dari mak? kenapa? sebab fikir perut mak dah tua, tak payah makan itu ini?

lagi satu, bila anak kita cakap kurang ajar dengan mak kita, kenapa ada antara kita yang langsung tak marah anak kita? nanti bila kita dah tua, kita juga dapat kesan begitu oleh anak cucu kita..insaflah.

**sekadar renungan untuk hari ini sebab saya sayang mak.

Monday 5 March 2012

WANITA DI MATAKU

Aku memang rindukan mak dan aku sayang juga kepada ayah. tapi kerana antara ayah dan aku kurang mesra, jadi kehilangannya tak kurasakan. bukan kejam tapi sudah berpuluh tahun aku membesar tanpa kasih seorang ayah. dan kalaulah ayahku waras seperti insan lain, sanggup tinggal bersama kakak, aku yakin pemergiannya aku tangisi. aku sedar pengorbanannya membesarkan aku tapi jiwaku dihantui kenangan2 pahit sewaktu membesar bersama mereka. kesusahan menjalani kehidupan sehingga usia remaja menjadikan aku tak sabar-sabar mahu keluar dari sarang kemiskinan. aku rindukan mak, sangat rindu tapi jarang dapat bermimpi bertemunya. namun 2 malam selepas ayah meninggal, aku bermimpi ayah datang mengucup dahiku dan kemudian berjumpa mak namun mereka tidak bertegur sapa. aku lihat mak sudah bahagia dan ayah juga kembali jadi muda dan bergaya. rumah mak tiba-tiba jadi besar dan indah. apa makna mimpi tersebut hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

kini aku hanya memandang kepada mak mentua dan seorang ibu angkat. kedua2nya aku kasih cuma aku tak tahu bagaimana hendak menyatakan perasaan kasih serta rindu seorang anak perempuan kepada emaknya bila berhadapan dengan mak mentua. sebab dia tidak mengajar anak2nya mencurahkan kasih sayang secara begitu, amat berbeza dengan mak angkatku. mungkin pada mak mentua, kasih sayang adalah tanggungjawab yang harus dipikul dan diharungi, bukan diucapkan, tapi mak angkatku memberiku kasih sayang bagaimana aruah mak pernah lakukan, iaitu dengan kucupan, ucapan, belaian dan kadang2..cubitan! aku kedengarannya amat kompleks, semua mahu dipamerkan namun padaku, apa lagi yang tinggal dalam perasaan selain merangsangnya dengan satu ucapan dan sentuhan. mak mentua datang tinggal di rumahku hampir 3 minggu dan aku tak kisah dengan itu namun aku merasakan keganjilan melanda kerana aku tak mampu untuk baring di ribanya, mengusap dadanya, memintal rambutnya, menggigit-gigit manja jari jemarinya seperti aruah mak kerana mak bukan begitu! hatta aku ingin menciumnya juga dia tak mahu....mak oh mak...hatiku bersarang dengan kerinduan namun kamu terlalu jauh dariku. kerana mak mentua tak biasa diperlakukan demikian ( aku rasa dia tak suka kot), maka suamiku juga terikut2 begitu. abang tak reti nak bermanja2 dengan aku, abang tak tahu ertikata bergurau senda di hadapan anak. dan rumahku sebenarnya kurasakan terlalu sepi jika tidak dibantu oleh teriakan tv! aku sepi..aku sepi..aku sepi..dan akhirnya anakku jadi mangsa jeritan yang tak berkesudahan. aku rasa ingin sangat menjerit, ingin sangat lontarkan vokal dari dalam hati supaya ianya tak mengganggu tidurku di malam hari.

Aku masih rindukan mak, seorang wanita yang sangat bekerja keras untuk menyekolahkan aku dan aku juga berjaya membiyai kos perubatannya sepanjang tempoh 2 tahun dia menderita. aku bangga dikurniakan rezeki yang sedikit tapi mampu menyaranya. alhamdulillah, berkat dari Allah SWT. tapi aku rindu untuk membelikannya pakaian baru, selendang cantik, kasut cantik, beg tangan fesyen terkini ( biarpun cap pasar malam) dan menjamunya dengan makanan enak yang mungkin tak pernah dirasainya sebelum ini. tapi apakan daya, aku hanya mampu mengirimkannya doa setiap lepas solat 5 waktu, dengan harapan Allah SWT akan mengirimkannya hidangan paling lazat dari syurga Firdaus. Antara kesalanku ialah aku pernah tinggalkan aruah mak di stesen teksi seorang diri sementara teksi tersebut penuh menuju kampung-kerana perutku sakit hendak ke tandas. selepas urusanku selesai, sepatutnya aku menjenguk mak di stesen tersebut tapi entah kenapa aku terus naik bas balik ke rumah sewa. akal bodohku mengatakan tentu emak dah naik teksi tapi rupanya cerita sebenar sewaktu aku pulang ke kampung sebulan kemudian: mak bercerita yang dirinya seorang diri terkontang kanting dalam stesen itu hingga petang tanpa makan, hanya minum air suam dari termosnya, teksi yang kami booking tiada langsung penumpang tapi pemandu itu kebetulannya hendak balik ke kampungnya, maka mak dibawa pulang bersama hingga selamat tiba di rumah mak di kampung...aku sedih dan bersalah yang amat sangat, kenapa aku bodoh berbuat demikian hah....bodohnya aku..dosa aku buat macam itu dengan mak..dan mujur Allah gerakkan hatiku memohon kemaafan dari mak sebelum aku pulang ke rumah sewa semula. mak juga meminta maaf dariku jika sepanjang hidupnya dia menyusahkan aku..mak oh mak...kaulah ratu hatiku mak, aku yang bersalah maka maafkanlah aku. seminggu kemudiannya, mak meninggal dunia...namun sampai hari ini, aku masih merasakan hangat tubuhnya memelukku, mencium pipiku, mencubit pehaku jika aku nakal dan...aku hiba bila teringatkan mak depangkan kedua belah tangannnya sambil berjalan di jalan besar untuk menyambut kepulangan aku dari rantau..dari jauh kami sudah memanggil-manggil dan aku mempercepatkan langkah dengan beban beg pakaian yang berat diisi ole-ole untuk mak. letih berjalan satu batu dari jalan besar bagai tak terasakan bila nampak kelibat mak keluar dari arah rumah kami yang kecil itu. mak memang sangat sayangkan aku!

sebab itu, selepas pemergian mak, aku bagai tak mampu untuk pulang ke kampung..

Itulah erti kasih sayang wanita bernama MAK yang aku maksudkan, biar kurang makan atau kurang harta benda, tapi tersangat lebih dalam belaian kasih sayang kerana kasih itulah yang menegakkan umbi kemakmuran jiwaku, selalu merendahkan diri serta ingat asal usul. kini genap 16 tahun mak pergi, namun bayangan mak masih teguh berada di mata dan hatiku. Amin.

HIDUP PENUH RANJAU : TANPA TEPIAN

Maafkan aku untuk kesekian kalinya, terpaksa menitiskan airmata semahunya kerana terkesan dengan impian serta harapan yang tak kesudahan....